Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah barangkali tidak perlu bergabung menentang kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerana buat masa ini gabungan kedua-duanya dilihat tidak akan mampu mengugat Abdullah.
Apa yang penting, Kedua-dua Mahathir dan Ku Li sepakat mempertikaikan kewibawaan Abdullah menerajui negara, sekaligus membuka jalan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menggantikan Abdullah sebagai PM
Buat masa ini, walaupun Najib sentiasa memberikan komitmen dan kepatuhannya kepada Abdullah dalam menghadapi serangan Mahathir dan Ku Li, namun kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam negara dan parti masih belum selamat.
Begitu banyak rumours yang didengar dari kalangan orang-orang Umno sendiri tentang hubungan yang agak 'rapuh' di antara PM dan TPM.
Nilai ikrar taat setia dalam Umno
Walaupun Najib cuba memperlihatkan taat setianya kepada Abdullah dan sering membuat kenyataan bahawa beliau 'tidak mempunyai masalah' dengan PM, namun Abdullah setakat ini masih membisu seribu bahasa.
ImageAbdullah tidak memberi sebarang respon langsung kepada kenyataan Najib di Pekan tempohari.
Diamnya PM terhadap spekulasi hubungannya dengan Najib, sebenarnya lebih banyak mengundang rumours yang negatif.
Jika pun Abdullah memberi respon yang positif atau mengakui beliau juga tiada masalah dengan timbalannya, barangkali rakyat sukar mempercayainya kerana pernah berlaku dalam sejarah Umno seperti yang dapat disaksikan dalam episod drama 'Anak Bapak' antara Dr Mahathir dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Dalam Umno, janji dan ikrar taat setia kepada pemimpin atasan bukan sesuatu yang pelik, ia adalah amalan kelaziman untuk 'menghiburkan' pemimpin nombor satu dengan menunjukkan seluruh anggota parti 'seolah-olahnya' menyokong kepimpinan beliau 100 peratus.
Dr Mahathir juga menerima 'hiburan' yang sama ketika menjadi PM dan Presiden Umno. Hakikatnya, tidak sampai dua minggu selepas meletakkan jawatan, semua yang berikrar padanya, semua yang menangis meratapi pemberhentiannya, terus enggan berjumpa beliau.
Janji dan ikrar taat setia adalah sesuatu yang baik. Namun dalam Umno, ianya tidak mempunyai apa-apa nilai kesantunan atau nilai etiket. Ia tidak lebih dari 'sandiwara' atas dorongan ketakutan hilang kedudukan, jawatan dan sumber rezeki.
Bukan bererti anggota parti tidak harus melafazkan ikrar taat setianya kepada pemimpin, ikrar itu amat perlu, namun pemimpin dan ahli-ahli Umno sendiri menjadikan ianya seperti hampas.
Warisan kepimpinan Umno tidak jelas
Selepas Mahathir mengambil alih kepimpinan Umno dan negara, struktur warisan kepimpinan Umno tidak diwariskan dengan jelas atau dalam erti kata lain 'no secure successor'.
Mereka yang duduk dibangku Timbalan Presiden Umno akan berasa lebih trauma kerana tiga timbalan zaman Mahathir, kesemuanya yang dikatakan 'heir- apparent' sudah mengigit jari.
Sama seperti Mahathir, Abdullah juga dikatakan tidak pernah memberikan signal bahawa Najib akan menggantikannya suatu hari nanti.
Tambahan pula apabila Abdullah dilihat jarang sekali menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib berbanding dengan Kementerian Industri Asas Tani di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Barangkali memang Abdullah - Najib tidak bermasalah. Barangkali juga memang wujud masalah, tetapi disembunyikan.
Malah ada juga yang beranggapan, memang TPM dengan PM tidak ada masalah, masalah yang wujud adalah di antara Najib dengan Khairy Jamaludin.
Seperti kata pepatah 'jika tiada angin bertiup masakan pohon bergoyang' itulah yang sering disebut-sebut oleh orang-orang Umno di peringkat bawahan.
Tambahan pula Jun ini, kroni rapat Najib, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda akan berhadapan dengan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu, maka secara tidak langsung ia boleh menjadi punca penentu masa depan Najib.
Isunya di sini bukan soal Najib terbabit dengan kes atau tidak. Isu yang harus Najib fikirkan, apakah mungkin ada musuhnya dalam Umno, yang mahu menyekatnya menjadi Perdana Menteri! Tidak mustahil bukan?
Khairy antara punca penentangan terhadap Abdullah
Sudah diketahui dengan jelas, bahawa serangan-serangan bekas PM dan lain-lain pihak dalam Umno sendiri terhadap Abdullah adalah berpunca dari tidak senang mereka terhadap Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu Abdullah.
Mereka mempertikaikan Khairy yang dianggap 'masih mentah' dalam dunia politik dan ekonomi, diberikan peranan seperti 'key player' dalam pentadbiran Abdullah.
Hakikatnya, Abdullah harus memikirkan mengapa orang yang melantiknya atau orang yang sebelum ini rapat dengannya, sudah mula memandang sinis terhadap keupayaannya memimpin.
