Wednesday, September 29, 2010

Umno dilanda sindrom jumud dan sembab

PAGI Sabtu lepas, penulis menerima panggilan telefon dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Beliau memang sering menelefon, tetapi jika panggilan dibuat pagi-pagi hari, ada lah sesuatu yang tidak kena.

"Hai Rashidi, selamat pagi, apa khabar," kedengaran suara Guan Eng di corong telefon.

"Selamat pagi CM (Chief Minister), saya okay, kenapa pagi-pagi call, ini mesti ada problem," ujar penulis.

"Ya lah, ini Utusan, you sudah baca? Saya betul-betul geram," katanya.

"Belum, saya tak beli, biasa tengok kat internet sahaja," jawab saya.

"Inilah..Utusan ini you tau la..memang suka buat fitnah..Umno fitnah saya. Dia orang lagi twist (putar belit)," katanya.

"Umno ini fitnah saya, dia kata saya guna wang judi bantu orang Melayu yang miskin. Umno ini jahat macam Firaun. Hari itu dia kata saya guna duit judi untuk bagi RM100 seorang setiap tahun di bawah Program Penghargaan Warga Emas.

"Bila kita sudah jawab, duit itu kita beri hasil lebihan belanjawan negeri, duit itu duit jimat sebab kita anti rasuah. Lepas itu dia tuduh kita guna wang untuk bantuan kemiskinan di bawah program Rakan Anti-Kemiskinan pula," ujarnya melepaskan geram.

"Waahh..you betul-betul geram dengan Umno," usik penulis menambah kehangatan.

"Mestilah, kita tak bodoh macam Umno. Umno tak pernah faham kerana dia tak tahu jimat. Umno-Gerakan sama sahaja..puluh tahun perintah, yang dia tahu sapu duit rakyat. Itu pasal pemimpin dia banyak kaya.

"Ini program bantuan warga emas dengan anti kemiskinan pun dia (Umno) tak tahu beza. Dia (Umno) ingat Melayu sahaja kah miskin? Ramai lagi orang Cina, India, lain-lain bangsa..pun miskin juga! Ini semua kita mesti tolong," ujar Guan Eng dengan nada keras.

"You betul-betul marah ini, saman sahaja lah Umno sama Utusan," kata penulis.

"Ya lah..saman pun belum tentu menang..mahkamah dia (Umno-Barisan Nasional) punya. Tapi saya mahu cakap sama you..saya juga faham Islam. Saya tahu orang Islam tidak boleh terima wang judi. Sebab itu kita separate (asing) lejer (akaun).

"Ini syarikat judi, Umno-BN yang kasi (beri) lesen. Kalau mereka hendak derma pada kerajaan negeri tak kan kita nak tolak? Wang itu kita guna untuk tolong orang bukan Islam yang miskin..salahkah? Ini pun Umno susah nak faham.

"Pasal apa sekarang Umno sensitif dengan judi? Bukankah selama ini dalam negara kita, Umno yang luluskan judi. Judi bola pun dia lulus, kita tentang.

"Rashidi, kalau you ingat, Pulau Pinang lah negeri yang pertama mengharamkan judi bola. Saya hairan, sekarang baru pemimpin Umno tahu, guna wang judi itu haram," ujarnya panjang lebar.

Kesian Guan Eng. Perbualan kami berlangsung sekitar 20 minit. Ternyata banyak perkara yang hendak Guan Eng sampaikan. Sesekali penulis meminta beliau bersabar dengan tekanan yang diterima sepanjang menjawat jawatan Ketua Menteri.

Sebagai seorang sahabat dan petugas di Harakah, penulis hanya boleh memberi jaminan untuk membantu membela beliau sekadar yang termampu.

Pada penulis, keikhlasan Guan Eng membantu rakyat, ketelusannya dalam mentadbir, dengan mengetepikan kepentingan peribadi, jauh lebih baik daripada pemimpin Umno-BN.

Apa pun penulis yakin Kerajaan Pakatan Rakyat dan Guan Eng sendiri, di Pulau Pinang, tidak akan tergugat dengan serangan-serangan jahat yang dilemparkan oleh Umno.

Dalam isu berkaitan penggunaan wang judi ini, selain dari pendedahan palsu Umno negeri, isu ini turut mendapat respon Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita mahukan respons daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, kerana prinsipnya kena ikhlas. Kalau sumber (wang) itu daripada sumber haram, kita Muslim tidak mahu bersubahat," kata Muhyiddin.

Cara Muhyiddin juak-juak Umno-BN bangkitkan isu memang hebat dan penuh bergaya. Macam Umno Islamik sangat dan tidak langsung mahu bertolak ansur dalam soal halal haram.

Dakwaan Umno dimulakan oleh Ketua Penerangan Pemudanya, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar. Serangan dibuat bertalu-talu terhadap Guan Eng dengan sokongan media talibarut Umno-BN.

Dalam satu kenyataan media, respon kepada fitnah tersebut, Guan Eng menegaskan adalah tidak munasabah untuk kerajaan negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.

"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.

"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama BN yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.

"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan Pakatan Rakyat sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya.

Tetapi jawapan Guan Eng dan rakan-rakan dalam kerajaan negeri ini, tidak disiarkan, sebaliknya laporan mereka sebelah pihak dan penuh dengan putar belit.

Sebab itu kita lihat pemikiran Umno, khususnya TPM yang membuat respon berdasarkan laporan media talibarut, makin jumud dan sembab.

Fikiran mereka jumud kerana tidak menyerang hanya kerana sentimen politik dan otak mereka makin sembab kerana enggan menerima hakikat dari fakta yang sebenar.

Dalam hal mentadbir, tiada siapa yang sempurna. Jika Guan Eng salah, kemukakan fakta yang betul, jangan memaki hamun dan membuat provokasi. Ini tidak baik bagi masyarakat yang kononnya beretika dan bermoral tinggi.

Apa pun pada penulis, media talibarut tidak mudah mempengaruhi rakyat. Rakyat makin matang. Fakta sebenar, begitu mudah diakses menerusi media alternatif.

Hasil dari kematangan rakyat ini, mereka akan menghumbankan pemikiran yang jumud dan sembab ke dalam muzium selepas PRU ke-13 nanti.

Saturday, September 25, 2010

KeADILan jangan silap catur

KONGRES Tahunan Parti KeADILan Rakyat November ini, diraikan dengan pemilihan pucuk kepimpinan yang kehangatannya mendominasi percaturan media.

Pemilihan pucuk pimpinan KeADILan menjadi tumpuan kerana, buat kali pertama kalinya dalam sejarah politik negara, sebuah parti politik menyerahkan nasib pemimpinnya kepada semua ahli.

Dalam ertikata lain, KeADILan sedang mempraktikkan amalan 'true democracy' atau demokrasi sebenar apabila semua ahli berhak mencalon dan mengundi sesiapa yang dikehendakinya.

Amalan biasa dalam sistem kepartian di Malaysia adalah sistem perwakilan atau delegate system. Di mana kuasa untuk mencalon atau mengundi diserahkan kepada perwakilan tertentu.

Sistem ini adalah sebahagian daripada demokrasi juga. Cumanya, apabila kuasa mencalon berada pada bilangan yang kecil, ia barangkali boleh mengundang kepada perebutan yang tidak sihat.

Menerusi sistem baru yang diamalkan KeADILan, semua ahli berhak mengundi, maka ia sedikit menyukarkan calon untuk mempengaruhi pengundi dengan cara manipulasi, rasuah, politik wang atau sebagainya.

Nyatanya, sistem satu ahli satu undi ini merupakan suatu reformasi politik yang sedang dinilai pemerhati politik. Ianya suatu pembaharuan politik, ianya juga suatu eksperimen untuk diuji sejauhmana keberkesanannya.

Prinsip-prinsip yang digariskan KeADILan di dalam pemilihan kali ini antaranya ialah untuk mewujudkan pemilihan yang bebas dan seimbang, asas pertandingan yang seimbang, mengutamakan kepentingan parti dari kepentingan peribadi, tiada politik wang dan proses yang transparen.

Apa pun yang digariskan sebagai suatu peraturan dalam sesebuah sistem, bukan semuanya menjamin kesaksamaan dan keadilan. Bukan semua peraturan boleh dipatuhi semua pihak yang bertanding.

Namun, apa yang diamalkan oleh KeADILan, merupakan suatu eksperimen yang bakal menentukan corak masa depan politik negara.

Pasang surut perjuangan KeADILan


Kewujudan KeADILan, sebagai parti yang masih baru dalam arena politik negara, juga merupakan suatu eksperimen yang menarik.

Rakyat hari ini melihat KeADILan sebagai suatu force multi-cultural dalam negara. Mengatasi kesatuan pelbagai kaum Gerakan, PPP, barangkali juga Barisan Nasional.

KeADILan diwujudkan pada tahun 1998 selepas peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Memasuki Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dengan kerjasama Barisan Alternatif (PAS, DAP dan PRM).

Sebagai parti yang masih baru, KeADILan mencatat kemenangan yang memberangsangkan sehingga mampu memenangi banyak kerusi Parlimen dan Dun. Banyak juga kawasan yang berjaya dikurangkan majoriti Umno-BN. Itupun pada waktu itu lebih 600 ribu pengundi tidak dimasukkan dalam senarai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Namun, kecemerlangan KeADILan agak suram apabila BA berpecah. Anwar masih dalam penjara, dengan keadaan yang tidak menentu pada waktu itu.

KeADILan mengalami liku-liku getir menjelang PRU ke-11 pada 2004. Wujud perpecahan yang serius dalam parti. Ramai pemimpin yang sudah 'habis minyak'. Ramai yang kelihatan sudah letih.

Antaranya ramai pimpinan Angkatan Muda KeADILan (AMK) yang 'cabut' masuk Umno. Kesabaran kepimpinannya begitu teruji.

