Wednesday, November 21, 2012

Isu jawatan PM, jangan terpengaruh dakyah Umno

Mohd Sabu & Salahuddin senyum melihat gelagat perwakilan.
Sewaktu berucap di Muktamar PAS di Kelantan,Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa seluruh ahli dan pemimpin PAS supaya bekerja keras untuk menang seberapa banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tegas beliau, dengan mempunyai kerusi Parlimen dan Dun yang banyak, barulah PAS boleh 'demand' beberapa jawatan penting dalam negara jika Pakatan Rakyat memerintah kelak.

Mohamad berkata, beliau tidak mahu anggota PAS terlalu memfokuskan untuk meminta jawatan tertentu, sebelum mereka bekerja keras untuk memenangi setiap kerusi yang ditandingi PAS.

Timbalan Presiden PAS tersebut menegaskan, beliau yakin jika demokrasi sebenar dilaksanakan, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menguasai negara.

Sementara itu, isu siapa menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak perlu dijadikan polemik di kalangan pemimpin dan penyokong PR, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Menjawab polemik isu jawatan Perdana Menteri yang ditimbulkan sejak tamatnya Muktamar Tahunan PAS ke-58, Mustafa mengingatkan semua pihak bahawa perkara tersebut hanya satu perbahasan di dalam muktamar.

"Maka tiada keperluan sebenarnya untuk media memainkan perkara ini kerana ia bukan sebahagian daripada usul muktamar," kata beliau kepada Harakahdaily.

"Tegasnya, cadangan supaya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri hanyalah luahan sayang para pewakilan PAS kepada Abdul Hadi, yang dianggap bapa yang dihormati dan disanjungi ketika perbahasan di muktamar PAS.

"Ahli-ahli PAS hanya mengharapkan yang terbaik untuk ayah mereka, sebagaimana anak-anak lain mendoakan yang terbaik untuk ibu bapa sendiri. Walaubagaimanapun, harapan anak tidak semestinya sama dengan hasrat ayah," katanya.
Sidang media Presiden PAS bersama Timbalan & SU Agung.

Selain itu, Mustafa juga berkata tidak berbangkit soal jumlah kerusi di dalam Pakatan Rakyat.

"Selain di Kelantan, negeri-negeri yang dimenangi PR seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor semua memerlukan ketiga-tiga parti komponen untuk bersama, baru boleh membentuk kerajaan.

" Selain PAS di Kelantan, PKR di Selangor, DAP di Penang dan PAS di Kedah, semuanya tiada majoriti untuk memerintah sendiri jika tidak bersama-sama dengan rakannya dalam PR. Walaupun mendapat kerusi terkecil, Adun PAS dipilih menjadi Menteri Besar di Perak," katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan para pemimpin dan penyokong PR berwaspada dengan media yang cuba melaga-lagakan parti-parti komponen PR.

"Fokuskan kepada kerja untuk memenangkan PR. Dan yakinlah dengan track record PR dalam kerjasama, kematangan dan muafakatnya selama ini dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat bila tiba masanya nanti," tambahnya lagi.

Saturday, November 17, 2012

Hijrah bersama PAS menuju Putrajaya

Presiden PAS menyampaikan ucapan dasar.
Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-58 yang diadakan di Putik, Kelantan, merupakan muktamar yang terakhir bagi mempersiapkan jentera PAS untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke 13.

Muktamar PAS bertepatan dengan sambutan tahun baru Maal Hijrah, yang jatuh pada Khamis lepas.

Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Ianya merujuk kepada sebuah perjalanan yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah.

Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan di Madinah.

Hijrah juga membawa maksud pengorbanan. Ia menuntut pengorbanan dan keikhlasan yang tinggi, demi mencapai suatu cita-cita yang murni. Hjrah tidak boleh dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Maka Muktamar Tahunan PAS ke-58, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar beliau yang bertajuk 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' sebagai gagasan PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

Presiden PAS menyampaikan mesej dan arahan yang cukup jelas kepada seluruh jentera parti, khususnya jentera penerangan yang ditunjangi Harakah serta Harakahdaily.

Intipati arahan yang disampaikan oleh Presiden PAS, dalam bahasa mudahnya, PRU sudah terlalu hampir, justeru jentera PAS harus menumpukan sepenuhnya kepada PRU.

