Tuesday, March 20, 2007

Kes Razak Baginda - Peluang terbaik untuk Khairy mencantas Najib?


Apabila perbicaraan pembunuhan model Aminah Abdullah @ Altantuya Shaariibuu, diawalkan sembilan bulan dari tarikh 10 Mac 2008 kepada 4 hingga 29 Jun 2007, ia dilihat sebagai suatu 'trigger' penting yang boleh mencorakkan politik Malaysia.

Kes yang didengar oleh Hakim Dato' K N Segara digantikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Mohd Zaki Md Yasin, manakala tertuduh Abdul Razak Abdullah Baginda 'menukar' peguamnya daripada Tetuan Lee Hishamudin Alen & Gredhill kepada Tetuan Norendra & Yap.

Pada awal kes berlaku, Razak Baginda menggunakan khidmat peguam Dato' Muhammad Shafie Abdullah, kemudiannya ditukar kepada peguam lain.

Bagaimanapun alasan penukaran hakim dan penukaran peguam tidak dapat dipastikan.

Apapun urusan teknikal yang berlaku berikutan kes membabitkan Razak, ianya tidak lari daripada mencetuskan suatu persepsi politik yang sudah menjalar dalam masyarakat, khususnya dalam Umno sendiri, tentang kaitan kes ini dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Apabila kes Razak Baginda disebut-sebut awalkan, ada kalangan rakan-rakan penganalis politik menyebut, "Jika dalam perbicaraan, disebut nama Najib atau Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor), sudah tentu ia akan lebih menyukarkan (Najib)."

Tanpa menyentuh fakta kes, masalah yang besar kepada TPM adalah, umum mengetahui bahawa Razak Baginda bukan sahaja 'think tank' dan sahabat baiknya, namun sejak awal kes berlaku, sehingga hari ini, beliau enggan 'membuka mulut' walaupun ditanya oleh wartawan.

Walaupun barangkali Najib enggan mencampuri urusan penyiasatan polis atau urusan mahkamah, namun beliau tidak dapat lari daripada persepsi awam bahawa, dari sudut politiknya kes pembunuhan Altantuya boleh menjejaskan masa depan politik beliau.

"Cuma jalan selamat buat Najib sementara ini ialah beliau terpaksa menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada PM," kata seorang pemerhati.

Jawatan TPM bukan jaminan jadi PM

Mungkin pada saat ini, Najib seharusnya sedar dan bersedia untuk menerima hakikat bahawa kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, bukan jaminan beliau mesti menjadi Perdana Menteri.

Tiga TPM pada zaman Mahathir Mohamad, iaitu Musa Hitam, Abdul Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim sudah menjadi sejarah.

Selayaknya Najib yang patut dilantik sebagai TPM, sebelum Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ditunjuk oleh bekas PM, Tun Dr Mahathir sebagai penggantinya.

Walaupun kemudiannya, Mahathir mengakui beliau tersilap memilih Abdullah, namun perakuannya sudah terlambat, selepas beliau melihat sendiri beberapa bukti kelemahan dan kegagalan Abdullah sebagai PM.

Dari segi personaliti dan kecekapan mentadbir, Abdullah amat jauh jika dibandingkan dengan Mahathir. Malah jika hendak dibandingkan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim juga, Abdullah tidak sepadan.

Walaupun Abdullah dikatakan mempunyai caranya yang tersendiri, namun persepsi ini sukar diubah. Jika pun dibandingkan dengan personaliti Najib, Abdullah belum tentu dapat menyamainya.

Pada pandangan pemerhati, dalam Umno sendiri, Abdullah sukar mengatasi pengaruh besar Najib dari kalangan pemimpin negeri dan bahagian.

"Menjadi PM berwajah baik, atau berwatak baik bukan alasan untuk menunjukkan seseorang itu pandai mentadbir. PM harus ada karisma yang tersendiri, pada Abdullah memang ada watak baik, tapi beliau tidak sesuai menjadi pemimpin nombor satu," komen seorang pensyarah.

PM 'not in control'

Banyak kes-kes yang menular dalam negara pada masa ini, seperti percambahan gejala rasuah penyalahgunaan kuasa adalah manifestasi daripada kelemahan Abdullah untuk mengawal tadbir negara.

Walaupun media milik BN cuba untuk memaparkan 'kehebatan' Abdullah namun hakikatnya media menipu diri mereka sendiri kerana melaporkan sesuatu yang tidak betul.

Media boleh cuba menipu rakyat dengan menggambarkan PM sebagai seorang pemimpin yang 'alert', hakikat yang berlaku sebaliknya apabila beliau sering 'pancit' dalam banyak 'event' yang disaksikan ramai tokoh ternama.

Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman merakamkan kelesuan Abdullah dalam rencananya di harakahdaily yang bertajuk 'Negara tidak terurus, namun lena PM makin nyenyak'.

Abdullah jelas tidak mampu mengawal negara. Di zamannya sekarang kita boleh menyaksikan menteri berbalah sesama sendiri, bukan sahaja yang membabitkan Samy Vellu dengan Chua Soi Lek, malah di kalangan menteri yang mewakili Umno juga mereka berbalah.

Menteri tidak ada segan silu, malah mereka berbalah di hadapan media sehingga ada yang menganggap tindakan yang diambil menteri lain sebagai bodoh!

Malah di kalangan pegawai kerajaan boleh berbalah dengan anggota pentadbir, misalnya percanggahan antara Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharom.

Ini belum termasuk dengan beberapa dakwaan Mahathir khususnya dalam isu pembinaan jambatan, penyelewengan AP, Proton, penjualan MV Agusta dan banyak lagi yang masih belum diselesaikan oleh Abdullah.

Punya banyak kelemahan yang berlaku sudah tidak terakam. Hakikatnya, BN yang Abdullah terajui sebenarnya seumpama kapal 'Titanic'.

Jika dalam filem 'Titanic' kapal tersebut tenggelam akibat cuaca yang amat buruk, bezanya 'Titanic BN' hampir karam kerana pengemudinya 'not in control'.

Abdullah dilihat sebagai pemimpin yang berwatak baik, tetapi tiada kekuatan, lemah dan lesu.

Kekuatan Abdullah hanya ada pada Khairy

Pada pandangan orang-orang Umno khususnya, kekuatan Abdullah hanya terletak pada pundak menantunya, Khairy Jamaludin.

Walaupun begitu, Abdullah sudah mencatatkan namanya sebagai PM kelima Malaysia. Jika beliau jadi PM sepenggal sekalipun, beliau tetap bekas PM.

Abdullah mungkin juga boleh menakuk sepenggal lagi sebagai PM, selepas itu barangkali, usia dan kesihatannya tidak mengizinkan.

Jadi untuk apakah Abdullah harus dibantu dan dikekalkan sebagai PM untuk penggal-penggal seterusnya, jika tidak untuk menyediakan 'platform' untuk menantunya?

Betullah telahan Mahathir, yang menjadi tunggak kepada Abdullah, selain Khairy, hanya pegawai-pegawai di Tingkat 4 JPM dan segelintir wartawan di Kumpulan NST.

Dan barangkali, Khairy sedar bahawa kedudukan Abdullah yang belum benar-benar kukuh dalam Umno untuk menjaminnya bertanding ke jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Khairy juga sedar betapa besarnya pengaruh Najib dan juga sepupunya Hishammuddin Hussein, di kalangan pemimpin Umno negeri dan bahagian, yang jumlahnya lebih 190 bahagian. Pengaruh kedua-dua anak bekas PM ini amat besar dalam Umno dan sukar untuk digugat.

Ada orang Umno memberitahu, Khairy setakat ini, hanya baru menguasai 50 bahagian Umno. Jika hendak memastikan kedudukannya, Khairy mesti menguasai lagi 50 bahagian untuk menjamin masa depannya.

Untuk menguasainya, selain daripada berkempen di kalangan pemuda bahagian, Khairy juga terpaksa mendekati Ketua Menteri, Menteri atau Menteri Besar yang menerajui Badan Perhubungan Umno negeri. Persoalannya apakah MB dari Umno boleh bekerjasama dengannya?

Mungkin mudah untuk Khairy mendapat kerjasama bagi memperkukuhkan kedudukannya dari negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Terengganu.

Manakala lain-lain negeri, kelihatannya memang pro kepada Najib.

Bagaimana untuk menghalang Najib?

Di kalangan orang-orang Umno, mereka tidak lepas daripada mengosip tentang politik dalaman, khususnya tentang penglibatan Khairy dalam pencaturan politik parti.

Ke mana-mana sahaja, di mana-mana sahaja mereka berlonggok, sama ada di warung kopi hinggalah ke 'coffee house' mereka tidak lekang dari membicarakan siapa orang Pak Lah siapa orang Najib.

Tidak kurang juga di antara mereka yang berhati-hati mengeluarkan 'statement' kerana takut dilabel. Golongan yang bersikap 'tunggu dan lihat' dalam Umno juga ramai. Golongan yang 'makan' dari dua-dua pihak pun banyak juga.

Bak kata pepatah 'hanya jauhari yang mengenal manikam', begitu juga pemimpin Umno yang memahami wujudkan golongan yang menjadi 'talam dua muka' antara penyokong Abdullah dan Najib.