Kelemahan-kelemahan ini mendorong kepada kelemahan BA secara keseluruhan. PAS juga terjejas teruk, KeADILan hanya tinggal satu kerusi.

Selepas Anwar dibebaskan pada November 2004, pemulihan KeADILan masih belum memperlihatkan masa depan yang baik untuknya.

Perpecahan terus berlaku, ramai yang keluar parti, mungkin kerana tidak sabar atau tidak yakin dengan perjuangan reformasi.

Malah ada antara mereka yang mengajak Anwar masuk Umno kerana tidak mampu dengan ujian menjadi parti pembangkang.

Mengapa mereka berebut jawatan?

Selepas Anwar dibebaskan, Anwar tidak dibiarkan keseorangan. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din mengunjunginya di Munich (semasa dalam rawatan). Begitu juga dengan pemimpin DAP.

Hubungan akrab PAS, DAP dan KeADILan diteruskan walaupun Anwar dikekang undang-undang, iaitu tidak dibenar bertanding pada PRU ke-12, 2008.

Pada waktu itu, selepas pengagihan kerusi dibuat, ramai yang tidak mahu bertanding, kerana tidak yakin dengan KeADILan.

Banyak seat kosong. Sehingga KeADILan terpaksa meminjam calon-calon daripada PAS. Malah boleh dikatakan seluruh pegawai-pegawai pejabat Anwar, yang masih muda, baru dalam politik disenaraikan sebagai calon.

Sehingga pada waktu itu, KeADILan dikatakan menggunakan 'calon tangkap-muat'. Bekas askar, posmen dan yang tiada kelulusan, tidak jelas latar belakang, semuanya diambil sebagai calon untuk memenuhi kouta.

Tetapi hasil PRU-12, berlaku sesuatu di luar dugaan. KeADILan, PAS dan DAP menang besar. Kemenangan yang tidak disangka-sangka hasil sokongan rakyat.

Kemenangan ini membuatkan ramai ahli politik 'terbuka mata'. Mereka melihat potensi yang besar dalam KeADILan. Mereka mula melihat bahawa KeADILan adalah parti masa hadapan, walaupun pada suatu ketika mereka ini semuanya skeptikal dan pesimis.

Apakah kerana KeADILan dilihat bakal menerajui Putrajaya bersama PAS dan DAP, maka mereka-mereka ini berebut-rebut untuk menang dalam pemilihan KeADILan?

Apakah mereka ini hanya muncul apabila cahaya kemenangan sudah kelihatan? Jawapannya mereka sendiri yang tahu.

Masalah yang dihadapi KeADILan

Apapun sejak lebih tiga puluh bulan Pakatan Rakyat dibentuk, rakyat amat-amat memerhati KeADILan, PAS dan DAP.

Soal siapa yang menawarkan diri, siapa yang berebut jawatan, atau sesiapa yang hendak diundi, terserahlah kepada perwakilan KeADILan untuk menentukannya.

Cumanya, harus diingatkan bahawa bukan kepimpinan yang hendak direbut. Bukan siapa yang berkuasa dalam parti yang hendak dikejar. Yang utama sekali ialah, adalah KeADILan yang ada hari ini akan terus relevan di hati rakyat.

Kewujudan KeADILan dalam Pakatan Rakyat, sama pentingnya dengan PAS dan DAP. Kelemahan KeADILan adalah juga kelemahan Pakatan Rakyat. Begitu juga kepada PAS dan DAP.

Masalah wujud dalam semua parti. Tetapi dalam ruangan ini penulis hanya mahu menfokus masalah yang dihadapi KeADILan.

Masalah yang dihadapi sekarang ialah sejauhmana kemampuan kepimpinannya mampu mengatasi persepsi kurang baik terhadap KeADILan.

Apakah persepsi yang kurang baik itu? Secara jujur digariskan di sini, antaranya ialah pertama, kebergantungan hanya kepada ketokohan Anwar Ibrahim. Maknanya, adalah dibimbangi, jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap Anwar, KeADILan akan jadi macam 'anak ayam kehilangan ibu.' Anwar juga dilihat sebagai faktor penyatuan dalam parti.

Kedua, KeADILan dilihat mempunyai terlalu banyak faction leader atau group leader. Sama ada faktor ini kerana perbezaan antara Melayu dengan bukan Melayu, beza kerana bergabung dua parti (Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia), atau beza kerana pelbagai latar belakang kumpulan dalam parti. Perbezaan ini memungkinkan sukarnya ideologi mereka disatukan.

Ketiga, selepas PRU ke-12 lepas, ramai pemimpin, terdiri dari Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang defect dari KeADILan, sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri Perak tumbang dan ada yang goyah.

Keempat, wujudnya persepsi pemimpin KeADILan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau dalam Pihak Berkuasa Tempatan, yang kelihatan tamak kuasa. Sehingga timbul pergeseran kecil akibat berebut jawatan JKKK. Sehingga ada yang berkata, seolah-olah dari segi berebut kedudukan atau jawatan ini, KeADILan tiada beza dengan Umno.

Kelima, wujudnya hubungan kurang mesra di kalangan wakil rakyat KeADILan dengan kepimpinan PAS atau DAP di peringkat Parlimen atau Dun, yang dilihat boleh menjejaskan persefahaman untuk jangka panjang.

Mungkin banyak lagi boleh dicatat. Cukup sekadar ini dahulu. Apa pun kepimpinan KeADILan harus memperhalusi permasalahan persepsi ini.

Kerana, persepsi itu menterjemahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
Cabaran terbesar KeADILan bukanlah semata-mata untuk mengemukakan suatu sistem yang dilihat lebih demokratik, tetapi ialah, sejauhmana ia mampu menjadi team player yang meyakinkan rakyat untuk terus menyokong Pakatan Rakyat.

Cabarannya ialah sejauhmana ia mampu menghapuskan semua persepsi buruk terhadap KeADILan, mampu membezakannya dengan Umno dan ia mempunyai kepimpinan yang komited serta ahli-ahli yang setia.

Jika pun kepimpinan berubah, kepimpinan dilihat semakin mantap, tetapi ahli di peringkat bawahan terus melompat atau keluar parti, imej parti agak sukar dipulihkan.

Jika persepsi tidak ditangani sebaiknya, ada kemungkinan harapan menuju ke Putrajaya pada PRU ke-13 nanti, hanyalah mimpi yang tidak berkesudahan.

Penulis tidak bermaksud untuk mengkritik semberono, tetapi ianya sekadar merupakan muhasabah yang membina, bagi kepentingan Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Monday, September 20, 2010

Ibrahim Ali, Khairy Jamaluddin usah buang masa

KADANG-KADANG rasa meluat melihat pertelagahan Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Tapi kadang-kadang hendak tergelak pun ada. Ibarat macam 'katak' dengan 'beruk' bergaduh, walhal tiada keperluan pergaduhan antara keduanya wujud.

Katak ketawakan beruk kerana, beruk hanya tahu melompat atas pokok. Katak ketawa kerana mendakwa perjuangan beruk tidak sesuai kerana 'tidak berpijak di bumi yang nyata.'

Manakala beruk pula mentertawakan katak kerana perjuangan katak 'tak sampai ke mana', tidak boleh naik ke atas, hanya melompat-lompat di bawah sahaja.

Hakikatnya perjuangan seumpama katak dan beruk tidak relevan sama sekali dalam dunia moden hari ini. Justeru ahli-ahli politik Malaysia, jika hendak kekal lama, usahlah meniru perangai katak dan beruk ini.

Penulis tidak bermaksud merujuk ungkapan katak dan beruk sama ada kepada Ibrahim, mahupun Khairy. Penulis hanya memberikan perumpamaan atau analogi sahaja.

Apa pun, tidak payahlah, Ibrahim Ali dan Khairy Jamaluddin hendak bergeseran lagi. Pergeseran kedua-duanya hanya membuang masa sahaja.

Umno, Perkasa tidak relevan kepada Melayu

Sejak beberapa bulan ini kedua-duanya asyik bertelagah, menyalahkan antara satu sama lain. Kedua-duanya sering mendakwa salah seorang di antara mereka sudah tidak relevan.

Ibrahim sering menyerang Khairy, manakala Khairy mengugut dengan menyatakan, beliau sanggup keluar Umno jika didapati Umno yang mendokong perjuangan Perkasa.

Sebenarnya, perseteruan Ibrahim dan Khairy yang digembar-gemburkan media, hanyalah suatu sketsa atau babak dari kartun politik yang tidak mempunyai apa-apa nilai.

Kedua-dua ahli politik ini, cuba meraih publisiti murahan untuk menarik perhatian rakyat dari kalangan penyokong Umno sahaja. Iaitu perjuangan menarik perhatian mereka-mereka yang confius dengan Umno, yang sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Ibrahim dan Khairy, kedua-duanya memang tidak ada nilai apa-apa langsung, kepada para penyokong Pakatan Rakyat. Bak kata pepatah 'ada pun tak menambah, tak ada pun tidak mengurangkan'.

Hakikatnya mereka berdua hanya 'melukut di tepi gantang' dari guni beras Umno-Barisan Nasional. Jika selepas Pilihan Raya Umum ke-13, BN dilenyapkan, mereka pun turut sama terhapus.

Apapun setakat ini, walaupun mereka berstatus Ahli Parlimen, tetapi penulis menjangka, jika tidak ada aral, inilah kali terakhir mereka duduk di Parlimen. Mungkin kali terakhir mereka berkarier dalam dunia politik.

Ibrahim menang di Pasir Mas atas ihsan PAS. Khairy menang di Rembau kerana bapa mertuanya, Perdana Menteri dan Presiden Umno, memilihnya sebagai calon BN.

Sekarang ini, Ibrahim sudah tidak diterima lagi dalam arena politik Kelantan. Beliau sudah tidak boleh 'cari makan' di sana. Orang-orang politik sudah jemu dengan gelagatnya, menggelarnya 'katak politik' yang flip flop.