Kerja-kerja PRU tidak harus dipandang enteng. Tugasnya amat berat dan implikasinya amat [berat juga. Dalam erti kata lain, kesungguhan jentera PAS menghadapi PRU, menentukan survival PAS pada masa akan datang.

Dalam matlamat perjuangan jangka panjang, PAS yang menyatakan iltizamnya untuk menggantikan Umno, bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya, tidak lagi menoleh kebelakang atau melayani gangguan jalanan yang boleh merencatkan matlamatnya.

Maka dengan itu, PAS harus memperkukuhkan jemaah, memantapkan parti, sekali gus menghentikan sebarang bentuk pertikaian dalaman yang boleh menjejaskan matlamat yang dituju.

Setiap pemimpin dan ahli harus membulatkan tekad, iaitu mulai muktamar ini, mereka mesti menjadi anggota jemaah yang berdisiplin, mematuhi arahan kepimpinan dan mengelakkan sebarang elemen yang boleh merosakkan PAS dari dalam.

Mulai tahun baru hijrah ini, mulai muktamar ini, semua kita, sama ada pemimpin mahu pun ahli, mesti menanamkam azam dan cita-cita untuk melangkah gagah bersama Pakatan Rakyat, menumbangkan Barisan Nasional pada PRU ke 13.

Kita harus bulatkan keazaman kita, untuk mengelakkan sebarang persengketaan sesama sendiri, mengelakkan persengketaan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat, dan yang lebih penting kita menanam azam untuk memantapkan kerjasama, bagi menentang musuh yang satu.

Adalah amat malang, jika ada di kalangan kita yang tidak mematuhi arahan Presiden, amat malang lagi apabila mereka menghalakan muncung senjata ke arah sahabat dalam jemaah dan rakan-rakan politik, akibat daripada pemikiran yang sempit.

Presiden PAS dan yang terutama sekali Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, sering mempertegaskan keyakinan mereka, bahawa Tahaluf Siyasi yang dibina bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, adalah menepati asas perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Justeru, tidak harus ada lagi suara-suara sumbang, khususnya dari dalaman parti, yang cuba untuk mempertikaikan ijtihad kepimpinan. Dan yang paling penting, seluruh pemimpin dan ahli PAS, harus mengelak daripada terjerumus ke gelanggang permainan Umno.

Pemimpin dan ahli PAS, seharusnya sudah matang dan sedar bahawa musuh sentiasa mahu merosakkan perjuangan PAS. Harus sedar bahawa musuh senantiasa mencari peluang untuk memerangkap mereka-mereka yang terkeluar dari kelompok jemaah.

Maka pada muktamar kali ini, kita bertanggungjawab untuk mematuhi arahan Presiden, iaitu kita istiqamah dan bersatu padu untuk berhijrah bersama PAS, untuk menawan Putrajaya. Takbir!

Monday, November 05, 2012

Pakatan Rakyat di landasan kukuh untuk kuasai Putrajaya

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Negeri Sembilan,3 Nov 2012.
Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan 3 November 2012 di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan, merupakan satu lagi kejayaan permuafakatan rakyat yang jelas menyokong sebuah front alternatif bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Puluhan ribu rakyat, terdiri dari kalangan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain, bersatu tenaga membuktikan bahawa, front yang mereka dokongi, iaitu Pakatan Rakyat, mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira fahaman agama, bangsa, mahu pun had umur.

Malangnya media pro Umno-BN, cuba untuk menipu rakyat dengan 'lawak bodoh' memaparkan gambar pada waktu petang sebelum majlis sebenar bermula. Itu pun mereka meletakkan kehadiran ke Himpunan Kebangkitan Rakyat sekitar 10,000 orang.

Mereka sebenarnya hanya boleh menipu orang-orang Umno dan segelintir anggota komponen BN yang tidak ada access dengan internet. Menerusi internet dengan jelas kita boleh lihat dengan jelas foto-foto yang menggambarkan betapa 'genuine'nya himpunan puluhan ribu rakyat.