Namun barangkali bagi Khairy, usaha untuk menambah pengaruh lebih penting daripada segala-galanya.

Tidak kisahlah sesiapa hendak 'makan suapan' sesiapa, rasuah dan politik wang bukannya perkara baru dalam Umno, banyak manapun harus dihulurkan tidak penting asalkan Najib mesti disekat!

Hanya dua cara sahaja untuk mengetepikan pengaruh Najib dalam Umno. Pertama, memilih calon pilihan raya dari kalangan orang bukan pro Najib dan seterusnya melantik mereka mengganggotai jawatan dalam kerajaan.

Kedua, mencari jalan untuk 'tarnish' imej Najib melalui perbicaraan kes Razak Baginda, dengan membuktikan di mahkamah kaitan beliau dalam penerimaan komisyen penjualan kapal selam, yang didakwa Altantuya menerima bayaran hasil dari 'deal' yang berkaitan.

Dalam sejarah Umno bukan mustahil kes-kes jenayah yang dibabitkan terhadap orang politik walaupun secara tidak langsung, boleh membunuh masa depan politik mereka.

Jika analisis ini benar-benar berlaku dan dipraktikkan, maka Najib tidak harus berdiam diri.

Beliau harus bertindak segera kerana yang dipertaruhkan adalah jawatan PM! Satu jawatan yang sangat besar ertinya kepada beliau.

Persoalannya apakah Najib sedia untuk memasukkan namanya pada senarai bekas TPM yang tidak berpeluang jadi PM sepertimana Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim?

Jika tidak, apakah beliau harus berdiam diri dan menyerahkan nasibnya pada tangan Khairy Jamaluddin?

Kita tunggu dan lihat.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 12 Mac 2007)

Teori konspirasi dalam kes Razak Baginda vs kes Anwar Ibrahim


Kes membabitkan Abdul Razak Abdullah Baginda, 46 dalam pembunuhan model mongolia Altantuya Shaaribu 28, dengan mengunakan bahan peledak C4 sehingga badan mangsa hancur berkecai di sebuah kawasan terpencil berhampiran Puncak Alam nampaknya menjadi semakin sensitif.

Ia menjadi begitu sensitif kerana rakyat begitu berminat untuk mengetahui perkembangan kes ini kerana' ia berkisar kepada tiga aspek utama iaitu, pertama; pembabitan UTK (Unit khas yang berkhidmat untuk Perdana Menteri dan Timbalannya), kedua; pengunaan bom jenis C4 (bahan letupan hanya boleh diperolehi oleh anggota tentera dan anggota polis tertentu sahaja), dan ketiga; Razak bebas dengan bon jaminan.

Sehingga mendorong Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Salehudin Saidin untuk memperjelaskan hanya tiga tertuduh sahaja yang terbabit dengan kes, sedangkan banyak tohmahan dan sindiran bahawa ada pihak lain terbabit berdasarkan tiga aspek di atas.

Kenyataan DPP Salehudin yang bertujuan untuk menepis tohmahan, sebenarnya dibimbangi lebih mengundang banyak keraguan berdasarkan, antaranya kenyataan isteri Razak, Mazlinda Makhzan, mendakwa suaminya tidak bersalah, diperangkap dan tidak mahu menjadi Perdana Menteri, penarikan diri peguam Dato' Muhammad Shafie Abdullah dan perubahan bon jaminan dengan jaminan deposit RM1 juta beserta dua penjamin.

Namun apa yang disebut oleh Salehudin itu sejajar dengan hasrat Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang minta supaya media massa jangan mendahului siasatan polis dengan membuat sebarang spekulasi berhubung kes-kes jenayah, khusus bagi kes yang mendapat perhatian umum.

Menurut KPN, sebarang spekulasi keterlaluan boleh menimbulkan suasana tegang di kalangan masyarakat dan beliau bimbang masyarakat umum akan menyalahtafsirkan sesuatu kes tersebut.

Memang, seharusnya pihak berkuasa bertegas supaya media tidak menjatuhkan hukuman kepada mana-mana individu sebelum penyiasatan rapi dibuat dan sehingga tertuduh didapati bersalah oleh mahkamah.

Namun, alangkah baiknya seorang yang berjawatan tinggi seperti Musa ini menyedari bahawa betapa perlunya maruah dan keperibadian seseorang itu dipelihara sebelum hukuman dijatuhkan atas apa-apa kesalahan yang dilakukannya.

Peristiwa hitam 8 tahun dahulu

KPN bukannya orang politik, namun sejarah politik negara membuktikan bahawa mantan KPN pernah menjadi alat politik pemimpin sebagaimana yang dibuktikan dalam kes membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dianiaya dan dipukul dalam lokap polis dalam keadaan tangan bergari dan mata yang ditutup, oleh Tan Sri Rahim Noor.