Nasib Khairy juga sama. Walaupun beliau MP, Ketua Pemuda Umno, tetapi tiada nilai dalam Umno-BN. PM, Dato' Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno, sudah menunjukkan isyarat jelas bahawa Khairy tidak dikehendaki.

Jawatan Ketua Pemuda yang setaraf Naib Presiden, tiada nilai dalam Umno, kerana beliau dimusuhi sekian lama, khususnya juak-juak mantan PM, Tun Mahathir Mohamad dan PM sekarang ini.

Antara Perkasa dan Islam Hadhari

Persoalan relevan atau tidak kewujudan mereka dalam dunia politik, harus dijawab sendiri oleh Ibrahim dan Khairy.

Harus dikaji atas dasar apa perjuangan mereka disandarkan. Bagi rakyat yang berfikiran matang, mereka tidak perlu diajak menilai Ibrahim dan Khairy. Perjuangan Perkasa tidak diterima dan Islam Hadhari juga sudah lama melingkup.

Bagi PAS, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan tegas menolak Perkasa kerana PAS tidak menerima perjuangan yang berlandaskan kepada perkauman yang dijadikan akidah.

Perkasa diwujudkan dengan dokongan sebahagian besar ahli Umno, kononnya hendak menjadi pressure group mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu dalam negara.

Mereka cuba menafikan hakikat, bahawa Perkasa adalah 'alat Umno', selepas Umno dilihat gagal menjadi juara memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Melayu selepas lebih 50 tahun menerajui negara.

Bila Umno yang mendabik dada sebagai induk perjuang Melayu pun sudah gagal, apa yang orang Melayu hendak harapkan daripada Perkasa? Perkasa itu sendiri wujud dengan ihsan Umno.

Oleh itu, Perkasa tidak perlu berlakon untuk bergaduh dengan Umno. Sebabnya, orang-orang Melayu yang sudah menolak Umno, sama sekali tidak akan menerima Perkasa kerana ianya merupakan sebuah intiti wayang kulit Umno.

Menyentuh mengenai Islam Hadhari pula, Presiden PAS sudah menghurai dengan panjang lebar dalam bukunya bertajuk 'Hadharah Islamiah bukan Islam Hadhari' yang terjual lebih 30 ribu naskhah.

Islam Hadhari yang dipelopor Abdullah dan grup-grup Khairy, pada suatu ketika dijadikan model klasik, betapa hebatnya Islam yang dipelopori Umno.

Habis semua ulama-ulama yang menjadi jargon politik mereka, dikerah mengeluarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran, demi menghalalkan Islam Hadhari. Islam Hadhari bukan sahaja diucapkan, diseminarkan dan dijadikan dasar negara.

Namun apa jadi dengan Islam Hadhari? Habis melingkup. Tiada seekorpun pemimpin Umno yang menyebutnya, selepas Abdullah diturunkan dari jawatan PM. Mana ulama-ulama besar Umno yang beriya-iya memperjuangkan Islam Hadhari? Mana profesor-profesor kangkung yang meuar-uarkan slogan tersebut di media arus perdana?

Kalau ulama pun tidak menyebutnya lagi, usahlah diharap lulusan Oxford atau Cambridge hendak menyebut ungkapan Arab itu. Habis tergeliat lidah mereka.

Yang golongan ini faham bukan Islam Hadhari, tapi Islam yang ada 'Had' dan ada 'Hari'. Iaitu pada mereka, Islam di Malaysia hanya diamalkan pada had-had tertentu dan hari-hari tertentu sahaja.

Hakikat yang hendak disebut di sini ialah, perjuangan Khairy sudah sama sekali tidak relevan dalam politik Malaysia. Beliau sepatutnya berundur dengan cara terhormat, sebalik sahaja Abdullah diundurkan pada 4 April 2009.

Dalam usia awal 30-an agak malang bagi Khairy kerana karier politiknya akan ditamatkan dengan cara yang memalukan.

Saranan buat Ibrahim dan Khairy

Kedua-dua mereka tidak perlu berbalah soal siapa lebih bijak berpolitik, atau siapa perjuang sebenar Melayu dalam negara.

Kedua-duanya harus memahami asas Melayu yang ditafsirkan dalam Perlembagaan, selain daripada bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, mereka juga adalah mereka yang beragama Islam.

Agama Islam bagi orang Melayu adalah amat sinonim. Maknanya, orang Melayu hendaklah mereka yang mengamalkan Islam dalam ertikata yang sebenarnya.

Dalam soal kehidupan, jika hendak menjadi Melayu tulen, bukan dengan sentiasa memakai baju Melayu, bersampin dan bersongkok. Melayu mesti hidup cara Melayu, bukan hidup cara Barat.

Dalam soal berkahwin misalnya, hendaklah dibuat mengikut adat istiadat Melayu, bukan membuatnya di hotel besar macam 'orang putih'. Melayu hendaklah mendekati masjid, bukan mendekati kelab-kelab malam dengan botol-botol arak yang bersepah di atas meja.

Perjuangan Melayu Umno gagal kerana kepimpinannya tidak mengamalkan cara hidup Melayu dan Islam sebenarnya. Yang ditolong memang Melayu, tetapi kroni, adik beradik dan saudara mara.

Yang diberikan projek memang Melayu, tetapi segelintir kroni, buat mereka mengaut keuntungan peribadi.

Perjuangan Khairy melalui Umno sudah gagal. Perjuangan Ibrahim melalui Perkasa juga akan menemui kegagalan kerana Melayu yang berjuang bukan Melayu tulen, tetapi Melayu plastik.

Oleh itu lebih baik bagi Ibrahim dan Khairy untuk berhenti berpolitik seketika. Usah buang masa lagi. Pergilah berniaga atau berhijrah, pergi menambah ilmu dan mendalami ilmu Islam. Mudah-mudahan suatu hari nanti, kedua-duanya akan menjadi insan yang berguna buat negara.

Friday, September 17, 2010

Kembali kepada fitrah yang sebenar

Umat Islam baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri, yang jatuh pada 1 Syawal, Jumaat lepas. Aidilfitri disambut saban tahun sebagai bulan kemenangan bagi umat Islam.

Kemenangan disambut selepas berjaya melawan hawa nafsu, melalui ujian berpuasa selama sebulan, menunaikan solat tarawih, tadarus, qiamulaill dan sebagainya.

Kemenangan umat Islam disambut dengan membesarkan Allah, melafazkan kalimah takbir berulang-ulang kali, tanda syukur dan taat kepada perintah Allah.

Di kebanyakan tempat, takbir raya disambut dengan meriah, berkunjung dari rumah ke rumah, ke merata taman dan desa, melaung-laungkan kalimah takbir.

Namun, agak malang apabila kebanyakan umat Islam, melaung-laungkannya sekadar tradisi orang Melayu, tanpa memahami intipati kalimah takbir yang dilaung-laungkan berulang kali.

Kalimah takbir adalah zikrullah. Membacanya bukan untuk mengejar kemerduan alunan. Ianya penuh dengan makna, iaitu mengajak umat Islam berperang dan berjihad untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Jihad yang dituntut dengan memerangi hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan, harus diteruskan pada hari Eid Mubarak.

Eid Mubarak atau Aidilfitri adalah hari kembalinya umat Islam kepada fitrah, iaitu suci dari noda dan dosa, serta mentaati segala perintah Allah sepenuhnya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu.

Pada setiap lafaz takbir, kita berikrar kepada Allah bahawa kita membesarkan-Nya, tanpa mensekutukan-Nya dengan yang lain.

Ia adalah pernyataan ikrar dan taat kepada Allah, kepada syariat-Nya, kepada seluruh perintah dan larangan-Nya, kita berjanji kita akan patuhi.

Justeru, apakah kita benar-benar sudah mematuhi perintah Allah dalam kehidupan kita, dalam rumahtanga kita, dalam masyarakat dan negara kita?

Kita harus mentaati-Nya secara mutlak, iaitu menolak segala bentuk undang-undang yang tidak Islam, ideologi yang tidak Islam, ekonomi dan sistem sosial yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar.

Maka pada hari raya Aidilfitri, yang digalakkan kita ziarah menzarahi sesama sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga, hendaklah kita asaskan pada dasar Islam.

Iaitu dengan mempereratkan silaturrahmin, ingat mengingatkan antara satu sama lain di atas jalan kebenaran, menjauhi sebarang bentuk maksiat, serta mengelakkan hiburan yang berlebih-lebihan.

Kita harus mengelakkan amalan jahiliyah dengan memelihara adab dan kesopanan sesama keluarga mengikut ketetapan Allah SWT.

Dalam keseronokan berhari raya, jangan sesekali kita membenarkan anak isteri kita bergaul bebas tanpa dibatasi batasan aurat, jangan biarkan anak-anak muda walaupun bertahap sepupu berlonggok bersukaria, berhibur tanpa kawalan.

Ketahuilah bahawa kehadiran Aidilfitri adalah ibadah, menyambutnya adalah ibadah, ziarahi menziarahi adalah ibadah. Maka jangan sesekali mengundang maksiat ke dalam rumah kita, sewaktu kita sedang melaksanakan ibadah terhadap-Nya.

Jika kita masih terus mengamalkan amalan maksiat, bergaul bebas secara jahiliyah, maka sesia-sialah puasa kita, sia-sialah ibadah kita, tiada nilainya lafaz takbir yang kita laung-laungkan.

Oleh itu, umat Islam hari ini, yang kebanyakannya masih tidak sedar dan lalai, harus segera memperbetulkan tatacara kehidupan mereka supaya menepati ajaran Islam yang sebenar.

Pengertian kembali kepada fitrah, adalah kembali kepada Islam sepenuhnya. Moga-moga dengan istiqamah kita, Allah akan terus merahmati dan memberkati hidup kita. Amin.