Atau pun barangkali media massa pro Umno ini, cuba untuk memastikan pendokong mereka berada dalam tahap minda yang dogmatik seperti 'katak di bawah tempurung'. Kerana jika ada kalangan ahli mereka yang terbuka minda, yang boleh access kepada internet, mungkin mereka akan beralih arah untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Apa pun, yang jelas di sini adalah gambaran sebenar betapa kuatnya kuasa rakyat yang mahukan arus perubahan berlaku dalam negara.

Pada tahap ini kita tidak harus bicara tentang apa kehendak PAS, apa kehendak PKR atau apa kehendak DAP dalam menentukan arah mana rakyat hendak dibawa.

Hakikatnya gabungan PAS, PKR dan DAP sebenarnya memimpin politik mengikut arus kehendak rakyat.

Selepas 12 kali Pilihan Raya Umum dilaksanakan dalam negara kita, rakyat sudah mulai sedar bahawa, mereka perlu mendokong sebuah pakatan yang kuat untuk menggantikan Barisan Nasional.

Pakatan yang didokong oleh kuasa rakyat, mulai dikesan pada PRU ke-12 yang berlangsung pada tahun 2008, iaitu 51 tahun selepas Malaya merdeka.

Sejak merdeka, parti Perikatan yang dijenamakan sebagai BN, terus berkuasa sehingga sekarang. Tempoh kuasa mereka sudah mencapai 55 tahun.

Dalam sistem demokrasi moden, tiada parti yang benar-benar boleh bertahan sebegini lama. Jika kita melihat sistem demokrasi secara bebas yang diamalkan negara-negara membangun, kerajaan mereka sering bertukar.

Pertukaran ini tidak banyak mengubah dasar pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Semua parti yang berusaha memegang tampuk kuasa, sudah pasti akan mengutamakan kepentingan rakyat.

Parti yang didapati mementing dan mengamalkan korupsi, kronisme dan nepotisme akan dijatuhkan oleh rakyat.

Rakyat di mana-mana negara sudah semakin cerdik dan matang. Mereka tidak lagi dibelengu oleh sistem feudalisme dan kapitalisme.

Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang adil dan saksama kepada semua pihak, tanpa dibatasi ideologi politik, pegangan keagamaan, mahu pun warna kulit.

Jika sesebuah kerajaan, dipimpin secara tidak amanah, pemimpin mengkayakan diri, anak-beranak dan kroni, rakyat akan bangkit membuang undi untuk menolak mereka dari tampuk kuasa.

Itulah nasib yang dialami bekas Presiden Filipina dan bekas PM Itali yang kini berhadapan dengan tuduhan rasuah, selepas mereka tidak berkuasa lagi.

Ramai lagi diktator, khususnya di negara-negara Teluk yang tumbang seorang demi seorang oleh kekuatan kuasa rakyat.

Inilah juga fenomena yang ditakuti pemimpin Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan seluruh anggota komponen BN.

Wajah pemimpin-pemimpin mereka sudah terpalit dengan gejala salahguna kuasa dan rasuah, daripada sekecil-kecil projek, sehinggalah sebesar NFC, Perwaja, PKFZ dan banyak lagi, semuanya bersifat skandal.

Inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia hari ini. Kuasa yang dinikmati BN selama 55 tahun menyebabkan mereka sudah menjadi 'kebal' dan angkuh. Kuasa yang mereka nikmati sudah terlalu lama dan tidak harus lagi diberi ruang untuk berkuasa lagi.

Dengan sebab itu, rakyat Malaysia sudah mempunyai alternatif kepada BN. Rakyat menyukai perjuangan Pakatan Rakyat kerana ia terbukti membawa kesejahteraan ekonomi, keamanan sosial dan menyuburkan demokrasi di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

Justeru, selepas rakyat dapat menilai model pemerintahan yang baik, maka pada PRU ke 13 nanti, memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN, Insya Allah akan menjamin masa depan yang lebih baik buat rakyat.

Friday, November 02, 2012

'Ini kali lah' BN pasti tumbang di Sabah pada PRU-13

Lajim di wawancara Rashidi, Nordin, Faizal dan Azhar.
Wawancara ekslusif wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, MUHAMMAD FAIZAL ZAKARIA, MUHAMMAD ADZHAR dan WAN ZAHARI SALLEH bersama bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Lajim Ukin yang juga Ahli Parlimen Beaufort di Parlimen pada 1 November lalu.