Peristiwa hitam lapan tahun lalu, ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dan disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, belum pun beliau sempat bernafas, media massa yang menjadi alat propaganda jahat bekas PM, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) sudah menghukum beliau dengan kejam.

Tan Sri Musa, yang ketika itu menjadi pegawai penyiasat (I.O) kes membabitkan Anwar, juga sedar bahawa hampir semua media massa digunakan untuk menghentam, menghina, mengaib dan menjatuhkan hukuman terhadap Anwar, pada ketika beliau belum ditahan lagi.

Anwar dipecat pada 1998 atas didakwa dengan 10 pertuduhan yang membabitkan rasuah, liwat, homoseksual, treason dan sebagainya. Sebaik sahaja dipecat, belum lagi Anwar dihadapkan ke mahkamah, rakyat sudah menjadi saksi pembohongan dan kedurjanaan media.

Sepanjang tempoh perbicaraan tiga kali pihak pendakwa meminda pertuduhan, segala-galanya dibongkar, tilam, spesimen air mani, DNA, semuanya dibongkar dengan tujuan mengaibkan Anwar.

Namun, hakikatnya Anwar hanya dihukum selepas mahkamah mendapatinya bersalah kerana meminta Pengarah Cawangan Khas, Dato' Mohd Said Awang dan Timbalannya, Dato'Amir Junus mendapatkan pernyataan bertulis umum dari Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

Oleh kerana beliau TPM maka arahannya dikatakan bercanggah dengan Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat. Beliau dihukum enam tahun penjara.

Bagaimanapun hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 atas kesalahan meliwat tidak dikenakan ke atas beliau apabila dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004.

Namun, hakikat sebenar yang tercetus daripada peristiwa hitam ini adalah berpunca daripada pertembungan politik, bukannya kes jenayah. Hakikatnya Anwar dijatuhkan kerana beliau dituduh hendak mencabar Mahathir.

Anwar adalah mangsa politik Mahathir!

Kes Anwar tercetus kerana TPM didakwa mahu menjatuhkan PM dan populariti TPM melebihi PM apabila beliau mendapat sanjungan masyarakat dalam dan luar negara.

Peguam-peguam Anwar begitu yakin bahawa Anwar tidak bersalah dan konsisten mengatakan bahawa Anwar diperangkap oleh teori konspirasi. Kes Anwar juga mendapat liputan hangat dan perhatian masyarakat seluruh dunia.

Kes Anwar membuktikan wujudnya teori konspirasi yang membabitkan ramai pemimpin Umno seperti Daim Zainuddin, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak, Megat Junid Megat Ayub, Aziz Shamsuddin, Tengku Adnan Mansor dan ramai lagi.

Ianya berpunca apabila seseorang PM berasa sudah tidak selesa dan hendak dijatuhkan, maka tiada jalan lain selain 'membunuh karakter' bakal pencabarnya atau mana-mana karakter atau pillars yang mendokong pencabarnya.

Perbandingan kes Anwar - Razak Baginda

Kes Anwar berbanding dengan Razak Baginda memang banyak bezanya. Anwar adalah TPM, Razak hanya penganalisis kepada TPM yang juga Menteri Pertahanan. Tetapi barangkali kes ini ada satu persamaan iaitu wujudnya teori konspirasi.

Kes-kes yang membabitkan golongan elit sama ada ahli politik atau pun penasihat kepada ahli politik dengan salahlaku jenayah begitu jarang berlaku. Kes membabitkan Razak Baginda ini berlaku selepas lapan tahun kes yang membabitkan Anwar berlaku.

Razak Baginda, bukan ahli politik, bukan juga ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, beliau hanya seorang penganalisis politik yang merupakan think-tank kepada Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Isteri Razak mendakwa suaminya diperangkap (yang boleh ditafsirkan sebagai wujudnya teori konpirasi), manakala peguamnya bertegas bahawa anak guamnya tidak bersalah (membawa erti anak guamnya boleh jadi diperangkap melakukan jenayah, tiba-tiba menarik diri seolah-olahnya ada tekanan).

Sama ada benar atau tidak Razak bersubahat membunuh Altantuya, kita tunggu perbicaraan kes Mahkamah yang akan disebut semula 5 Januari depan.

Namun, penganalisis berpendapat, kes Razak menarik perhatian dunia apabila dituduh terbabit dalam kes Altantuya bukan semata-mata ia membabitkan pembunuhan warga asing, tetapi kerana beliau berkait rapat dengan TPM.

Secara khususnya Najib tidak pernah dibabitkan dalam kes ini, namun timbul persoalan tentang penglibatan UTK dan pengunaan bom peledak C4 yang dikaitkan dengan 'terlolos' daripada simpanan Kementerian Pertahanan.