Thursday, September 16, 2010

Dilema seorang polis pencen

TAN Sri Musa Hassan barangkali termasuk di kalangan Ketua Polis Negara yang paling malang dalam sejarah perkhidmatan polis negara. Hari Ahad 12 September lepas diadakan majlis perpisahan tugas beliau.

Nasibnya malang kerana setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam pasukan polis, beliau dihentikan dengan cara yang amat hina.

Apa tidak hinanya, jika seorang yang menjawat kedudukan paling tinggi dalam institusi yang paling penting dalam menguruskan keselamatan negara, diberhentikan secara tiba-tiba.

Cara Musa diberhentikan memang hina, kerana beliau langsung tidak diberitahu oleh kerajaan. Kata Musa beliau hanya mengetahui kontraknya tidak disambung, hanya melalui pengumuman media.

Memang Musa patut bersedia untuk tidak disambung kontrak, namun tidak bolehkah pihak kerajaan membuatnya dengan prosedur yang lebih berhemah, iaitu dengan memaklumkan kepada beliau lebih awal, supaya beliau boleh keluar dari pejabat KPN dengan cara yang terhormat.

Kalau kita jadi Musa kita pun akan terkejut. Apa malangnya Musa? Mengapakah kerajaan Umno-Barisan Nasional melayannya dengan begitu hina?

Apakah kerana hubungan dingin Musa selaku KPN dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, mendorong beliau diperlakukan sebegitu hina?

Sebab itu Musa berhak mempertikaikan cara kerajaan memberhentikan beliau. Beliau berhak dilayan dengan sopan dan hemah.

Cara kerajaan Umno-BN memberhentikan Musa seolah-olah orang yang tidak mengenang budi. Sedangkan, Umno-BN patut berterima kasih terhadap Musa, kerana khidmatnya yang penuh 'cemerlang'.

Jasa besar Musa membantu Umno

Musa patut dianggap cemerlang kerana 12 tahun yang lalu, selaku pengawai penyiasat polis (I.O), beliau mengendalikan kes berprofil tinggi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Musa adalah pegawai polis yang 'berjasa' menjayakan agenda konspirator Umno untuk menghapuskan karier politik Anwar.

Pada waktu itu (tahun 1998) beliau berpangkat SAC1 (Senior Assistant Commissioner of Police 1). Belum dapat Dato' belum dapat Tan Sri.

Menurut keterangan yang dicatat di dalam buku 'Anwar on Trial - In the Face on Injustice' karangan peguam terkemuka, Pawancheek Marican, Musa adalah pegawai yang menyiasat surat layang atau poison-pen letter yang melemparkankan pelbagai tuduhan terhadap Anwar.

Musa memainkan peranan utama untuk menyiasat dakwaan terhadap Anwar seperti yang terkandung dalam buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM', yang ditulis Khalid Jafri.

Orang-orang Musa (pegawai polis bawahannya), ditugaskan untuk mengeledah dua unit apartment di Tivoli Villa, Bangsar. Mereka menyita tilam yang didakwa terdapat kesan air mani (semen stains) dan helaian bulu (pubic hair) untuk dibuat perbandingan DNA dengan Anwar.

Kes yang dibawa Musa mencatatkan sejarah tersendiri dalam perundangan negara, tilam menjadi tersohor apabila diangkut ke dalam bilik mahkamah sebagai salah 'seorang' saksi utama kes Anwar.

Keterangan Musa di mahkamah banyak dibantah peguam Anwar, khususnya Christopher Fernando,kerana dianggap mengemukakan 'khabar-khabar angin' yang tidak berkaitan dengan kes.

Tetapi bantahan Fernando ditolak Hakim Augustine Paul, yang membuat ruling bahawa semua keterangan Musa adalah relevan dengan kes.

Jasa besar Musa tercatat, apabila mengemukakan afidavit jawapan terhadap Dato' S Nallakaruppan, yang mencatatkan banyak tuduhan serius terhadap Anwar, walaupun ianya tiada kena mengenakan dengan kes secara spesifik.

Tindakan Musa dianggap peguambela Anwar, sebagai sebagai usaha untuk memburuk-burukkan serta menjatuhkan kredibiliti client mereka.

Hasil daripada afidavit dan keterangan bersumpah Musa, media arus perdana memaparkan semua tuduhan terhadap Anwar di muka hadapan.

Ianya merupakan pelanggaran etika dan prosedur undang-undang, kerana sepatutnya afidavit yang belum dikemukakan dalam mahkamah tidak boleh disiarkan. Tetapi di atas kuasa rakus para konspirator, semua peruntukan undang-undang diketepikan, asalkan Anwar berjaya dihukum.

Disebabkan peranan Musalah, Anwar telah dihukum media talibarut Umno sebagai pesalah yang paling jahat dan paling jijik dalam negara, walaupun tuduhan terhadap beliau belum lagi disebut dalam mahkamah.

Tatkala Musa dan media talibarut Umno-BN menyerang Anwar, TPM yang dipecat itu sudahpun menerima balasan sepak terajang dalam sel polis, yang dilakukan sendiri oleh KPN, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Banyak lagi peranan Musa sepanjang perkhidmatannya, menguntungkan Umno, tetapi tidak perlu dicatat dalam ruangan yang terhad ini.

Jasa besar Musa dalam perkhidmatannya ialah menjadi alat politik konspirator, untuk memusnahkan karier politik seteru mereka, iaitu Anwar.

Hasilnya gerakan politik Anwar tergendala selama enam tahun akibat disumbat dalam penjara. Anwar juga mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan imej politik beliau.

Kes Anwar adalah merupakan suatu kes klasik yang menunjukkan secara 'direct' bahawa wujudnya campurtangan politik dalam urusan polis.

Terpahat persepsi di kalangan rakyat sehingga kini, bahawa pihak polis berkhidmat di bawah telunjuk Umno-BN. Entah mengapa persepsi ini sukar untuk dihakis.

Apapun, hasil daripada sumbangan 'besar' Musa, beliau telahpun mendapat anugerah besar sehingga dilantik menjadi KPN dan mendapat gelaran Tan Sri.

Malah Musa sepatutnya bersara beberapa tahun lepas, tetapi khidmatnya disambung beberapa tahun atas ihsan Umno-BN.

Reaksi pemberhentian Musa


Namun, nampaknya Umno-BN kini, kelihatannya tidak mahu 'terikat' dengan jasa-jasa Musa.

Mungkin juga bagi Umno-BN, imej polis yang tercalar di bawah kepimpinan Musa sukar dipulihkan kerana, Musa dianggap sebahagian besar rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat sebagai terlalu personal dengan Anwar.

Maka bagi Umno-BN, selagi Musa menduduki kerusi KPN, persepsi buruk rakyat terhadap integriti pasukan polis, sukar dihakis. Mungkin bagi mereka, hanya dengan 'melepaskan' Musa, persepsi rakyat akan kembali pulih.

Selain daripada itu wujud khabar bahawa Musa 'tidak berlaga' dengan Menteri. Malah ada rumours mengatakan ada beberapa kes membabitkan Musa yang menyebabkan kerajaan tidak berapa selesa dengannya.

Lalu Musa diberhentikan dengan cara yang begitu hina dan memalukan.

Lantas, sebagai reaksinya terhadap pemberhentian mengejut itu, Musa mendakwa ada campurtangan kerajaan terhadap pengurusan polis, dengan arahan yang bertindan, sehingga menyukarkan tugas KPN.

Kalau hendak diikutkan geram rakyat, kita patut bersorak gembira, biar dia 'padan muka'.

Musa berhak bersuara. Beliau berhak 'melepaskan geram' terhadap gangguan ahli politik Umno-BN terhadap tugas anggota polis. Namun Musa barangkali tidak sedar bahawa perlantikan beliau sebagai KPN dan sesiapa sahaja yang menduduki jawatan itu sebelumnya, adalah di atas lantikan politik.

Oleh kerana pelantikan KPN adalah diatas perogatif Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, maka Umno sentiasa akan beranggapan bahawa KPN adalah 'budak suruhan' mereka.

Pasukan polis adalah benteng pertahanan terakhir sebuah kerajaan, oleh sebab itu mereka dianggap terpaksa mengikut telunjuk 'orang yang memberi mereka makan', walhal pada hakikatnya mereka adalah pihak yang bertugas menjaga keselamatan negara.

Keikhlasan anggota polis menjalankan tugas menjaga keamanan, disalahgunakan Umno-BN untuk kepentingan politik mereka.

Dalam kes Musa secara spesifik, jelas menunjukkan bahawa Umno-BN sudah tidak lagi menghargai jasa beliau. Musa dan anggota polis di bawah kepimpinannya, tidak lagi dilihat boleh membantu menyelamatkan Umno. 'Habis sepah madu dibuang.'

Pulihkan integriti pasukan polis

Bagi Pakatan Rakyat serta majoriti rakyat yang menyokongnya, jalan terbaik untuk memulihkan integriti polis, ialah dengan memisahkannya dari ditentukan penguasa elitis Umno-BN.

Bukan sahaja KPN, malah perlantikan Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan banyak lagi jawatan utama, harus dibuat oleh Parlimen.

Kerajaan boleh membentuk satu suruhanjaya khusus dan membuat cadangan kepada Parlimen. Nama-nama mereka, harus diperhalusi dan dinilai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.

Rakyat tidak mahu jawatan dan lain-lain dilantik dan ditentukan oleh PM dari Umno-BN. Mereka mesti dilantik rakyat dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong selaku kuasa yang tertinggi dalam negara.

Hanya dengan cara ini, integriti dan maruah polis yang tercalar akan dapat dipulihkan.

Akibat daripada kuatnya kuasa politik Umno-BN, banyak cadangan dalam Suruhanjaya Di Raja yang membentuk Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC), 'dibakul sampahkan'.