HARAKAH: Dato'. Langkah Dato' menyeberang kepada Pakatan Rakyat dalam masa yang sama sebelum ini Dato' ada kedudukan dalam parti, dalam kerajaan dan menjadi wakil rakyat BN, apa sebenarnya faktor yang mendorong untuk dato' melakukan perubahan itu?

DATO' SERI LAJIM UKIN : Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada Harakah kerana sudi menjemput untuk saya bercakap soal politik Sabah dan nasional. Saya buat keputusan ini setelah saya buat tinjauan dan perhitungan perkembangan politik di Sabah dan sebelum saya huraikan satu persatu saya mohon maaf kepada pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat nasional, kerana ini isu rakyat Sabah yang telah diabaikan oleh Umno-BN di Sabah dan pimpinan Umno-BN di Kuala Lumpur. Oleh itu saya buat pertimbangan yang boleh memberi satu langkah awal menyedarkan pimpinan di peringkat pusat khasnya BN dan juga PR agar bila kita ambil alih pentadbiran Putrajaya dan Negeri Sabah khasnya, seharusnya  kita tidak mengulangi sejarah pentadbiran Umno-BN. Saya buat keputusan setelah tujuh bulan membuat tinjauan hasrat rakyat Sabah dan melihat perubahan politik nasional dan saya berfikir, ini tidak akan menjadi kenyataan bagi rakyat Sabah, jika tidak kita bersama-sama pimpinan membuat perubahan kepada Sabah dan nasional khasnya.
 
Dato' telah lama duduk dalam Umno-BN dan menjawat jawatan penting, apakah kepincangan di Sabah yang menyebabkan Dato' keluar daripada Umno?

Tiada sesuatu yang dapat dibangggakan oleh rakyat Sabah. Memanglah tidak boleh dinafikan BN sejak dahulu hingga kini ada melaksanakan program pembangunan seperti membina universiti, infrastruktur dan sebagainya, tetapi tidak menjadi realiti dan menyeluruh kepada rakyat Sabah khasnya masyarakat luar bandar yang dinafikan hak mereka khasnya dalam aspek pembangunan infrastruktur air, elektrik selain sekolah yang masih daif. Hal ini seharusnya tidak boleh berlaku kerana negara kita sudah merdeka lebih 50 tahun, dan Sabah sendiri telah bersama Malaysia hampir 50 tahun dan seharusnya BN, telah memerintah begitu lama tidak bertukar kerajaan di peringkat nasional, hanya ada pertukaran di peringkat negeri dan walaupun beberapa kali bertukar Perdana Menteri, mahupun ketua menteri, namun BN masih kekalkan kerajaan dan malangnya Sabah sebuah negeri terkaya di Malaysia, namun Sabah paling tinggi kemiskinannya. Kemudahan infrastruktur yang tidak sama seperti Semenanjung. Kita tiada lebuhraya, hanya ada jalan raya diturap sahaja, tiada prasarana yang secukupnya. Ini mendorong saya dan dorongan rakyat, yang mahukan arus perubahan. Saya mahu mengikut kehendak rakyat Sabah sendiri.

Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman mengatakan, keluarnya Dato' daripada Umno tidak beri kesan kepada politik Sabah, apa komen Dato'?

Itu pada persepsi Musa Aman, memang mereka akan kata tidak ada perubahan, tetapi pada zahirnya, bahawa perkara ini sudah menjadi kenyataan pertamanya BN bimbang untuk adakan Pilihan Raya Umum ke-13. Sebelum ini Sabah dan Sarawak simpanan tetap bagi BN pada pilihan raya umum ke-12, namun kali ini telah berlaku perubahan yang membimbangkan BN. PM sendiri masih lagi tidak berani membubarkan Parlimen. Ini jelas Sabah tidak menjamin BN menang dalam PRU akan datang. Tetapi sebagai Pengerusi BN Sabah, Musa akan pertahankan kononnya rakyat masih lagi sokong BN, sedangkan rakyat sudah lama tolak BN sejak 2008. Hanya pada tahun 2008 rakyat kurang informasi daripada Semenanjung.

Kini, isu hangat diperkatakan isu kemasukan dana RM40 juta membabitkan Musa Aman kononnya dari Hong Kong, boleh Dato' ulas hal ini, bagaimana berlaku?

