Monday, September 28, 2009

One Malaysia bakal tumbangkan BN di Bagan Pinang

Rakyat Malaysia dari kalangan berbilang kaum sudah bersepakat untuk membantu memenangkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Teluk Kemang Negeri Sembilan 11 Oktober ini.

Rakyat Malaysia terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain datang berduyun-duyun Majlis Ceramah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 18 September lepas dan disusuli pula Majlis Rumah Terbuka Dato' Seri Anwar Ibrahim di Teluk Kemang pada hari raya ketiga (22 September) lepas, untuk menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Mereka begitu komited dan berikrar akan bekerja keras untuk membantu calon PAS, memenangi kerusi Dun Bagan Pinang, walaupun dirintangi lebih 5000 undi pos, yang pastinya akan dipergunakan sebagai talian hayat Umno-Barisan Nasional.

Kerjasama pelbagai bangsa dan agama dalam satu wadah yang sama bertunjangkan matlamat yang sama iaitu untuk menumbangkan BN, dijangka akan menjadi model terbaik yang mengambarkan aspirasi sebenar 'One Malaysia'(Satu Malaysia).

Kesepakatan 'One Malaysia' ini bukannya seperti slogan yang diuar-uarkan pemimpin BN. 'One Malaysia' yang dilaungkan mereka hanyalah ulangan retorik-retorik hampas seperti Islam Hadhari dan lain-lain.

Gambaran 'One Malaysia' yang sebenar hanya boleh diperolehi dari Pakatan Rakyat. Ianya merupakan suatu manifestasi yang dijelmakan rakyat berbilang kaum dan agama, bekerjasama membentuk negara Malaysia yang adil, telus dan saksama.

Sebaik sahaja kerusi Dun diisytiharkan kosong berikutan kematian Adun Bagan Pinang, Azman Mohammad Noor, 4 September lepas, pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan KeADILan bersepakat untuk merampas kerusi Dun daripada BN.

Disaat umat Islam sibuk beribadah di akhir Ramadan, beserta dengan persiapan untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri, rakan-rakan yang terdiri dari kalangan bukan Islam dan bukan Melayu sudah mula bergerak.

Tanpa memperdulikan sebarang tohmahan media massa mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat, mereka menunjukkan kesepakatan yang menakjubkan, mengambil kesempatan cuti sempena Aidilfitri untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Rakan-rakan bukan Melayu sudah mula mengunjungi rumah-rumah saudara mara serta rakan taulan dari kalangan bukan Melayu untuk berkempen.

Mereka bekerja siang dan malam, tanpa mengira wang ringgit dan penat lelah. Mereka hanya mahu memenangkan calon Pakatan Rakyat dengan menumbangkan BN, dengan kuasa rakyat.

Bagi mereka penentu ketulenan kerajaan yang sebenarnya adalah undi dari rakyat jelata.
Rakyat yang berhak menentukan wakil rakyat dan kepimpinan negara, bukannya undi pos yang amat-amat diragui ketelusannya. Namun sejumlah besar undi pos bukan penghalang kesungguhan rakyat.

Kerana pada tanggapan rakyat, BN sudah semakin hancur. Keyakinan rakyat terhadap BN juga sudah hancur. Tiada apa lagi yang boleh diharapkan kepada BN.

BN hanya kelihatan kuat pada permainan media massa yang menjadi dalang untuk menipu dan mengaburi mata rakyat.

Hakikatnya rakyat kini amat mengetahui bahawa masa depan negara sudah tidak boleh lagi disandarkan kepada gabungan parti yang semakin berpecah belah.

Huru hara dan ribut dalam rumahtangga Umno-MCA-MIC-Gerakan-PPP dan lain-lain adalah umpama kebusukan dari 'bangkai gajah' yang sudah tidak mampu ditutup lagi.

Justeru, menjelang hari penamaan calon 1 Oktober ini, Dun Bagan Pinang akan mencipta suatu rekod baru dalam sejarah politik Malaysia, ia juga bakal menyerlahkan keunikan kerjasama rakyat dalam Pakatan Rakyat.