Dalam satu kenyataan, Anwar selaku Ketua Pembangkang mencatatkan dalam blog beliau:

"Saya ulangi kekecewaan ramai dari ahli parlimen kerana kegagalan kerajaan meneliti serta menuruti saranan IPCMC. Sungguhpun saya mengakui hasrat kerajaan untuk melebarkan peranan suruhanjaya ini kepada sejumlah 27 agensi lainnya. Latar asal dari rang undang-undang siap perlu diberi perhatian sewajarnya. Pokok pangkalnya adalah terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi polis.

Sekiranya asas ini diabaikan, permasalahan sebenar tidak akan selesai. Integriti agensi kerajaan terutamanya pasukan polis tercalar teruk akibat salah guna kuasa segelintir pucuk pimpinannya tatkala mereka di bawah tetap berdedikasi mencurah bakti kepada masyarakat. Ketiadaan fasal berkaitan bidangkuasa siasatan hanya menyebabkan kewujudan suruhanjaya tersebut seumpama 'melepaskan batuk di tangga.'

Yang lebih mengejutkan saranan IPCMC ditolak kononnya adalah untuk melindungi ramai anggota polis yang majoritinya orang Melayu. Membingungkan sekali alasan sebegini, sedangkan yang terlibat melanggar jalur hukum merupakan pucuk pimpinan polis. Berselindung di sebalik alasan kaum merupakan alasan dangkal yang cuba memperbodohkan rakyat.

Oleh kerana itu saya menekankan tiadanya iltizam politik pada pihak pimpinan Umno-BN untuk benar-benar memastikan perubahan terlaksana. Tidak hairanlah usaha kerajaan ini seakan fatamorgana yang cuba mengelirukan mata rakyat. Insya Allah dengan usaha dan doa, pastinya yang hak akan mengatasi yang batil."

Selamat bersara Tan Sri Musa Hassan!

Friday, September 03, 2010

Umno-BN takut kerana saya banyak bantu Melayu, Islam

LIM Guan Eng sering menjadi sasaran media arus perdana. Ada sahaja yang tidak kena pada pentadbirannya. Beliau dituduh anti Melayu dan anti Islam oleh media talibarut Umno.

Di sebalik asakan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, tetap tenang. Namun beliau tidak dapat menyembunyikan kegusarannya, kalau-kalau serangan media talibarut Umno-BN menjangkau sehingga kepada serangan fizikal.

Ikuti luahan hati beliau dalam wawancara wakil Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan KHAIRUL HARTIMI bersama Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut di Terminal Tambang Murah (LCCT) pada 2 September lalu membincangkan isu-isu semasa.

HARAKAH: Apa pandangan saudara mengenai Umno, yang sejak akhir-akhir ini semakin hebat memberikan tekanan terhadap Pakatan Rakyat, khususnya saudara selaku Ketua Menteri Pulau Pinang?

LIM GUAN ENG: Pada saya, yang paling ketara ialah kajian Merdeka Centre di mana, di kalangan Melayu, hanya 44 peratus menyokong Umno dan selebihnya menentang Umno, kajian itu memperlihatkan Umno ini, lagi lama lagi teruk.

Mereka hanya memainkan isu perkauman sahaja, rasuah di kalangan mereka semakin tinggi. Mereka tidak boleh kikis imej rasuah, rakyat lagi lama lagi jemu, mereka (Umno) pun tahu hakikat ini.

Jadi Umno harus buang imej rasuah?

Ya. Kalau mereka tidak buang rasuah mereka akan mati, tetapi kalau kitapun tidak buang rasuah kita pun mati juga.

Mutakhir ini mereka serang peribadi, mainkan isu agama dan perkauman?

Sekarang ini bertubi-tubi mereka menghentam kita. Mereka hentam keromo sahaja isu-isu perkauman dan agama.

Itu menunjukkan keterdesakan dan mereka sudah bercelaru tidak ada isu mereka nak mainkan.

Saya rasa mereka (Umno) ini sudah hilang akal dan guna cara Firaun sahaja.

Sekarang ini apabila mereka sudah tidak boleh beli keyakinan rakyat, mereka guna fitnah sahaja dan gunakan kuasa rakus mereka melalui media yang menjadi talibarut mereka.

Bagaimana kesannya?

Kesannya ada kita akui, tetapi kesannya ialah di kalangan ahlinya (Umno). Serangan terhadap kita, hanya akan meningkatkan perasaan dan akan ada yang terbawa-bawa dengan sentimen perkauman yang mereka bawakan.

Tetapi kita juga kena waspada dengan api perkauman ini kerana mereka sentiasa berusaha, mereka guna sekarang dan kita kena hadapi menjelang pilihan raya.

Kita tidak mahu kita terus tidur lena tetapi kena hadapi serangan terakhir ini yang berbentuk perkauman sempit, serangan maut.

Dia (Umno-BN) mahu kita maut tetapi jika kita tidak maut mereka yang maut, tiada jalan yang senang sama ada hidup atau mati.....(ketawa).

Adakah saudara jangka serangan ini akan berterusan?

Ya. Mereka akan buat sampai saat-saat terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13. Ini kita harus hadapinya juga.

Terbaru mereka palsukan gambar, kononnya saya menyembelih korban. Gambar Nizar mereka ubah, letak gambar saya. Mereka sengaja buat provokasi.

Dalam isu masjid ini pula (membabitkan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching) sengaja mereka mainkan dengan naikkan gambar Teo Nie Ching yang masuk ke surau, sedangkan Teo ini datang atas jemputan AJK Surau al- Huda. Kalau dia (Teo) tolak lagi akan jadi orang pandang dia tak senonoh, soal boleh atau tidak dia duduk dalam surau atau masjid ini saya tak mahu campurlah. Biarlah ulama yang berikan penjelasan.

Tetapi untuk meredakan kemelut ini beliau telah mohon ampun kepada Sultan.
Jadi janganlah perbesarkan isu ini, tetapi mereka (Umno) tidak mahu lepaskan isu ini, walaupun Teo telah memohon maaf.

Tengok ini adalah politik. Kita mohon maaf kepada Sultan, dan kita mahu redakan perkara ini kerana ini bulan Ramadan yang suci, tetapi mereka (Umno) gunakan isu ini untuk dijaja seluruh negara bagi memburukkan kami (DAP) dan PAS.

Ini agenda politik mereka, ini satu cabaran hebat. Apa pun saya rasa gembira dan syukur kerana hubungan erat antara Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sangat kuat.
Baik PAS, baik DAP, kita sama-sama hadapinya, kita yakin rakyat pun tidak percayakan lagi dakyah mereka ini (Umno).

Tetapi saya rasa kita kena kerja kuat dan buat pelbagai program.

Apa program yang dibuat untuk menangkis serangan ini?

Dua minggu lepas dan esok, kita bagi penerangan kepada masjid-masjid, setiap kali kita pergi, kita bagi penerangan apa sebenarnya yang berlaku.

Kita hendak jelaskan semula kepada rakyat isu ini, kita tidak ada ruang sebab bila kita hendak jelaskan Utusan Malaysia tidak bagi ruang, hanya Harakah sahaja yang berikan ruang.

Tetapi Harakah pula diasak oleh kerajaan.

Mengapa Umno kelihatan konsisten membuat serangan?

Saya rasa serangan yang dibuat Umno menunjukkan mereka tidak ada akal, tidak ada isu dan tidak ada idea lagi.

Hanya kerana mereka mahukan pilihan raya nanti mereka ada kekuatan dengan sokongan kuasa dan media.

Mungkin pilihan raya umum akan diadakan lepas Mac depan (2011) saya rasa mungkin mereka buat persiapan, tetapi dengan cara ini ia boleh menjatuhkan Umno juga.

Saya rasa mereka benar-benar tertekan, mereka juga marah sangat sebab PAS dan DAP bekerjasama sangat erat.

Saya rasa kerjasama DAP-PAS sangat kuat bukan sahaja di peringkat atas tetapi lagi kuat di peringkat tengah dan bawah.

Sebab itulah mereka (Umno) merasa tertekan dengan situasi ini dan mereka rasa marah, mereka mahu pecahkan kita, mereka tarik PAS dengan cara perpaduan tetapi tidak berjaya, akhirnya mereka laga-lagakan PAS dan DAP dengan satu isu (Hudud) yang sudah selesai sebenarnya dahulu.

Mereka tidak berjaya buat, isu kalimah Allah mereka mainkan tidak jalan, isu judi sukan mereka jalankan tidak berjaya juga, sebab itulah mereka marah sangat kepada PAS dan DAP ini dan dia marah sangat kepada saya.

Pada pandangan saudara, mengapa Umno begitu marah pada saudara?

Kenapa Umno marah sangat kepada saya? Saya tahu kerana 'judi bola', Pulau Pinang negeri pertama haramnkan judi bola, sebab itu banyak negeri ikut termasuk Johor dan sebagainya.

Bila kita jadi peneraju kepada mengharamkan judi ini, mereka banyak rugi, ini mereka boleh buat untuk 'election fund' (dana pilihan raya), dalam jawapan Rais Yatim (Tan Sri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan), mereka (Umno) kena luluskan judi bola kerana untuk orang Cina.

Ini mereka cerita kepada orang kampung, benda ini 'makan tau' (berjaya menghasut) kerana orang kampung. Mereka ini kurang bercampur dengan orang Cina mereka ingatkan orang Cina ini berjudi sebagai budaya.

Kononnya mereka mahu tanamkan pemikiran bahawa judi ini budaya masyarakat Cina. Jadi selepas saya umumkan mengharamkan judi bola di Pulau Pinang mereka punya modal habis..takkan dia nak cerita kepada orang kampung itu Guan Eng bukan orang Cina....(ketawa).

Takkan mereka (Umno) nak ceritakan soal saya haramkan judi kerana saya ini Cina yang jahat...takkan mereka nak ceritakan begitu kepada orang Melayu di kampung? Ini siapapun tak akan terima.