Pada awalnya, mahkamah yang mendakwa beliau terbabit mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, namun beliau dibebaskan dengan bon jaminan namun ia dipinda kepada jaminan deposit RM1 juta.

Wang jaminan tersebut dibayar oleh Mazlinda dan Abdul Rani Baginda menerusi dua buku bank pada jam 3.30 petang, sedangkan kes bermula pada jam 9.30 pagi Khamis lepas.

RM1 juta diperolehi dalam masa yang amat singkat. Barangkali anggota keluarga Razak mempunyai wang yang cukup dan sudah bersedia untuk menjamin beliau berdasarkan perintah awal mahkamah yang membebaskannya dengan bon jaminan RM1 juta semasa sesi perbicaraan lepas.

Razak simpang wang siapa?

Namun, rakyat ingin penjelasan kerajaan yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan di Parlimen berhubung dakwaan sebuah syarikat yang dikendalikan Razak Baginda menerima komisyen yang besar dalam urusniaga ratusan juta ringgit yang membabitkan pembelian kapal selam.

Dibangkitkan di Parlimen, Razak terbabit dalam urusniaga bernilai RM4.1 bilion antara pihak kerajaan dengan syarikat usaha Perancis-Sepanyol, Armaris.

Pembangkang juga mendesak Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib, menjelaskan soal komisyen sejumlah AS$100 juta dalam urusniaga pembelian kapal selam tersebut yang difahamkan membabitkan urusan dengan Abdul Razak.

Bukan soal pembabitan Najib dengan pembunuhan Altantuya yang dibangkitkan, bukan juga dipersoal apakah kalau-kalau Najib ada 'hubungan' dengan si mati.

Cuma rakyat ingin mengetahui, jika benar Razak mempunyai wang yang banyak, seperti menerima komisyen penjualan kapal selam, wang siapakah yang dimilikinya?

Barangkali Ketua Pengarah BPR, Dato' Zuklipli Mohd Noor tidak perlu menunggu suatu laporan khusus dibuat kepada agensinya untuk membuat siasatan. Barangkali juga BPR tidak perlu menunggu signal daripada PM untuk berbuat demikian.

Demi kepentingan rakyat, BPR harus segera menyiasat kedudukan kewangan Razak Baginda.

Apa pun, DPP Salehudin dan KPN Musa boleh menguatkuasakan peraturan melarang keluarnya fakta-fakta yang membabitkan orang kenamaan dalam kes Razak Baginda, namun mereka tidak boleh memadamkan persepsi dan persoalan 'hubungan' Razak dengan Najib beserta wang (jika benar beliau menerima wang komisyen) yang dimilikinya.

Rakyat sudah dihimpitkan dengan pelbagai teori bahawa kes-kes jenayah juga barangkali ada kaitannya dengan politik, banyak yang hendak disebutkan seperti kes pembunuhan yang membabitkan Dato' Mokhtar Hashim, kes pembunuhan Mustakizah, kes pembunuhan eksekutif BMF, Jalil Ibrahim dan kes pemecatan Anwar.

Rakyat sekarang ini menanti jawapan, berdasarkan susur galur kes Razak Baginda, apakah jaminannya ia tiada kaitan dengan politik dan teori konspirasi?

Peristiwa seumpama kes membabitkan Anwar mungkin berulang lagi dalam bentuk yang lain.

Ianya bergantung kepada orang-orang politik, jika mereka sedia bertarung dalam gelanggang terbuka, itulah sebaik-baiknya, jika mereka mahu kekal berkuasa dengan cara yang kotor, maka peristiwa malang seperti kes Anwar, bila-bila masa boleh berlaku.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 18 Disember 2006)

Kes Razak Baginda dan kaitannya dengan masa depan Najib Tun Razak

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, memang sangat terkenal rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Bukan sahaja rapat, malah beliau adalah antara penasihat dan think-tank utama hala tuju politik Najib.

ImageApabila nama Razak Baginda dikaitkan dengan kes jenayah berat Isnin lepas, ramai kalangan ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang yang sedang menghadiri sidang Dewan Rakyat gempar. Mereka seolah-olahnya tidak percaya dan terpinga-pinga.

Bukan mereka tidak percaya betapa kejamnya pembunuhan dibuat sehingga tubuh mangsa berkecai diletupkan untuk menghilangkan bukti, tetapi mereka terpinga-pinga kerana Razak adalah kroni Najib!

Kes yang membabitkan beliau dengan pembunuhan kejam, Aminah bt Abdullah @ Altantuya Shaariibuu, 28, model warga Mongolia, sedang disiasat dan dirujuk ke mahkamah, biarlah undang-undang menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak.