Rakyat terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain akan membentuk 'Satu Malaysia' yang bersepakat, bersatu padu dan komited untuk menumbangkan BN, bukan sahaja di Bagan Pinang, malah pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, insya Allah.

Friday, September 25, 2009

Hadiah Aidilfitri buat Mahathir

Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, Islam mengalakkan umatnya kunjung mengunjung di antara satu sama lain, khususnya yang muda menziarahi yang tua sebagai tanda hormat dan berkasih sayang.

Ziarah menziarahi merupakan antara budi pekerti mulia yang menjadi amalan tradisi orang-orang Melayu sejak zaman berzaman.

Selain daripada amalan berziarah, umat Islam di Malaysia juga gemar bertukar-tukar hadiah, sama ada berupa kuih raya, hamper atau sebagainya. Bagi anak-anak, merekalah yang paling gembira kerana mendapat duit raya atau 'angpow' dari golongan yang lebih berusia.

Justeru elok juga jika anak-anak muda, khususnya dari kelompok pemuda Pakatan Rakyat, berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, untuk menziarahi dan bertanya khabar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kunjungan dibuat bukan untuk memberi duit raya kepada Mahathir, duit tidak perlu baginya kerana wang pencennya sudah cukup menampung kehidupan beliau bersama Tun Dr Siti Hasmah.

Kali ini pemuda Pakatan Rakyat digalakkan menziarahi Mahathir untuk menyampaikan hadiah kepada beliau. Hadiahnya berupa sebuah naskhah buku Anwar on Trial : In the Face of Injustice karya peguam Pawancheek Marican.

Buku ini dilancarkan peguam terkemuka, Raja Aziz Addruce di sebuah hotel di ibu negara 14 September lepas.

Buku ini amat signifikan dan relevan dengan Mahathir. Ia merupakan sebuah hadiah yang amat simbolik buat beliau, kerana ia khusus membicarakan suatu tragedi besar yang berlaku di zaman pemerintahan Mahathir.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berusia awal 20-an, semestinya mengingati Dr Mahathir, sebagai negarawan ulung, yang menjadi PM serta Presiden Umno yang paling lama dalam sejarah, iaitu lebih 22 tahun.

Jasa-jasa Mahathir cukup besar untuk dicatat dan diperkatakan dalam kolum yang terhad ini. Beliau digelar 'Bapa Pembangunan Malaysia Moden'.

Di zaman pemerintahannya terlalu banyak 'event' yang berlaku. Ada bright side (sisi terang) dan ada dark side (sisi gelap).

Pandangan dari sudut 'sisi terang', sudah terlalu banyak diperkatakan oleh media pengampu. Media mengiyakan sahaja semua kata dan tindakan Mahathir, sehingga mereka 'menjamu' rakyat,
dengan berita-berita yang 'menghairan', mengutuskan bahan pembacaan yang 'meloyakan' dan melaporkan 'tiga suku' berita perdana yang membohongi rakyat.

'Sisi gelap' pemerintahan Mahathir ditutup dan digelapkan terus daripada rakyat. Namun itulah bak kata pepatah 'bangkai nyamuk boleh ditutup, inikan pula bangkai gajah'.

Dalam politik Malaysia nama Mahathir tidak boleh dilupakan kerana tiga TPM jatuh dan dijatuhkan di zamannya. Jika diperhalusi satu persatu, barangkali Mahathir juga ada silapnya.

Walaupun begitu, ada yang beranggapan apabila bekas PM berundur dari jawatan yang dipegangnya selepas lebih 22 tahun ditampuk kuasa, beliau sudah tidak relevan lagi untuk disentuh.

Itulah sifat kita, orang-orang Melayu. Kebanyakannya cuba bersangka baik dan hanya mahu mengingati kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Secara tidak disedari sikap bersangka baik inilah yang membelenggu minda orang-orang Melayu khususnya, juga kalangan rakyat secara umumnya untuk kekal di bawah cengkaman Umno-BN, lebih 50 tahun.