Saya dan kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi pelopor negeri yang pertama haramkan judi bola, sampai Johor pun terikut-ikut. Jadi macam mana pun yang luluskan judi bola Umno dan mereka juga nak nampak kononnya wira rakyat mereka pula tarik semula. Ini semua sudah terbalik.

Umno ini lain-lain perkara mereka tidak marah tetapi jika kita potong duit melalui judi mereka mereka akan marah sebab ini talian hayat mereka.

Mungkin Umno hilang modal lawan Pakatan Rakyat?

Sebab itu mereka kini gunakan apa sahaja isu untuk mengenakan kita (Pakatan Rakyat). Mereka juga mainkan isu Bazaar Ramadan di Komtar. Isu ini masih dimainkan lagi.

Kita dibayangkan kononnya kita ambil tindakan kepada peniaga, sedangkan penganjur yang bermasalah. Mereka sengaja mainkan isu perkauman, kononnya nak kata kita haramkan Bazaar Ramadan.

Mereka sengaja mainkan isu ini, kononnya nak bayangkan kita usik orang Melayu, sedangkan sejak kita memerintah satu orangpun orang Melayu atau bukan Melayu kita usik, sebaliknya kita membantu rakyat.

Kita harap boleh dapat satu penyelesaian yang baiklah. Bila mereka (Umno) usik orang semasa Barisan Nasional melalui Gerakan usik orang Melayu ini mereka diamkan, sengaja mereka tidak mahu dedahkan.

Umno-BN gambarkan saudara dan Nizar sebelum ini anti Melayu dan Islam?

Kita di Pulau Pinang, sebelum ini telah menggandakan bantuan bagi hal ehwal Islam pada tahun 2008 sejumlah RM 20.5 juta tahun ini RM 24.3 juta, dan kita bagi kepada hal ehwal Islam dan bantuan kepada NGO Islam ini macama mana? Mereka tidak nampakkah ini?

Sekolah Agama Rakyat, siapa yang potong bantuan SAR ini? Umno....siapa yang menghidupkan semula dan memberi bantuan, ialah kita Pakatan Rakyat, sampaikan kita buat satu makmal sains di Madrasah al-Aminiyah, ini madrasah utama di Pulau Pinang.

Mereka juga cerita kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak bagi kontrak kepada kontraktor kelas F yang kebanyakannya bumiputera.

Orang Umno yang tidak dapat kontrak sudah tentu mereka tak dapat kerana Umno yang tidak dapat. Cakap ini tidak betul. Kerajaan Pusat tidak berikan wang, kita terpaksa cari wang untuk membangunkan infrastruktur dan sebagainya. Ini kita kena tunggu sedikit kerana bantuan dari Kerajaan Pusat tiada.

Rumah kos rendah bukan murah, rumah pangsa kosnya dari RM80 juta ke RM100 juta, ini bukan senang mahu cari wang. Tetapi kita buat juga, cuma kita cari masa sedikit kerana kita tiada wang, bukan kita tidak mahu buat.

Sasaran masa depan DAP dan Pakatan Rakyat?

Bila saya lihat di Pulau Pinang saya rasa tidak ada masalah, tetapi negeri lain saya tidak tahulah ini secara amnya kita sekarang ini kuat.

Saya rasa PAS yakin dengan DAP ini kerana kita yakin tidak akan belot, kita telah berjuang begitu lama, apa perbezaannya kita semua tahu tetapi yang pasti Nik Aziz (Mursyidul Am PAS, Tok Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat) tahu siapa Lim Kit Siang (Penasihat DAP).

Lawan BN dan lawan sampai habis, lawan tetap lawan itulah yang mereka (Umno) cuba remehkan, tetapi dua tiga tahun ini hubungan kita dari bawah sampai atas semuanya erat.

Saya rasa kita ini sangat rapat, bila Teo kena hentam, semua datang beri sokongan kepada Teo, ini satu hubungan yang sangat baik. Umno sengaja mereka cipta cerita sahaja. Jadi saya rasa ini yang membuatkan mereka tertekan.

Saya rasa jika PAS renggang dengan DAP, Umno pun tidak berminat dengan PAS, mereka ini sengaja mahu jauhkan hubungan akrab kita( PAS-DAP) sekarang ini mereka gunakan isu perkauman untuk belasah kita, lagi kuat mereka buat lagi teruk mereka akan dipandang rakyat.

Tentu ada yang terkesan tetapi sedikit sangatlah. Saya rasa terasnya ialah kerjasama kita sangat kuat. Mereka pukulpun tidak akan berjaya.

Bolehkah Umno-Gerakan ambil semula negeri Pulau Pinang?

Saya rasa tidak boleh kerana sokongan rakyat kepada kita sangat kuat. Tetapi serangan mereka ini kita terpaksa jawablah, kita kena buang masa sedikit untuk jawablah, itu sahaja yang berjaya mereka lakukan.

Untuk mendapatkan sokongan rakyat ini saya rasa tidak kemana. Sebenarnya kita banyak bantu orang Islam macam skim takaful kifalah, bantuan kepada pelajar-pelajar dan sebagainya, ini yang mereka (Umno) takutkan.

Penyokong Umno di Pulau Pinang mereka lihat kita kerajaan negeri ada buat kerja, kita bagi kepada mereka khidmat. Ini semua buatkan Umno rasa tidak selesa, sedangkan kerajaan negeri terdahulu tidak beri.

Sekarang mereka dapat mengapa dulu tidak bagi, kita kongsi bagi sebab kita ada intergiriti kita tidak rasuah, sampaikan Transparency International (TI) pun puji pentadbiran kita yang berintergriti.

Kita ada rekod, apa mereka nak kritik kita mereka tidak ada asasnya. Mereka cuba gunakan isu rasuah, penyelewengan kuasa dan khidmat rakyat ini semua tidak boleh jalan juga.

Rakyat dapat lihat apa yang kita dapat buat dalam masa setahun dan rakyat juga membandingkan apa yang mereka tidak boleh buat selama mereka memerintah.

Kita telah pastikan seluruh keluarga dalam Pulau Pinang dapat RM500 sebulan, macam mana kita buat, kita pastikan jika mereka hanya dapat RM300 kita tambahkan RM200.

Kita hapuskan miskin tegar dan definisi miskin tegar di Pulau Pinang hanyalah RM450 sahaja. Kita hapuskan miskin tegar yang mana 90 lebih peratus Melayu.

Negeri pertama buat miskin tegar sifar ialah Pulau Pinang..Tiap-tiap bulan kita tambah pendapatan mereka.

Terima kasih kerana menemuramah saya. Saya mohon maaflah tadi mesyuarat lewat sedikit.

PAS dan asimilasi makna sebenar kemerdekaan

Dalam menterjemah dan menukilkan semula makna kemerdekaan dan kedaulatan sebuah negara merdeka, banyak isu yang perlu menjadi timbal balas dalam kita membincangkannya.Menyentuh isu itu, wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB serta Jurugambar, WAN ZAHARI WAN SALLEH menemui Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub baru-baru ini di pejabatnya baru-baru ini.

HARAKAH : Dalam membicarakan soal kemerdekaan, apa yang saudara lihat bahawa pengertian kemerdekaan yang sebenar dan apa gagasan PAS jika berjaya menerajui kerajaan suatu hari nanti?

SALAHUDDIN : Dalam pengalam politik saya dan bila kita berbicara tentang kemerdekaan negara hari ini, saya nak bercakap mengenai parti dulu.Apa yang cuba saya bawa sejak dahulu dalam PAS ini ialah satu politik baharu, apabila menyentuh soal kemerdekaan ini, ia satu topik yang sangat menarik, saya pernah bawa ketika dalam Pemuda PAS iaitu PAS ini mesti dinasionalkan daripada parti yang dianggap parti kampungan, parti yang hanya didukung oleh tok lebai, yang hanya boleh menang di Kelantan atau Terengganu sahaja. Kita bawa pemikiran baru dalam parti dan kita dapat capai dalam parti hari ini. Semasa dalam pemuda dahulu, saya membawa gagasan PAS mesti berwajah Malaysia, dan kemudian kita pergi kepada mesra rakyat, bila orang anggap DAP ini pimpinan mereka ini lebih hampir kepada rakyat saya lihat itu serius dan pengalaman yang diberikan kepada saya dalam menjadi wakil rakyat. Jadi saya melontarkan idea untuk PAS menjadi duta penyelamat kasih sayang, dan diakhir sessi saya jadi Ketua Pemuda PAS, saya mengagaskan soal pemikiran negarawan, yang secara sindiran saya melontarkan itu pada tahun 2008, dan pada masa itu kalangan pemuda menyatakan 'Abang Din (Salahuddin) sudah cukup tua dah, layak meninggalkan pemuda". Waktu itu pemikiran kita sudah jauh kehadapan dan melihat PAS ini sebenarnya perlu kepada spektrum yang lebih luas dan yang lebih terbuka mencabar dan maka dengan sebab itulah maka dalam konteks kemerdekaan yang disebut Harakah tadi, hari ini kita telah letakkan diri kita bersaingan secara sihat samada kita dalam Pakatan Rakyat, ataupun dengan saingan lama kita iaitu Umno. Kita bukan lagi mahu menjadi parti yang mengkritik semata-mata, atau membangkang semata-mata, kita bukan kelompok dalam kepompong parti bangkangan, tetapi kita telah pergi kepada PAS mampu mengagaskan gerak kerja, PAS mampu mengagaskan pemikiran baru dan kita harus menampilkan wajah kita dalam konteks politik Malaysia yang sudah mula kita bercakap soal pemikiran alternatif, konstruktif dan kita mampu memberikan pandangan kita kepada isu-isu negara dan kepentingan rakyat.Ini menguji kemampuan kita dalam arus politik hari ini, kita berjaya memberikan sumbangan kita kepada negara.