Malah, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi minta polis jalankan siasatan rapi kes pembunuhan kejam Altantuya dan meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyiasat kes itu dengan betul.

"Tiada siapa yang bebas daripada undang-undang. Ini mesti menjadi pegangan," kata PM ketika diminta mengulas kes berprofil tinggi itu melibatkan penganalisis politik VIP, Abdul Razak Baginda.

Kini orang-orang Umno sudah mula bercakap sesama sendiri. Bukan soal fakta kes yang dibicarakan. Bukan juga soal masa depan Razak Baginda. Tetapi persoalan yang berkaitan masa depan politik parti dan pertembungan yang semakin tajam, barangkali sudah tidak dapat dielakkan.

Polemik yang mereka hadapi waktu kini, sebenarnya bukan setakat membabitkan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Abdullah Ahmad Badawi sahaja, malah ia dijangka menjangkau pembabitan yang menentukan masa depan Najib Tun Razak.

Motif serangan Mahathir terhadap Abdullah

Dr Mahathir mempunyai motif yang sangat jelas, apabila konsisten membuat serangan terhadap Abdullah. Beliau mahu, sama ada PM mengubah cara mentadbir negara dengan mengikut nasihat beliau atau pun meletakkan jawatan. There is no other choice.

Jika Abdullah meletakkan jawatan, sudah tentu Mahathir mahukan Najib sebagai pengganti PM!.

28 Julai lalu, ketika berucap di majlis anjuran alumni bekas wakil rakyat BN di Hotel Perdana Kota Bharu, Mahathir sudah menjelaskan segala-galanya. Baginya perlantikan Abdullah sebagai PM sebagai suatu kesilapan, sehingga Mahathir mengatakan penggantinya kelihatan begitu baik semasa menjadi timbalan beliau, tetapi selepas menjadi PM segala-galanya sudah berubah.

Tiga tahun lalu semasa Mahathir menyerahkan jawatan PM kepada Abdullah, beliau memberikan perlantikan bersyarat iaitu, Abdullah mesti melantik Najib sebagai TPM bagi memastikan peralihan pucuk kepimpinan negara dan parti berjalan lancar.

Namun, Abdullah tidak menyegerakan perlantikan tersebut. Beliau membiarkan jawatan TPM kosong beberapa bulan. Setelah Mahathir membuat teguran dan Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz membuat kenyataan terbuka menyokong Najib sebagai TPM, serta beberapa campur tangan pihak lain, barulah Najib dilantik.

Tidak dapat dipastikan mengapa Abdullah melenggahkan perlantikan TPM ketika itu. Apakah Abdullah sendiri yang enggan melantik Najib atau barangkali ada nasihat lain dari pihak yang berada di tingkat 4 JPM, atau barangkali Khairy sendiri yang tidak berapa gemar dengan Najib.

Apabila polemik Mahathir - Abdullah tercetus, Najib mengambil sikap untuk bersama dengan Abdullah. Apa pilihan yang dia ada ketika ini? Beliau terpaksa menunjukkan kesepakatan dengan Abdullah sebagai TPM dan Timbalan Presiden Umno dan menunjukkan Umno bersatu di belakang Abdullah.

Namun kesepakatan orang politik tiada jaminannya. Persoalan yang harus dicatur Najib bukan masa depan Mahathir, tetapi masa depannya sebagai orang nombor dua dan bakal pengganti PM.

Masa depan politik Najib yang kabur

Bagi kawan-kawan dalam Umno, jika Najib hendak mencatur masa depan politiknya, orang yang harus diperhatikan adalah menantu PM, the most popular figure Khairy Jamaluddin, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno.

Khairy adalah think-tank Abdullah, sama seperti peranan yang dimainkan oleh Razak Baginda untuk Najib.

Khairy tidak akan menunggu lama. Kerusi Ketua Pemuda sudah ada dalam genggamannya.Malah sekarang ini pun pada orang-orang Umno beliau yang memimpin pemuda bukan Dato' Seri Hishammuddin Hussein.

Khairy tahu, bukan sahaja Mahathir yang menghadapi masalah kesihatan berkaitan jantung, bapa mertuanya juga mengalami keadaan yang sama dan pernah menjalani pembedahan jantung beberapa tahun lalu. Jika dia lambat bertindak, segala perancangan akan tergendala. Peluangnya untuk naik akan terjejas.

Khairy menyedari serangan Mahathir terhadap bapa mertuanya begitu kuat dan hebat. Khairy juga tahu sokongan padu yang diperolehi Abdullah (yang dikatakan dari akar umbi Umno) tidak boleh dijadikan pegangan untuk menunjukkan Abdullah terlalu gagah masa kini.