Anggapan ada kebenarannya, beliau sudah tidak berkuasa, buat 'menghabiskan beras' sahaja jika kita melayannya. Namun pada penulis, kadangkala kita harus berfikir sebaliknya.

Apatah lagi apabila semasa pemerintahannya Mahathir melakarkan banyak peristiwa bersejarah yang buruk dalam negara.

Justeru buku Anwar on Trial : In the Face of Injustice ini amat wajar diteliti. Ia membongkar bagaimana Mahathir merosakkan sistem keselamatan (polis), memusnahkan integriti kehakiman dan jabatan peguam negara, hanya semata-mata mahu kekal ditampuk kuasa.

Sekurang-kurangnya buku ini menjadi kesinambungan catatan dalam sejarah, bahawa angkara Mahathir, dua kali sistem kehakiman musnah. Pertama, tahun 1988 ketika memecat Tun Salleh Abas; Kedua, ketika memecat Anwar pada tahun 1998.

Buku ini dilancar dan ditatapi rakyat tatkala umat Islam diambang menyambut Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, ia merupakan hadiah terbaik buat persaraan Mahathir.

Kembalikan keadilan kehakiman negara ke tempat asalnya

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekad Pakatan Rakyat untuk mengembalikan maruah dan integriti sistem kehakiman negara ke tempat yang sewajarnya jika diberi peluang memerintah menggantikan Barisan Nasional.

Katanya, negara berada diambang kehancuran kerana Umno-BN sebagai parti yang menerajui negara mempergunakan hakim-hakim dalam negara untuk kepentingan politik mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Anwar on Trial: In the Face of Injustice karya peguam Pawancheek Marican, 14 September lepas.

Anwar begitu terharu dengan usaha gigih Pawancheek menerbitkan buku mengenai perjalanan perbicaraan sepanjang merengkok dalam penjara (1998-2004).

Beliau amat menghargai jasa besar pasukan peguamnya yang diketuai Raja Aziz Addruce, Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando dan beberapa peguam lain.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan, jika rakyat tidak mahu sistem kehakiman musnah, kuasa mengawalsedia kehakiman tidak boleh diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

Anwar juga membidas Akta ISA yang disifatkannya berada dibawah salahguna kuasa Umno untuk menghukum rakyat yang bangkit menentang kuasa elit pemerintah.


Contoh lain katanya, ialah bagaimana hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan kedangkalan Umno-BN, dipergunakan membuat pendakwaan terpilih untuk kepentingan kelompok tertentu.

Di akhir ucapannya Anwar bertekad untuk membuat reformasi dalam sistem kehakiman negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Sementara itu bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz ketika melancarkan buku tersebut, mahu kehakiman negara dikembalikan ke tempat asalnya seberapa segara yang mungkin.

Menurutnya, kes Anwar bukan sahaja merujuk kepada perbicaraan beliau secara peribadi, sebaliknya meletakkan kehakiman negara di kandang orang yang salah.

Peguam berpengalaman itu turut membidas kerajaan yang mencetuskan sejarah buruk kehakiman negara apabila bertindak memecat Tun Salleh (1988) dan Anwar (1998).

Katanya, akibat kedua-dua tragedi buruk ini, seluruh dunia melemparkan kecaman terhadap sistem perundangan Malaysia yang begitu mudah dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

Merujuk kepada kes Anwar, Raja Aziz mengulangi kekesalannya bahawa bekas TPM itu tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

Katanya beberapa kali pihak pendakwa membuat perubahan kepada pertuduhan terhadap Anwar, apabila mendapati kes mereka berjaya dicabar peguam pembela.

Akhirnya kata beliau, kesalahan Anwar hanya disandarkan kepada kes rasuah salahguna kuasa di bawah Ordinan Darurat yang masih menjadi pertikaian.

Sementara penulis buku, peguam Pawancheek Marican berkata beliau mengambil inisiatif untuk mengeluarkan buku tersebut kerana Anwar akan menghadapi pertuduhan kali kedua (kes liwat) yang dihadapkan kepada beliau.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk menyegerakan buku mengenai perbicaraan Anwar kerana pertuduhan terbaru terhadap Anwar, seolah-olahnya keadaan 'menggila' pada tahun 1998 akan berulang kembali.