Pertamanya saya sebahagian  daripada Ahli Perhubungan Umno Sabah (dahulu), jika betul wang itu disalurkan kepada parti, mengapa ramai ahli jawatankuasa perhubungan tidak tahu hal ini? Ini Bersesuaian dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno, kalau tidak silap saya selepas Najib mengambil alih kepimpinan Umno beliau menegaskan supaya apa sahaja sumbangan diberi oleh sesiapa pun, mesti melalui perhubungan Umno. Keduanya, MT juga memutuskan apa-apa sumbangan individu harus ada resit supaya tiada tuduhan bahawa wang itu didermakan bukan untuk peribadi tetapi kepentingan sendiri.

Tetapi kita sangat hairan pertamanya selaku  ahli perhubungan, ramai yang tidak tahu duit sebegitu banyak itu melalui siapa dan kepada siapa? Tapi rakyat tahu, pemimpin Umno di Sabah pun tahu, ia adalah sumbangan daripada individu kroni Ketua Menteri Sabah. Dan ini satu kesilapan besar apabila kerajaan dan pimpinan sekarang ini masih melindungi orang yang lakukan kesalahan, kesalahan nyata.

Wang itu katanya datang dari Hong Kong, pada saya apakah ada orang Hong Kong yang berikan sumbangan, kenapa tidak masuk akaun Umno Sabah, kenapa dibawa secara tunai oleh seorang yang ada kaitan dengan Ketua Menteri? Individu itu ditahan dan akhirnya disiasat, tapi kerajaan kata kononnya ini sumbangan kepada Umno Sabah. Tetapi dalam hal undang-undang tindakan ini sudah salah, kita bawa lebih wang daripada sesebuah negara melebihi had, sedangkan ada peraturan berapa banyak yang boleh dibawa masuk dan keluar, ini integritinya sudaha jelas bahawa orang ini telah salah gunakan akta penggubalan dan juga akta negara mana sahaja yang melebihi had boleh dibawa masuka atau keluar.

Adakah isu ini boleh memecahbelahkan Umno dan BN di Sabah?

Saya melihat di peringkat pimpinan  Umno Sabah pun mereka tidak bersatu sebenarnya, mereka tahu Naib Presiden Umno, Dato' Shafie Apdal terpaksa ikut dan akur sahaja dengan keputusan pihak atasan walaupun Shafie kata kelihatan kononnya mereka bersatu,  dan mereka ini pun saya lihat meraba-raba dalam soal RM40 juta. Sebagai Naib Presiden, Shafie sendiri meraba-raba berkenaan isu ini. Oleh kerana pengumuman telah dibuat oleh kerajaan maka mereka terpaksa mengiyakan dan mengatakan itu duit Umno. Pada lahirnya hati mereka, mereka juga masih tertanya, saya tahu sebab saya dekat dengan mereka dan saya yakin Bendahari Umno Sabah sendiri tahu dari mana datangnya wang ini.

Saya cukup yakin bahawa, pertama bukan sahaja pimpinan peringkat negeri malahan rakyat juga akan memikirkan mengapa wang sebanyak ini keluar dari sabah kemudian dikembalikan kepada Sabah dan tidak mengikut saluran yang betul. Dan kenapa masih ada rakyat yang miskin sedangkan mereka patut terima wang RM40 juta itu. Kalau kita kata kita buat rumah, berapa rumah yang telah dibina dan disiapkan? berapa banyak katakan di kawasan kampung-kampung yang belum dapat air bersih. Berapa banyak tangki-tangki air yang telah kita buat dan bina. Ini dikatakan wang Umno padahal sebaliknya wang individu.

Isu Musa Aman simpan duit di luar negara, banyak isu peribadi membabitkan pengumpulan kekayaan, bagaimana Dato' melihat ini?

Saya tidak nafikan Musa Aman seorang ahli perniagaan yang berjaya, tetapi yang saya persoalkan bagaimana setelah Musa memegang jawatan KM Sabah, bagaimana beliau boleh tambahkan kekayaannya, sedangkan beliau tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam syarikat dan tidak boleh memiliki syarikat sendiri.