Beliau tahu dan menilai sendiri, nasib insan segagah Mahathir yang bertakhta selama 22 tahun, juga, kini dihina dan ditempelak oleh orang-orang Umno sendiri.

Namun, Khairy juga amat sedar pengaruh Najib terlalu besar dalam Umno, malah sebelum bapa mertuanya dilantik menjadi PM, Najib dan orang-orangnya begitu dominan dalam parti.

Cara yang paling baik ialah menangguhkan pemilihan parti Umno. Umum berpandangan bahawa penangguhan tersebut dibuat kerana Umno hendak membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi Abdullah menafikannya.

Jika penangguhan dibuat bukan kerana hendak menghadapi pilihan raya, ianya ditangguhkan untuk tujuan apa?

Persoalan inilah yang membayangi minda orang-orang Umno sekarang.

Peluang Khairy untuk menyusun orangnya dalam Umno

Bagi orang-orang Umno, keputusan MT menerima penangguhan pucuk pimpinan parti ada risikonya. Risikonya besar dan boleh mengubah kepimpinan pada masa akan datang.

Mereka sudah mencongak mulai sekarang, siapa yang akan menjadi calon Umno/ BN dalam pilihan raya akan datang. Calon ini jika menang akan menjadi wakil rakyat, wakil rakyat ada kuasa dan pengaruh di peringkat bahagian masing-masing.

Jika Khairy dituduh ramai orang Umno, sebagai campur tangan dalam urusan perlantikan Kabinet, mengapa tidak beliau campur terus sahaja pemilihan calon-calon dari Umno untuk pilihan raya umum akan datang?

Sebagaimana Khairy menyusun orang-orangnya di peringkat pemuda bahagian, inilah kesempatan terbaik untuk dia menyusun orang pro Abdullah untuk menjadi calon dan mengetepikan orang Najib.Tambahan pula kuasa memilih calon Umno ditentukan oleh Presiden sendiri, ini lebih memudahkan Khairy membuat penyusunan.

Dengan cara itu bila pemilihan Umno diadakan selepas pilihan raya, maka orang-orang Khairy sudah bersedia untuk menguasai bahagian.

Inilah risiko yang dihadapi Najib. Bagaimana jika orang yang pro kepadanya diganti atau 'berpaling tadah' untuk kekal sebagai calon? Najib berhadapan dengan situasi yang agak sukar, pentas politik Umno bila-bila masa boleh berubah.

Tambahan pula, penasihat politiknya sedang menghadapi dakwaan yang dikaitkan dengan jenayah berat.

Reputasi dan nama baik Razak Baginda sedang dipersoalkan media dan rakyat.

Kebimbangan boleh jadi kenyataan.

Yang paling dibimbangkan oleh orang-orang politik ialah wujudnya 'character assassination' ditujukan kepada orang tertentu untuk membunuh karier politik mereka. Barangkali tidak terus direct kepada individu, tetapi ditujukan kepada kroni atau juak terdekat dengan pemimpin politik berkenaan.

Razak Baginda adalah suatu kes yang amat klasik. Bukan soal dia buat jenayah atau tidak.

Rakyat kini sedang bertanya betulkah Razak membayar RM1 juta kepada pihak tertentu untuk menghapuskan bukti pembabitannya dengan model warga Mongolia?

Betulkah beliau mengkreditkan beratus ribu RM ke akaun si mati? Betulkah beliau menghabiskan banyak wang untuk membiayai wanita tersebut?

Persoalannya sekarang, di mana dan bagaimana Razak Baginda mendapat wang yang sebegitu banyak?

Beberapa tahun lalu, pembangkang membangkitkan tentang hubungan Najib dengan Razak Baginda, kononnya Najib mendapat hasil melalui Razak, dengan mengaut keuntungan lebih beratus juta sebagai orang tengah penjualan pesawat pejuang dan kapal selam kepada Kementerian Pertahanan.

Pembangkang juga mendakwa semua kontrak itu ditandatangi oleh Najib tanpa tender, tetapi isu diketepikan dan didiamkan begitu sahaja.

Jika dapat dibuktikan bahawa wang berjuta ringgit memang milik Razak Baginda, satu laporan BPR harus dibuat ke atas beliau untuk dicari kesahihan dari mana sumber kewangannya, sama ada dari hasil kerjayanya sebagai penganalisis politik, sebagai ahli perniagaan atau rasuah sebagaimana yang didakwa pembangkang sebelum ini.

Jika Razak Baginda dapat dikaitkan, sekaligus nasib Najib Tun Razak juga akan terjejas.

Barangkali masih terlalu awal untuk pihak tertentu dalam Umno untuk membacakan 'Talqin Untuk Najib'. The real battle will begin soon.