Pawancheek menegaskan walaupun beliau menulis buku mengenai perbicaraan Anwar, namun Anwar tidak pernah sesekali campurtangan dalam penulisan beliau.
Beliau juga memetik kata-kata peguam Sulaiman Abdullah mengenai kes tersebut iaitu, "Tertuduh (Anwar) tidak pernah diberikan perbicaraan yang adil, tidak berikan ruang sewajarnya untuk berurusan dengan peguamnya, tidak diberikan cukup masa untuk mempertahankan kesnya dan dihalang untuk mengemukakan saksi yang dapat membantu beliau mempertahankan diri."

Dalam majlis tersebut, buku Pawancheek mendapat sambutan luarbiasa di mana beratus-ratus pengunjung berebut-rebut mendapatkan naskhah buku tersebut.

Monday, September 14, 2009

Menyingkap wajah buruk kehakiman Malaysia

MENELITI buku bertajuk 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice' karya Pawancheek Marican mengingatkan kembali kepada suatu bentuk konspirasi terancang pihak tertentu yang mahu mengekalkan kuasanya dalam negara.

Buku ini, bukan semata-mata kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pemecatan Anwar oleh Dato' Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad ketika tu, didasarkan kepada alasan kononnya Timbalan Perdana Menteri itu terbabit dengan gejala sumbang yang tidak bermoral.

Anwar didakwa mengkhianati negara, melakukan rasuah, terbabit dalam seks sumbang dan pelbagai lagi. Sepuluh pertuduhan dilemparkan kepada beliau oleh media pencacai Umno-Barisan Nasional, jauh sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah.

Umno menurut Mahathir waktu itu adalah parti yang bersih. Suci dari pesalah laku moral, suci daripada perasuah dan semua yang berada di dalamnya adalah nasionalis tulen yang cintakan negara.

Sebaliknya rakyat melihat pemecatan Anwar dari sudut perspektif yang berbeza.

Pemecatan Anwar terdorong daripada kerakusan dan ketamakan seorang Perdana Menteri, yang hendak mengekalkan kuasanya dan mengelak dari dijatuhkan.

Ia mengkisahkan bagaimana kedangkalan sang berkuasa mengheret segala juak-juak dan kuncu-kuncunya untuk mempertahankan kerajaan yang korup dibelenggu kebuasan nafsu kroni-kroninya.

Pemecatan Anwar daripada jawatan TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, menjadi titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk mempertahankan insan yang dizalimi dan menurunkan si penzalim dari tampuk kuasa.

Penulis buku ini dikenali ramai sejak mengikuti perkembangan perbicaraan Anwar pada penghujung tahun 1998. Beliau merupakan salah seorang peguam utama Anwar.

Pawancheek banyak menghasilkan tulisan-tulisan yang mengupas persoalan-persoalan yang kritikal. Tulisan dan kes-kes yang dikendalikannya banyak dipaparkan dalam Jurnal Undang-undang (Law Journal).

Hasil penelitian dan pengamatan beliau selama lebih 10 tahun, Pawancheek menampilkan buku bertajuk 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice', dengan bahasa yang amat mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang awam.

Buku ini merupakan sebuah manuskrip yang amat teliti. Beliau membuat catatan yang komprehensif, yang sebahagian besarnya belum diterbitkan oleh mana-mana media.

Uniknya buku ini ialah kerana kes yang membabitkan Anwar, telah membongkar wajah-wajah hodoh yang mencacatkan sistem kehakiman di Malaysia. Mereka terdiri dari kalangan konspirator besar iaitu pemimpin-pemimpin tertinggi Umno, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara dan ramai lagi.

Kes yang dibongkar ini ialah bagaimana Anwar, sebagai insan yang tertindas dan dizalimi tidak mendapat ketidakadilan yang sewajarnya.