Itu yang menjadi persoalan rakyat sekarang sedangkan mengikut laporan wangnya berjumlah bukan jutaan malahan bilion. Jadi pihak berkuasa sepatutnya siasat dan di sini tidak boleh timbul isu pilih kasih. sebab jika Najib mempertahankan integritinya sebagai PM, sepatutnya Musa Aman disiasat dan siasatan harus telus bukannya setengah pihak disiasat dan setengah lagi tidak.

Jika Musa Aman didapati tidak bersalah dan duit itu beliau dapat dengan cara yang betul, beliau dapat naikkan imej Umno bukan sahaja di Sabah malah Malaysia. Apa jua tohmahan pertuduhan yang dilemparkan oleh para pemimpin bukan sahaja daripada pembangkang malahan individu-individu lain yang buat tuduhan bahawa Musa Aman yang begitu kaya dengan balak, kontrak dan sebagainya. Tapi kalau disiasat Musa tidak bersalah dan beliau ikut peraturan dan tidak menyalahi sebarang kesalahan di bawah akta anti rasuah, lagi bagus. Persepsi masyarakat,orang ini kaya sebab beliau buat projek mungkin anak keluarga dia, mungkin beliau tidak terbabit, mungkin ada terbabit dengan pembabitan beliau, isu 40 juta itu dapat dilihat yang tak dapat dilihat bagaimana?

Sabah punyai kekayaan dengan hasil hutan seperti balak, dan galian gas petroleum, namun Sabah masih ketinggalan, kenapa?

Ini ada dua peringkat, pertamanya kerajaan pusat gagal laksnakan tanggungjawab orang Sabah kepada Pusat, ini sah gagal, keduanya kerajaan negeri pun gagal untuk melaksanakan di peringkat negeri ini dua perkara. Rangkaian jalan raya ini tanggungjawab Pusat, hospital pendidikan dan kemudahan asas ini di bawah kerajaan Pusat dan ada kerjasama dengan kerajaan negeri.

Pada saya ialah pertama kerajaan BN gagal tunaikan amanah rakyat Sabah dan keduanya pimpinan BN di Sabah sejak dahulu gagal. Pertamanya yang dibuat pada tahun 1954 sistem penggiliran KM memusnahkan segala-galanya dan memusnahkan sistem pentadbiran kerajaan negeri, menyusahkan kakitangan awam kerajaan, setiap dua tahun akan bertukar KM yang baharu.

Sistem ini, merosakkan segalanya di Sabah hak ekonomi, GLC dan pentadbiran awam dan secara lansung rakyat juga mendapat susah.Penggiliran bertukar KM baharu, pastinya walaupun mereka kata akan teruskan dasar KM terdahulu, namun pelaksanaannya pastinya akan berbeza, pastilah mereka ini akan membawa satu kaedah yang baharu dan mempunyai rangkaian yang baharu dalam merancang apa sahaja program mereka. Pastinya KM baharu kena tunaikan hajat-hajat rakan-rakan dan kroni dalam partinya sendiri, sebab itu saya sebutkan sistem penggiliran KM ini memberi kerosakan kepada ekonomi, pentadbiran di Sabah.

Barangkali dalam tempoh lama rakyat Sabah tiada parti yang kuat untuk gabungkan rakyat Sabah untuk tumbangkan BN Sabah, bagaimana kali ini?

Memang jelas saya lihat bahawa pada rakyat Sabah,  bila Umno-BN telah tersingkir di Semenanjung Malaysia dan tidak dapat membentuk kerajaan dan hanya diselamatkan oleh kerusi di Sabah dan Sarawak, ini satu harapan baharu. Tetapi sejak tahun 2008 rakyat Sabah mahu perubahan yang besar kepada Sabah termasuk ekonomi, infrastruktur dan penjawat awam dalam hak Borneonisasi (seperti dalam perjanjian membentuk Malaysia).

Tidak dinafikan ada perubahan tetapi tidak seimbangan dengan apa yang harus berlaku. Maka seharusnya penjawat awam yang ada kebolehan dan anak Sabah yang boleh kendalikan agensi atau kementerian di Sabah harus diberikan jawatan itu, kerana kini telah ramai di kalangan profesional di Sabah ini boleh menjawat jawatan tinggi.