Bagaimana dalam konteks kemerdekaan, apa yang PAS akan buat sekiranya dapat menerajui negara bersama Pakatan Rakyat?

Dalam konteks kemerdekaan, setelah lebih 50 tahun kita melepasi kemerdekaan ini, perkara pertama yang kita akan buat sekiranya kita berkuasa ialah kita akan buat suatu 'reformasi institusi' termasuk dalam soal SPR, PDRM, SPRM dan sebagainya yang seharusnya diletakkan dibawah Parlimen. Kerana apa?Kerana saya tidak mahu esok, PAS dan Pakatan Rakyat yang memperjuangkan ketelusan ini, akhirnya kita juga menuruti apa yang dilakukan Umno sejak 50 tahun lalu.Kita mesti reform dan gunakan majoriti untuk baut reform, sama ada SPRM, SPR dan polis semuanya mesti direformasikan, hatta Perdana Menteri nanti pun akan takut dan gerun dengan institusi ini yang benar-benar akan menjadi nadi ketelusan kerana semua orang esok akan boleh dipersoalkan sekiranya badan ini dipandu arah oleh Parlimen. Jadi kalau kita masuk dalam era ini, korupsi tidak akan berlaku sebagaimana yang berlaku kepada Umno hari ini.

Yang keduanya saya melihat apa yang penting ialah bagaimana kita melihat penghakisan semangat federalisme, isu diantara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, dilihat dalam konteks penyuburan semangat federalisme ini selama 50 tahun merdeka ini ia semakin terhakis, isu pemusatan kuasa telah berlaku dengan hebat sekali dalam era Tun Dr Mahathit jadi Perdana Menteri dan pemusatan kuasa itulah yang menjadikan kuasa yang begitu besar dipegang oleh kerajaan pusat hingga menafikan hak-hak kerajaan negeri terutamanya kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat. Ini perlu direformasikan dan dilihat semula, contoh terbaru ialah dalam isu Royalti Minyak Kelantan, yang pada bila-bila masa boleh dinafikan oleh kerajaan pusat, penafian kuasa-kuasa negeri, kuasa dan hak negeri seperti hak tanah, hak agama dan sebagainya telah semakin mengecil.

Dalam 50 tahun merdeka hari ini, saya rasa PAS perlu berperanan dalam melihat hal ini dalam bentuk yang lebih luas dan dalam spektrum yang lebih jelas kepada negara dan rakyat di samping kita kekal dengan identiti PAS selaku parti Islam dan hubungan kita dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Bila sentuh soal kemerdekaan, Umno hanya gambarkan mereka sahajalah yang memperjuangkan kemerdekaan, dan rakyat didoktrin dengan dakyah itu, apakah seharusnya PAS lakukan?

Jika kita ada kesempatan fdan ruang waktu yang kondusif, arkib negara dan jabatan-jabatan sejarah semua IPTA kita dan NGO yang terbabit dalam isu kemerdekaan ini ambil insiatif menulis emula sejarah keredekaan negara dalam konteks yang lebih benar dan dimana seharusnya ia bermula, pakar-pakar sejarah sebenarnya sangat maklum, era pembebasan negara ini bukan bermula semasa penentangan terhadap Malayan Union oleh Umno, tetapi kedatrangan Portugis ke negara kita, kita dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan sebagainya ini semua telah melahirkan pejuang dan tokoh negarawan yang kita sifatkan tidak didendangkan nama mereka. Mereka tenggelam oleh penulisan sejarah yang tidak adil oleh Umno, yang mereka selalu mendakwa Umnolah yang perkjuangkan kemerdekaan, sedangkan sesuatu sejarah itu perlu bermula dengan datangnya penjajahan, dimana lahirnya tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dato' Bahaman, Rosli Dhobi, dan sebagainya, yang mana mesti ditulis semula oleh sejarah yang penuh tanggungjawab dan mesti berasaskan kepada daripada mana ia bermula, dan ia bukan bermula pada 1946 yang mana Umno mula menentang gagasan Malayan Union, dan diwaktu itulah mereka mendakwa merekalah yang memimpin proses kemerdekaan, tetapi hakikatnya jika sejarah itu boleh ditulis semua dengan premis yang lebih adil, saya rasa ia membuka minda rakyat siapa tokoh yang boleh dibanggakan.Sejarah bukan bermula dengan Umno.Versi penulisan kemerdekaan Umno ialah ala-British, mereka menenggelamkan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan yang sebenar.Sebab itu kalau kita baca dalam sejarah dulu, Tok Janggut, Dato' Maharajalela dan Dato' Bahaman itu dianggap sebagai penderhaka oleh British, jika diizinkan sejarah ditulis semula, ia akan ditulis dengan lebih adil.

Semangat patriotisme di kalangan rakyat terutamanya di bandar dilihat semakin kurang, sambutan kemerdekaan pun tidak dihiaskan dengan kibaran bendera oleh rakyat, apakah sebenarnya yang terjadi?

Saya melihat perkara ini yang jadi lebih serius dalam sedekat yang lalu.Memang kita akui di Kuala Lumpur pemasangan bendera ini walaupun propaganda cukup hebat tetapi hasilnya mengecewakan, tidak membangggakan, bagi saya kita harus mengubah intergriti pemimpin dan negara kita, rakyat akan melahirkan kesetiaan sekiranya mereka melihat pemimpin telus.Kita balik kepada zaman selepas beberapa tahun kemerdekaan, pada zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak dahulu, rakyat merasai bahang dan semangat patriotisme ini dengan kuat, saya rasa masa itu semasa kita (PAS) dalam kerajaan campuran kita pun tidak keberatan untuk mengibarkan bendera ini.Tetapi semangat itu terhakis dikalangan rakyat apabila banyaknya salah laku dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin negara, mereka(peimimpin Umno) tidak menunjukan role model kepada rakyat, negara dilanda dengan krisis keyakinan yang sangat dahsyat akhlak pemimpin menjadi bahan lawak rakyat yang menyebabkan rakyat hilang semangat patriotisme ini, dan rakyat tidak hormat pemimpin.Penghormatan ini diberikan rakyat kepada kita dan bukan untuk dipaksa, sebab itu saya rasa kalau PAS dan Pakatan Rakyat menerajui kerajaan nanti, kita lihat kita harus bermula dengan sistem yang lebih konstruktif, akhlak pemimpin kita perlu mampu rakyat memberikan penghormatan dan berlkakunya rakyat nerasakan pemimpin ini sebahagian dari negara ini, perasaan itu wujud untuk dikembalikan patriotisme.

Soal intergiriti, bagaimana prestasi negeri-negeri yang telah dipimpin oleh PAS dan Pakatan Rakyat untuk kita kembalikan semula soal melestarikan hasrat melihat kepimpinan berintergriti bagi meyakinkan rakyat?

Saya lebih suka bersifat objektif, kita kena rasional dalam berikan penilaian kepada Pakatan Rakyat.Masih banyak perkara yang kita tak puas hati dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat ini.Kita ambil negeri yang diperintah PAS selama 20 tahun di Kelantan, walaupun intergiriti Tok Guru (Tuan Guru Menteri Besar Kelanyan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang mana kehidupannya telah menjadi suatu yang maklum kepada rakyat yang memang sanjungi akhlak kehidupan sederhana beliau, tetapi dalam aspek pentadbiran yang lain saya lihat ia mesti dibangukan bersama, kekuatan jemaah dan parti mesti digembeleng bersama, kekuatan kerajaan itu bukan hanya bergantung hanya kepada kekuatan personaliti seseirang sahaja, sebaliknya kita mesti melatih kepimpinan yang berkualiti secara amal jamaie, mesti dipertutrunkan soal kesederhanaan itu dalam konteks 'Good governance', dan kita lihat di Kelantan ada beberapa aspek soal kebajikan yang walaupun telah dibuat tetapi perlu lebih efektif, pendidikan generasi muda, dan isu kepimpinan pelapis yang boleh warisi kepimpinan Tok Guru yang mana perlu ada 'bench-marknya' sebab rakyat akan menilai.Bagi saya rakyat abad ini mereka lebih peka dan mereka lebih terbuka, dan lebih saya geruni ialah sikap politik orang Kelantan yang boleh berubah bila-bila masa dan mereka ini boleh menghukum dan menilai bagaimana kerajaan yang mereka mahukan.Jadi lebih baik kita letakkan benchmark masih banyak yang perlu kita lalukan daripada kita letakkan kononnya kita dah buat semuanya, kedudukan kita kononnya dah selesa. Jangan lupa banyak perkara lagi yang perlu kita buat lonjakan supaya agenda kita itu dapat dilaksanakan.

Wednesday, September 01, 2010

Dalang Umno dalam Mais dan Jais mesti letak jawatan

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dato' Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Mohamad Khusrin Munawi seharusnya melepaskan jawatan yang mereka sandang kerana rakyat Selangor meragui kewibawaan mereka.

Kewibawaan mereka tercemar kerana mereka berdua tidak dilihat bertugas untuk menjaga kesucian agama Islam, sebaliknya lebih mirip menjadi agen Umno dalam Kerajaan Negeri Selangor.

Tanpa harus dinafikan, keseluruhan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat tidak menyenangi mereka berdua, kerana cara mereka memimpin Mais dan Jais, bagaikan cawangan Umno.

Di atas kapasiti Kedua-dua mereka adalah memegang jawatan tertinggi dalam institusi agama, di mana Sultan Selangor selaku Ketua Agama Negeri.

Maka mereka mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai larangan terhadap institusi agama, khususnya masjid dan surau, kononnya Sultan tidak membenarkan, kononnya Sultan murka dan sebagainya.

Khusrin secara spesifiknya dalam suatu majlis meraikan Tokoh Maal Hijrah, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi di Masjid Negeri Shah Alam, melarang Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk berucap.