Apa yang diistilahkan sebagai 'unfair trial' diserlahkan oleh watak-watak utama, yang mengerahkan segala institusi seperti badan kehakiman, jabatan Peguam Negara, polis, media dan sebagainya digunakan untuk menghukum seorang insan yang bernama Anwar Ibrahim.

Mereka-mereka yang dicatatkan namanya dalam buku ini sebagai orang yang bersekongkol dengan kezaliman sudah tentu akan berasa amat malu, apabila nama mereka direkodkan sebagai orang yang mencacatkan sejarah demokrasi di Malaysia.

Buku amat penting kerana ia juga mencatat pelbagai peristiwa khususnya kebangkitan rakyat diera reformasi, di mana pemimpin pembangkang dan rakyat yang bangkit menentang kezaliman, turut dikenakan tindakan, ditangkap, dihambat dan dipenjara.

Bagi penulis buku 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice' berjaya membongkar kebobrokan kehakiman negara, selepas buku 'May Day For Justice' karya mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Buku ini akan dilancarkan oleh peguam Raja Aziz Adruce pada 14 Julai ini di Kuala Lumpur. Naskhahnya boleh diperolehi di toko buku terkemuka dalam negara.

Monday, September 07, 2009

Kembali kepada al-Quran sepenuhnya

Firman Allah (mafhumnya):

"Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hamba-Nya, agar dia memberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan manusia).

"Yang kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi dan Dia tidak mempunyai anak, dan tiada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukuran dengan serapi-rapinya." (Surah al-Furqan, ayat 1-2).

Tanggal 17 Ramadan, umat Islam menyambut peristiwa yang amat penting iaitu turunnya al-Quran atau dikenali dengan Nuzul Quran

Pada hari tersebut, Allah SWT yang telah menurunkan Kitab suci-Nya al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w agar baginda memberi peringatan kepada seluruh makhluk di semua alam jin dan manusia.

Semua makhluk ciptaan Allah, diwajibkan mendalami al-Quran, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Seharusnya difahami bahawa turunnya al-Quran adalah sebagai panduan yang menyelamatkan seluruh alam dari kesesatan dan kebinasaan.

Firman Allah (mafhumnya):

"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya (penyimpangan dari kebenaran).

Ia sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan seksaan yang amat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pembalasan yang baik." (Surah al-Kahfi, ayat 1-2).

Negeri-negeri tertentu di Malaysia, mewartakan hari Nuzul Quran sebagai cuti umum, yang pada asasnya ia amat dialu-alukan sebagai penggalak usaha memartabat dan menghormati al-Quran.

Malangnya ada kalangan umat Islam, menyambut Nuzul Quran hanya sebagai suatu majlis yang menjadi adat tradisi semata-mata atau bercuti tanpa menyedari pengertian yang sebenar di sebaliknya.

Mereka menzahirkan kegembiraan dengan hari sambutan turunnya al-Quran, tetapi malangnya al-Quran itu tidak dijelmakan dalam penghayatan kehidupan seharian.

Hakikat sebenarnya al-Quran yang juga diberi nama al-Furqan, membawa maksud pembeza atau pemisah di antara yang hak dengan yang batil, antara yang lurus dengan yang sesat dan di antara yang halal dengan yang haram.

Umat Islam seharusnya mengambil kesempatan dari kemuliaan bulam Ramadan ini, beserta turunnya al-Quran, untuk mengkoreksi diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Mereka harus mengetahui apa yang hak (benar) dan apa yang batil sebagaimana yang dinyatakan al-Quran.

Jika mereka benar-benar beriman dengan al-Kitab (al-Quran), sebagai rukun iman yang ketiga, mereka seharusnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya.

Islam yang sebenar ialah Islam yang memperhambakan diri menyembah hanya kepada Allah yang Satu. Allah yang menciptkan manusia, seluruh makhluk di alam semesta dan cakrawala.

Allah jualah yang menurunkan peraturan-peraturan kehidupan, yang wajib dipatuhi manusia, agar mereka tidak terjerumus ke lembah kebinasaan.

Manusia yang mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan ialah mereka-mereka yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya sebagaimana yang disarankan al-Quran.