ImageSama seperti Mahathir atau Tengku Razaleigh, walaupun mereka tidak bersetuju dalam banyak perkara, namun kelihatannya mereka sepakat berpendapat bahawa Abdullah memacu negara ke arah yang terpesong dari landasan perjuangan Umno.
Mahathir - Ku Li, kedua-duanya mempunyai sejarah pertembungan dan pemusuhan politik yang hebat dalam banyak perkara sejak tahun 1980-an lagi, namun kedua-duanya bersatu dalam menentang cara pemerintahan Abdullah.
Sejarah pertembungan antara bekas Perdana Menteri dengan bekas Menteri Kewangan ini, tidak terungkap kehebatannya sehingga melakar sejarah yang amat tragis bagi orang Melayu kerana pertelagahan yang mendorong Umno diharamkan pada tahun 1988.
Mahathir dan Ku Li, walaupun kini dipinggirkan dan tidak diterima pandangan mereka sama ada dalam isu politik, mahu pun ekonomi oleh Abdullah, namun kedua-duanya masih berpengaruh dan berbisa.
Kedua-dua tokoh Umno ini bertemu dalam satu majlis Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM) di Universiti Malaya yang diadakan pada 30 Mac lepas.
Manakala Mahathir berucap di forum Kepimpinan Melayu di Era Globalisasi anjuran Umno Cawangan Kulai Besar pada 29 Mac lepas, secara khusus turut mengkritik Abdullah.
Kedua-dua tokoh veteran Umno ini, masing-masing berada dalam usia emas dan tidak mungkin berhasrat untuk merebut jawatan Presiden Umno sekaligus menjadi Perdana Menteri.
Mahathir sudah tentu tidak akan kembali sebagai Presiden Umno. Manakala Tengku Razaleigh pernah mendapat satu pencalonan sebagai calon Presiden Umno, namun 'ketakutan' yang wujud di kalangan pemimpin Umno sendiri menjadikan usaha merebut jawatan Abdullah sebagai tidak relevan.
Hakikatnya Mahathir dan Ku Li tidak perlu bergabung menentang Abdullah, mereka hanya perlu untuk terus mengasak PM dan Khairy, sekaligus membuka peluang untuk Najib diangkat menjadi PM ke 6 Malaysia!
Isu yang dibangkitkan Mahathir - Ku Li
Namun persoalan yang dibangkitkan oleh Mahathir dan Ku Li, digelapkan dan tidak langsung dihighlightkan dalam media arus perdana untuk diperbincangkan dalam situasi yang sihat.
Kerajaan didakwa menggadai maruah negara dan meminggirkan orang Melayu dalam pembangunan projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor.
Kerajaan didakwa menyebabkan kemerdekaaan sudah mula terhakis dengan dasar membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur asing, khususnya Singapura untuk memajukan negara, sekaligus menguasai harta-harta rakyat Malaysia melalui pelaburan.
Abdullah didakwa begitu lemah sehingga menyebabkan kerugian RM1.4 bilion akibat kegagalan projek Jambatan Bengkok dan pembinaan Kompleks Imigresen dan Kuarantin di Johor.
Kepimpinan Abdullah yang seharusnya meneruskan kemajuan dan pembangunan Proton sebaliknya dilihat hendak 'membunuh' Proton dengan mengakibatkan kehilangan RM1 bilion wang Proton.
Dilema yang dihadapi Melayu dalam era ini kata Mahathir, "Orang Melayu hanya bukan lagi tuan kepada negara ini dan akan menjadi penonton sahaja kerana kemajuan (yang dilaksanakan) tidak mempedulikan nasib bangsa."
Di samping itu dalam ceramahnya di Kulai, Mahathir dipetik sebagai berkata: “Sesetengah pemimpin cakap besar..oh anak saya kaya..mereka cakap tentang rumah mereka yang bernilai AUD 25 juta…itu RM60 juta.Sungguh aneh mempunyai rumah begitu besar.
“Kita mempunyai seorang pemimpin yang pergi jauh ke Perth untuk menghadiri pembukaan ..apa itu…restoran nasi kandar. Antara berada dalam negara ketika malapetaka dan mengendalikan perasmian sebuah restoran nasi kandar ,mana yang lebih penting? Tentulah nasi kandar."
Semua tuduhan ini sebenarnya amat serius tidak harus dipandang ringan dan memerlukan penjelasan yang telus daripada kerajaan dan Abdullah sendiri.
Sebelum ini pun banyak dakwaan dan kes-kes yang dikatakan skandal AP, penyelewengan serta rasuah tidak dijawab dan tidak diambil tindakan oleh PM.
Ini mendorong persepsi, barangkali beliau tidak tahu bertindak, beliau lemah untuk mengambil tindakan atau mungkin apa yang dituduh tidak benar sama sekali.
Secara mudahnya, Abdullah, Khairy ataupun juak-juak mereka boleh sahaja menepis dakwaan dengan mengatakan semua tuduhan ini tidak betul dan tidak berasas.
Tetapi jangan lupa, rakyat sudah bijak menilai dan meneliti mana yang betul dan mana yang tidak betul.
Suatu hari masanya akan tiba, di mana rakyat akan bangkit menuntut kebenaran.
(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 6 April 2007)