Walhal, Anwar bukan hendak berceramah agama, beliau hanya dijadualkan berucap untuk menerangkan latar belakang mengenai ketokohan Dr Yusof yang dikenalinya puluhan tahun.

Perangai Khusrin bukannya baru. Beliau menjadi Pengarah Jais sejak sekian lama. Di zaman bekas Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo, beliau adalah dalang Umno.

Ada banyak kes, antarannya perobohan Surau Jubli Perak, Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahimah, Shah Alam, Surau Kampung Berembang dan lain-lain.

Banyak kes Jais menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berceramah di masjid dan surau, pengepungan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, ramai tokoh ulama PAS dilarang.

Terbaru, bekas Mutfi Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, didakwa berceramah tanpa tauliah.

Jelas, karenah kedua-dua mereka, secara langsung mengganggu pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan sekali gus redundant tugas Exco Agama, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.

Terbaru, Adzib berkata, Sultan Selangor amat murka dan dukacita terhadap tindakan Surau al Huda, Taman Kajang Central yang membenarkan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memberikan 'tazkirah' di situ.

Beliau mengarahkan Mais mengambil tindakan tegas terhadap surau itu, termasuk mengambil alih surau dan menguruskan pentadbirannya dengan serta-merta kerana insiden itu jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Tindakan Adzib ini mendapat reaksi segera Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Mahfuz membuat suatu teguran keras terhadap Mais, berhubung tindakan pantas badan tersebut yang kelihatan begitu marah, dengan lawatan Ahli Parlimen Serdang ke Surau al-Huda.

Mahfuz turut membidas akhbar Utusan Malaysia, dalam laporannya 27 Ogos lalu mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada "ahli-ahli PAS".

Katanya, laporan akhbar itu adalah bohong, berniat jahat dan cuba memburukkan imej PAS.

Mahfuz dengan tegas mendakwa Umno telah mendalangi Mais dengan memberi maklumat salah kepada Sultan Selangor sehingga Tuanku didakwa murka.

Tiada sebarang tazkirah yang didakwa disampaikan Nie Ching, melainkan sekadar ucapan lima minit selepas dijemput berucap oleh AJK surau.

"Saya berani mengatakan bahawa, Mais telah didalangi Umno, menipu pihak Istana.

"Memang tidak ada tazkirah, tidak ada ucapan berkaitan politik dan bukan memberi sumbangan kepada ahli PAS," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena tersebut.

Katanya, tindakan Umno mempengaruhi Mais amat merugikan Islam apabila masyarakat bukan Islam mungkin berpandangan mereka tidak boleh lagi memasuki masjid atau surau.

Sedangkan kata Mahfuz, itu merupakan salah satu cara dakwah kepada bukan Islam dan sememangnya dibolehkan seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu.

"Kalau tindakan itu salah, Mais bukan kena hantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, tetapi kena hantar juga kepada Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

Maknanya, dari sudut Islam, tidak salah golongan bukan Islam memasuki masjid atau surau. Ini jelas tiada pertikaian.

Merujuk hal ini penulis mengimbau kembali, tatkala menghadiri program ceramah pendakwah terkenal al-Marhum Sheikh Ahmad Deedat, di sebuah universiti beberapa tahun lampau.

Dalam ucapannya Sheikh mempertikaikan peranan institusi masjid. Beliau mempersoalkan mengapa masjid-masjid (termasuk surau) di Malaysia, menyukarkan golongan bukan Islam untuk memasukinya.

Kata Sheikh, masjid adalah tempat yang baik untuk berdakwah dan seharusnya kita (umat Islam) memberi ruang seluas-luasnya kepada bukan Islam untuk masuk, sekali gus membuka ruang kepada kita untuk berdakwah.

Merujuk isu Nie Ching. Barangkali beliau membuat kesalahan kerana tidak menutup kepalanya, tetapi melemparkan pelbagai kecaman, tuduhan dengan kata-kata nista terhadap beliau adalah amat tidak islamik.

Kecaman terhadap Nie Ching adalah amat salah. Kita harus membuka ruang kepada bukan Islam untuk mendekati masjid dan surau kita. Selain daripada mengharapkan hidayah Allah, sekurang-kurangnya golongan bukan Islam akan merasakan kebaikan umat Islam dan ini akan mendorong mereka lebih hampir kepada Islam.

Apa yang dilakukan oleh Umno dan Mais ini hanya menunjukkan Islam itu buruk dan tidak toleran. Tindakan ini hanya akan menjauhkan golongan bukan Islam dengan masjid dan surau.

Jika selepas ini Nie Ching dan rakan-rakannya akan takut mendekati masjid dan surau kerana takut dengan kecaman Umno. Jelas, tindakan tidak rasional ini telah menyebabkan peluang untuk berdakwah tertutup.

Salahnya di sini adalah Mais. Mereka cuba menjadi lebih Umno daripada Umno. Mais menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah cawangan Umno di Selangor

Di Selangor, selama lebih dua tahun, rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat cukup meluat dengan cara Adzib dan Khusrin mentadbir Mais dan Jais.

Kedua-dua institusi ini, bukan sahaja menjalankan peranan Umno mereka, malah dalam beberapa ucapan mereka sering membuat pelbagai larangan terhadap masjid dan surau atas nama Sultan.

Apa yang didakwa Mahfuz relevan dengan keadaan semasa di Selangor. Jelas Mais dan Jais memperalatkan golongan Istana untuk kepentingan Umno.

Sehingga wujud persoalan di minda rakyat, apakah Pengerusi Mais atau Pengarah Jais memberikan nasihat yang salah kepada Sultan Selangor.

Nasihat yang salah kerana sepatutnya mereka menasihati Sultan berdasarkan hukum agama, bukan kehendak politik Umno-BN. Sebagai Ketua Agama Negeri, sudah tentunya Sultan akan mematuhi semua hukum hakam yang ditentukan Allah SWT dalam al-Quran.

Secara spesifik dalam kes Nie Ching, jelas Adzib telah salah menasihati istana. Adzib tidak menjalankan tindakan mengikut hukum Islam, tetapi beliau dengan jelas mengikut telunjuk Utusan Malaysia yang menjadi akhbar talibarut Umno.

Adzib dan Khusrin dalam banyak kes sebelum ini menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah alat Umno yang menjadi 'duri dalam daging' dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.

Ada banyak kes yang membabitkan keduanya direkodkan dan akan disenaraikan satu-persatu, buat menjadi bukti salahlaku mereka dalam menjalankan urustadbir institusi agama.

Oleh itu jika Khalid Ibrahim dan Hasan Ali tidak mahu terganggu, demi keharmonian Islam serta rakyat di seluruh Selangor, kedua-dua Adzib dan Khusrin, harus diminta melepaskan jawatan dengan segera!

Kembali bertoleransi secara Islam

Sambutan kemerdekaan negara Malaysia kali ke-53 tahun ini dicemari dengan pelbagai insiden yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk dalam negara.

Media arus perdana, khususnya yang didalangi oleh Umno-Barisan Nasional, secara terus-menerus meniupkan sentimen keagamaan dan perkauman dengan mensensasikan sesuatu isu demi kepentingan politik mereka.

Insiden -insiden kecil diperbesar-besarkan dan dimainkan dengan berlakunya berbalas kenyataan dan dikeluarkan amaran terhadap pihak-pihak tertentu, sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan rakyat.

Bukan Islam dilarang memasuki masjid dan surau. Ketua Menteri Pulau Pinang dikecam kerana didakwa menindas bangsa Melayu Pelbagai insiden mengheret kepada tajamnya persepsi rakyat terhadap bukan Islam, khususnya dari kalangan DAP.

Fokus Umno-BN untuk membunuh kredibiliti dan karektor kepimpinan DAP amat bahaya. Ia bukan hanya dilihat untuk menghapuskan sebuah parti yang mendukung Pakatan Rakyat.

Malah ia dibawa Umno begitu jauh, sehingga boleh mencetuskan pertelingkahan di antara orang Melayu dengan orang Cina. Ini adalah permainan sentimen yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Umno sebagai sebuah parti yang mendakwa didukungi majoriti orang Islam, seolah-olah hilang pertimbangan dengan permusuhan terhadap DAP yang dianggotai kebanyakan orang bukan Melayu.

Umno yang menerajui pemerintahan negara, menunjukkan dengan jelas, seolah-olah sifat toleransi di kalangan agama dan rakyat yang berbilang kaum sudah tidak wujud dalam negara.

Bagi PAS, masalah besar dalam negara akan wujud, jika Umno-BN terus meniupkan dan memainkan sentimen sebegini.

Dalam apa juga keadaan, bagi PAS, seharusnya sesuatu perkara dinilai menurut perspektif Islam dan dihakimi dengan seadil-adilnya.

Malaysia, sebagai sebuah negara yang dicanangkan sebagai 'Negara Islam' oleh pemerintah, wajar ditadbir menurut acuan Islam. Dalam konteks masyarakat majmuk, Malaysia harus mengamalkan sistem demokrasi yang mengikut prinsip-prinsip Islam yang amat toleran.

Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107).

Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)." (Surah Saba', ayat 28)

Merujuk kepada dua ayat ini, dengan jelasnya Islam adalah agama yang sikap fanatisme yang membeza-bezakan fahaman, bangsa dan warna kulit.

Islam menghidupkan hati dan memakmurkannya dengan iman yang benar dan menjurus kepada dakwah, kebajikan, petunjuk dan keadilan.

Islam menghapuskan sebarang perbezaan jenis, bahasa, ras, nasab dan harta benda.

Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 13)

Oleh itu maka, amat wajar diseru kepada semua pihak dalam negara ini supaya mengambil semangat Ramadan dan Syawal yang bakal tiba ini untuk lebih rasional.

Sesiapa pun yang menerajui negara sama ada sekarang, mahupun akan datang, menjadi tanggungjawab mereka, agar keharmonian agama dan rakyat, terus terpelihara.