Golongan yang mengambil ajaran al-Quran hanya untuk ibadah sahaja, manakala hukum dan peraturan kehidupan yang lain diketepikan, amat-amat diragui keimanannya.

Justeru sebagai umat Islam dan sebagai hamba Allah yang patuh dengan perintah-Nya, maka dikesempatan sambutan Nuzul Quran 17 Ramadan ini, tekadkanlah keazaman, untuk kembali mengamalkan Islam sepenuhnya.

Kembalikan sistem pemerintahan negara menurut al-Quran sepenuhnya, lakukan reformasi Islam dalam sektor politik, ekonomi dan sosial agar ia dapat memandu kehidupan manusia menuju ke Siratul Mustaqim.

Sunday, September 06, 2009

PRU ke 13, 'sayonara' buat BN?

PEMIMPIN-pemimpin Barisan Nasional, khususnya dari Umno pada waktu ini sedang dibelengu keresahan, khususnya apabila menanti saat-saat getir bakal kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Keresahan itu wujud apabila mereka mula melihat satu demi satu parti yang terlalu dominan dalam politik yang menerajui negara, tumbang dalam pilihan raya, ditewaskan pakatan pembangkang.

Terbaru di Jepun, nasib malang menimpa Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Taro Aso yang berkuasa lebih 54 tahun, kalah kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang dipimpin oleh Yukio Hatoyama.

Daripada 480 kerusi di Dewan Rendah Parlimen, rakyat Jepun yang terbelengu dengan kuasa LDP mengucapkan 'sayonara' kepada parti tersebut dengan memberikan kemenangan besar kepada DPJ dengan 308 kerusi dari 112 kerusi dalam pilihan raya sebelum ini.

Manakala LDP yang menguasai kerajaan dengan 300 kerusi sebelum ini, hanya memenangi 119 kerusi. Sementara parti New Komeito memperolehi 21 kerusi, Parti Komunis Jepun 9 kerusi, Parti Sosial Demokrat 7 kerusi dan lain-lain memenangi 16 kerusi.

Nasib LDP di Jepun sesuai untuk dijadikan perbandingan dengan BN, apabila kedua-dua parti ini mendominasi kuasa tunggal lebih 50 tahun dalam sebuah negara yang membangun.

Isu besar yang menumbangkan LDP ialah kegagalan kepimpinannya menguruskan ekonomi negara dengan betul, sehingga menyebabkan kadar inflasi dan pengangguran begitu teruk.
Selain kedudukan matawang Yen yang semakin terjejas dan jumlah dagangan luar negara yang merosot.

Justeru apa kurangnya BN berbanding LDP? Mereka sama-sama diberi kepercayaan mendominasi pemerintahan negara, tetapi gagal menguruskan ekonomi negara dengan betul.

Jepun merupakan antara kiblat utama ekonomi Malaysia sejak zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi. Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan, dasar 'Buy British Last' diuar-uarkan. Malahan kereta nasional pertama negara juga diadaptasi dan diambil teknologi daripada pengeluar Mitsubishi Jepun.

Barangkali dasar yang diperkenalkan tidak salah. Tetapi akibat erancangan tidak teliti dan perlaksanaan yang tidak dipantau sepenuhnya menyebabkan ia sering tersasar.

Persoalan yang dilontarkan rakyat sekarang ini ialah apakah salahlaku kerajaan Umno-BN dari sudut ekonomi yang memungkinkan mereka diturunkan daripada tampuk kuasa pada PRU ke 13 nanti?

Bijak sangatkah Umno-BN menguruskan ekonomi negeri dan negara? Jika kita melihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perangkaan Negara, kita akan dapati bahawa kebanyakan negeri yang diterajui Umno-BN mempunyai beban hutang yang besar dengan Kerajaan Pusat.

Setiap tahun negeri-negeri yang diterajui BN mengalami defisit yang besar. Pendapatan negeri terlalu kecil berbanding perbelanjaan yang semakin besar.