Apa ertinya kita menyertai Malaysia sedangkan perjanjian ini tidak dilaksanakan. Cara kepimpinan ini hanya boleh berlaku apabila berlaku sesuatu, lantik orang tertentu secara diam-diam, di mana ketelusan pusat kepada Sabah? Saya mohon maaf, saya mahu Pakatan Rakyat jangan  ulangi benda yang Umno buat ini. Cara rakyat Sabah, masih lagi ada sikap Sabah untuk Sabah, dengan tindakan jelas yang konkrit kita akan dengan sendirinya, akan terhapuslah sikap kenegerian dan kesukuan.

Sabah mempunyai banyak parti politik berasaskan kaum di Sabah, apakah boleh bersatu tubuh kerajaan selepas menolak BN?

Kita cukup yakin bahawa tidak akan berlakunya pertembungan di antara Pakatan Rakyat (parti dalam), saya yakin pengalaman PR pada tahun 2008 dan saya usaha bersungguh-sungguh walaupun saya tiada jawatan parti, saya bincang dengan PAS, KeADILan dan DAP Negeri Sabah, kita ada satu kefahaman yang jelas hadapi PRU-13 untuk satu lawan satu dengan BN. Kita juga bincang denga  parti-parti di Sabah yang pelbagai, dan parti yang akan wujud sebelum pilihan raya, dan parti yang ditaja BN yang untuk memecah undi di Sabah. Rakyat Sabah tidak melihat persepsi kecil, tetapi perubahan untuk menjatuhkan BN.

Faktor Kadazan Dusun dan Murut (KDM)  di Sabah , menajdi antara penentu utama poltik Sabah, bagaimana perubahan di kalangan mereka ini?

Ia diakui sejak kekalahan Usno, bilamana KDM ini lari masuk Berjaya dan Cina lari sokong Berjaya akhirnya Usno tumbang. Apabila Berjaya jatuh, KDM dan Cina lari, hanya ada Berjaya pada tahun 1985, kerajaan berjaya begitu kuat disokong oleh BN, tetapi bila mengundi hanya enam kerusi sahaja diperolehi. Faktor KDM-Cina juga ada peranan, nampak perubahan.Sekarang ini kerusi untuk orang Islam sudah ada 30, Cina 10 dan KDM 20, ini kesinambungan, dan saya melihat trend sekarang ini masyarakat KDM mereka ini mahukan perubahan, mereka mahukan keadilan dan kesejahteraan kepada Sabah, selain kemudahan asas yang sangat diperlukan kerana mereka ini dipinggirkan oleh BN.

Saya bangga sebagai orang Islam di Sabah ini, tetapi kita tidak boleh menafikan hak bukan Islam khasnya KDM dan Cina ini,. prinsip ini harsu dinyatakan jelas oleh PR kepada rakyat Sabah bahawa komitmen yang kita pamerkan harus ditunaikan. Sementara komitmen yang boleh mendorong KDM dan orang Islam di Sabah sokong PR harus diteruskan. Saya yakin kerusi Umno akan berkurangan daripada 60 kerusi. Ini kita ada kajian dan laporan pihak tertentu dan ada laporan menyatakan BN Sabah akan kalah, tetapi harsulah dengan satu-lawan satu (BN lawan PR).

Sejauhmana rakyat Sabah tertawan dan positif dengan tawaran PR khasnya soal royalti sejumlah 20 peratus?

Ini satu pengaruh besar.Saya mahu jelaskan BN tidak pernah menyentuh soal royalti minyak, apa yang mereka sebut BN bagi duit dan mahu popularkan kerajaan BN Pusat, sedangkan itu wang Sabah hasil wang royalti miyak. PR telah buat tawaran jika masuk ke Putrajaya dengan 20 peratus royalti dan ianya akan menjadi popular selama-lamanya, BN hanya popular sementara waktu sahaja kerana tawaran bersifat sementara.