Walaupun kebanyakan pemimpin Umno-BN yang menerajui kerajaan negeri berkelulusan tinggi dari universiti dalam dan luar negara dengan pengajian ilmu yang moden, tetapi prestasi mereka jauh lebih buruk daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berkelulusan Universiti al-Azhar dalam bidang agama.

Kedah misalnya sebelum diterajui Pakatan Rakyat, mempunyai hutang RM 2 billion. Terengganu dan Sabah, dua buah negeri pengeluar minyak, berada ditahap yang paling corot dan antara negeri termiskin dalam negara.

Di peringkat Pusat pula kerajaan Umno-BN nampaknya terus gagal menseimbangkan ekonomi negara. Tatkala dunia dilanda krisis ekonomi dan kemelesetan yang teruk, pemimpin-pemimpin Umno-BN yang terpahat diminda mereka 'sindrom nafi' tetap mengatakan ekonomi negara masih kukuh.

"Kita mempunyai fundamental yang kukuh, trade surplus kita juga tinggi," kata mereka.

Justeru jika ekonomi negara kukuh, mengapa kerajaan naikkan harga minyak? Mengapa harga barangan keperluan harian semakin meningkat? Mengapa kos projek pembinaan berlipatkali ganda?

Kerajaan boleh mengisytiharkan peruntukan projek mega seperti ECER, NCER, pembangunan Wilayah Iskandar dan sebagainya. Tetapi kesemua projek-projek ini berjalan dengan amat perlahan. Mengapa perlahan? Jawapan mudahnya, kerajaan tiada wang untuk membiayai projek.

Maka rakyat pula melontarkan persoalan, apakah projek-projek ini benar-benar diwujudkan untuk membangunkan negara atau untuk menampung dana politik kaum kerabat dan kroni pemimpin Umno-BN?

Rakyat amat bijak menilai. Sedang rakyat dijarah kesusahan dan kemiskinan, mereka melihat pemimpin-pemimpin Umno, muda-muda lagi sudah kaya raya. Hanya dengan jawatan Ketua Pemuda Bahagian, budak-budak Umno ini sudah mampu menggunakan kenderaan mewah seperti Mercedes Benz 'Mata Kacang' (dulu Mercedes Mata Belalang), BMW, Alphard dan sebagainya.

Malah budak-budak yang duduk dalam Umno ini hidup dalam serba kemewahan dan sering melancong ke luar negara. Trend yang sama melanda Pemuda dan Puteri Umno.

Kebanyakan mereka menyertai Umno, bukan seperti zaman Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Ghafar Baba dahulu, yang benar-benar mengabdikan diri untuk memperjuangkan bangsa Melayu.

Generasi baru yang menyertai Umno melihat 'lombong emas' yang ada di depan mata. Jawatan dalam Umno menjanjikan kemewahan sama ada dalam bentuk rasuah politik wang ataupun projek-projek kerajaan.

Penyakit tamak kuasa dan harta ini juga yang melanda MCA, MIC Gerakan serta menular di Sabah dan Sarawak. Sama seperti 'sedekah' RM10 juta wang PKFZ kepada Ong Tee Keat, ianya adalah wang rakyat!

Mereka inilah sebenarnya perompak di siang hari, yang merompak harta kekayaan negara milik rakyat atas nama perjuangan nasionalisme Melayu, Cina ataupun India.

Bagaimana kerajaan hendak mempunyai dana atau kewangan yang mencukupi, bagaimana hendak ada ketelusan dalam pengurusan ekonomi negara, jika negara diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang begitu tamak haloba?

Maka sudah sampai masanya rakyat menjatuhkan hukuman terhadap BN yang terus mengkhianati amanah rakyat, dulu, kini dan selamanya.

Pada PRU ke 13 nanti mahkamah rakyat akan menghukum BN dan BN bakal menjejaki nasib yang sama seperti LDP di Jepun. Sayonara!

Thursday, September 03, 2009

Medekakan rakyat dari Umno-BN

Tahun ini genap 52 tahun negara merdeka. Saban tahun negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang jatuh sejak tanggal 31 Ogos 1957.

Sebagai parti yang memerintah Kerajaan di peringkat Persekutuan, lebih 50 tahun Umno-Barisan Nasional mengambil kesempatan memperkukuhkan keberadaan mereka sebagai tonggak yang menguasai negara.

Kekuasaan yang dinikmati sekian lama menjadikan pemimpin Umno-BN alpa. Dominasi yang sekian lama membentuk minda dogmatik di kalangan mereka, iaitu hegemoni kuasa yang mutlak dalam negara.

Kepercayaan yang diberikan rakyat sejak tahun 1955 lagi, menjadikan mereka begitu angkuh sehingga merasakan tiada suatu partipun yang boleh mengugat kuasa pemerintahan Umno-BN.

Umno-BN terlalu dominan dalam negara, pengaruh dan kuasa mereka amat luas, sehingga semua institusi-institusi yang wujud dalam negara dipergunakan untuk melindungi serta mengekalkan kuasa mereka.

Dengan kuasa eksekutif sebagai pemerintah Umno-BN menguasai legaslatif (Parlimen) dan mempengaruhi sistem judiciari (kehakiman).

Semua agensi kerajaan turut tunduk dan dikuasai Umno-BN. Peguam Negara (AG) diperalatkan untuk mendakwa sekelompok pemimpin dan parti politik yang bertentangan dengan mereka.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 'ditugaskan' untuk membuat siasatan dan pendakwaan terpilih.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dipergunakan untuk melindungi kuasa politik BN dan menghalang pergerakan politik parti-parti Pakatan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi pengurus pilihan raya dengan adil dan saksama, turut membuat penguatkuasaan peraturan yang dilihat menguntungkan Umno-BN.

Media massa menjadi alat propaganda utama Umno-BN untuk mengelirukan rakyat. Saban hari ada sahaja 'perkara buruk' kononnya dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang cuba dipalitkan dan diterapkan ke minda rakyat.

Media menjadi alat kelangsungan 'kejahatan' Umno-BN, digunakan untuk menyemarakkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Digunakan untuk melaga-lagakan pakatan PAS, KeADILan dan DAP.

Media dan semua agensi kerajaan digunakan sepenuhnya untuk mempengaruhi rakyat, bahawa kononnya hanya BN sahaja parti yang terbaik untuk memerintah negara.

Namun malang buat Umno-BN, segala usaha menyekat, mengadu-domba, memburuk-burukkan Pakatan Rakyat terus menemui kegagalan.

Sejak Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008, hagemoni Umno-BN sudah dihentikan. Mereka bukan lagi tuan kepada negara Malaysia. Kuasa mutlak mereka untuk memperhambakan rakyat mengikut telunjuk mereka terus tersekat.

Rakyat yang menyekat keangkuhan Umno-BN. Rakyat semakin bijak menilai. Rakyat berterusan tidak mahu Umno-BN mempunyai kuasa mutlak dalam negara.

Buktinya sudah tujuh kali pilihan raya kecil diadakan di Semenanjung, semuanya menjadi petunjuk yang jelas bahawa rakyat tidak lagi mahu 'bertuankan' Umno-BN. Rakyat secara jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat adalah alternatif yang terbaik buat mereka.

Sebenarnya penolakan berterusan rakyat terhadap Umno-BN ini juga memberikan impak yang besar terhadap sambutan hari kemerdekaan negara.

Tahun ini kemerdekaan disambut dengan amat hambar sekali. Hampir tidak kelihatan rakyat mengibarkan bendera sama ada digantung pada bangunan, kediaman awam atau kenderaan di jalan raya.

Bukannya rakyat tidak patriotik, Semua rakyat Malaysia begitu patriotik dan cintakan negara. Rakyat cintakan keamanan dan suasana yang demokratik.

Namun paradigma sudah berubah. Persepsi rakyat juga sudah berubah. Mereka tidak lagi mahu dipayungi pemerintah yang terlaku angkuh berkuasa, sehingga mentadbir negara dalam sistem demokrasi yang tempang.

Hakikatnya, selepas 52 negara merdeka, rakyat menunjukkan isyarat dengan jelas bahawa mereka mahu merdeka dari penjajahan Umno-BN!