PR sekurang-kurangnya setiap tahun, royalti ini 20 peratus amat besar ini akan dilihat oleh rakyat Sabah. Ramai orang tua yang tidak boleh akses internet, tetapi anak mereka yang terpelajar sudah  boleh memberi input kepada mereka khasnya mereka yang berlajar di universiti. Keputusan PR mahu memansuhkan PTPTN memberi satu lonjakan sokongan di kalangan anak muda dan akhirnya melebar kepada ibu bapa mereka yang sebelum ini tiada akses internet, mereka sudah pastinya akan memberi satu gambaran baik kepada ibu bapa mereka tentang pemansuhan ini. Ini dasar terbaik walaupun kononya PM mengatakan, mengajar orang tidak bayar berhutang itu haram. Ini bukan pinjaman kereta mahupun rumah, ini pinjaman pelajaran, mereka ini adalah untuk pendidikan, tiada salah pada saya jika kerajaan ada wang dan hasil wang rakyat dan negeri itu dihapuskan hutang pelajaran, bukan untuk berfoya-foya, bila pelajar ini ada pendidikajn tiggi, mereka akan menjadi modal insan kepada negara.

Dato' Seri, kita mendengar adanya slogan 'Ini kali lah', apakah slogan ini kalilah menjadi kata-kata keramat mendorong rakyat Sabah membuat perubahan?

Saya melihat slogan ini kreatif dan lagunyapun sudah ada, saya pun boleh nyanyi lagunya. Ini satu sebutan mudah kepada rakyat Sabah. Kita juga kena terjemahkan apa maksudnya, apakah ini kalilah hanya untuk tukar Perdana Menteri atau Ketua Menteri? 'Inikali lah' adalah signal kepada kerajaan mana-mana pun yang menerajuinya nanti untuk memberi keselesaan dan menunaikan amanah rakyat Sabah yang telah dikhianati BN sebelum ini. Apa yang telah dijanjikan oleh Pakatan Rakyat harus dilaksanakan dan perlu diperjelaskan kemudian dengan tindakan yang jauh berbeza dengan BN.

Ini kali kita laksanakan mungkin tidak kesemua janji dalam sekelip mata, tetapi comntohnya daripada 10 sekurang-kurangnya enam boleh diterjemahkan kepada pelaksanaan janji.

Akhirnya apakah pesanan dato kepada rakyat Sabah untuk menghadapi PRU-13?


Pertamanya supaya rakyat Sabah memikirkan perubahan yang akan dibawa, dan rakyat Sabah harus imbas kembali apa yang telah berlaju sekian lama di bawah Umno-BN dan rakan-rakan di Semenanjung telah buat perubahan, dan lima negeri telah membuat perubahan. Kali ini saya yakin pemimpin di Sabah dan Semenanjung akan bersetia kepada perjuangan.

Saya rayu orang Sabah mencuba (undi Pakatan Rakyat). Jika tidak cuba kita tidak tahu, jika nanti PR tidak tunaikan janji, mereka boleh tumbangkan semula dan sokong parti lain semula, jika ada parti yang jauh lebih hebat selepas ini. Jangan sekali-kali rakyat Sabah dengar tohmahan TV1, TV2 dan TV3, dan media kerajaan yang mempropaganda bahawa jika PR berkuasa, kaum Cina akan 'naik tocang'.

Ini jangan terpengaruh dengan dakyah Umno-BN ini. Lihat sahaja negara-negara yang telah lakukan perubahan, seperti Indonesia, telah pun memberi satu nafas baharu kepada rakyat dan khasnya ekonomi Indonesia setelah pertukaran pemerintah. Dalam tempoh lima tahun Indonesia rangsang ekonomi sehingga boleh memberi subsidi secukupnya kepada 300,000 juta rakyatnya.

Jika kita boleh melahirkan seorang pemimpin yang boleh terajui negara, apa salahnya. Jika teruskan di bawah BN tiada perubahan yang boleh dilihat, hanya perubahan kepada kroni dan rakan-rakan pemimpin sahaja, rakyat semakin terus terdesak dengan kehidupan. Rakyat Sabah jangan terpesong dengan dakyah palsu oleh Umno-BN termasuk kononnya kita mahu menggubal perlembagaan kononnya agama rasmi Kristian, ini tak logik, dalam perlembagaan tidak akan berlaku kerana kita ada Majlis Raja-raja dan saya yakin pimpinan PAS tidak akan berdiam diri jika ini hendak dilakukan.Saya yakin dengan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pimpinan DAP untuk perubahan kepada negara ini bagi keselesaan rakyat.