Walaupun media dan Umno cuba memberi gambaran bahawa parti itu semakin utuh, hakikatnya ia semakin goyah seumpama kapal yang menanti waktu hendak karam.

Pertembungan terbuka luar jangka Mahathir - Abdullah sudah menjalar dan menjadi barah yang kronik dalam parti.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno minggu depan, walaupun kelihatannya gagah parti itu sudah tidak mampu menyembunyikan pekungnya.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 10 November 2006)

Monday, March 19, 2007

Krisis Mahathir - Abdullah cemar kemeriahan Aidilfitri

Bagi umat Islam setiap kali kedatangan Aidilfitri, kebiasaannya disambut dengan penuh kemeriahan, khususnya bagi mereka yang berjaya melepasi ibadah puasa dan solat sunat tarawih sepanjang sebulan di bulan ramadan.

Meriahnya sambutan Aidilfitri disulami dengan budaya bermaaf-maafan sesama insan, khususnya bagi mereka yang bersengketa sama ada sesama anggota keluarga, kelompok masyarakat dan negara.

Lebih-lebih lagi bagi orang-orang politik yang sering berseteru. Inilah masa yang terbaik untuk mereka bersemuka, bermuhasabah dan berdamai.

Khusus bagi orang-orang Umno, selama ini mereka mengharapkan ramadan dan ketibaan syawal ini sebagai masa yang terbaik untuk mendamaikan pertelagahan antara kedua tokoh mereka iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pada awalnya pertemuan yang diatur oleh Mubarak (Persatuan Bekas Wakil Rakyat) 22 Oktober (Ahad) lepas, dilihat sebagai kesempatan yang paling baik untuk dijadikan 'hadiah Aidilfitri' buat Umno selepas perbalahan terbuka tercetus sejak April lalu.

Ramai yang menduga pertemuan yang berlangsung selama dua jam di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya antara keduanya, mampu merintis jalan ke arah meleraikan ketegangan yang berlanjutan lebih enam bulan.

Malah keesokan harinya, buat julung kali, NST menyiarkan gambar Mahathir di muka hadapan akhbar itu dengan laporan yang sangat positif berbanding paparan negatif sebelum ini. Kesemua media cetak dan elektronik tempatan juga membuat laporan utama.

Walaupun harapan orang-orang Umno terhadap keduanya tinggi menggunung, namun tiada siapa yang tahu apakah keduanya, samada Mahathir atau Abdullah memang benar-benar hendak bertemu atau sebaliknya.

Tiada siapa yang tahu apakah sebenar-benarnya berlaku semasa pertemuan empat mata Mahathir - Abdullah berlangsung.

Kegembiraan, harapan serta perdamaian yang diharapkan tidak lama, tidak sampai sehari setengah, Mahathir sudah kembali mengkritik Abdullah.

Ia bagaikan kejutan kepada semua pihak. Sambutan Aidilfitri di PWTC yang dikhabarkan menerima seramai 180 ribu pengunjung menjadi hambar. Abdullah terkejut, Najib Tun Razak, Menteri Kabinet, semuanya terkejut dan terkedu dengan kritikan Mahathir.

Isu dan tekanan terhadap Mahathir

Mahathir dan Abdullah tidak bertemu sejak lama. Dalam tempoh itu juga Mahathir banyak mengkritik Abdullah, Umno dan kerajaan.

Mahathir menghentam keperibadian Abdullah yang disifatkannya sebagai PM yang lemah kerana banyak membuat keputusan yang dipengaruhi oleh menantu, Khairy Jamaludin serta membuka ruang anggota keluarganya 'mengaut rezeki' secara berleluasa dalam negara.

Mahathir mengkritik Abdullah kerana begitu lemah menangani isu jambatan, sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak Singapura, bukan sekadar pembatalan jambatan, ia dirujuk sebagai menggadaikan maruah negara kepada negara jiran.

Mahathir mengenengahkan isu kerugian Proton, AP, Rafizah Aziz, Oil for Food dan banyak isu berkaitan mengenai kepincangan ekonomi.

Dalam tempoh itu juga kritikan Mahathir tidak dijawab secara objektif oleh kerajaan, sebaliknya dijawab dengan tindakan fizikal seperti semburan gas, serangan media dan pelbagai sekatan, ugutan polis serta pembatalan program yang membabitkan Mahathir mana-mana peringkat organisasi Umno.

Selain disekat untuk bertemu dan bercakap dengan orang-orang Umno, Mahathir dikecam oleh orang-orang Umno, termasuk Abdullah, menantunya dan Menteri-menteri Kabinet dengan pelbagai kata nista.

Mahathir dilabel sebagai iblis, beruk, orang tua nyanyuk, 'gila talak' dan dikalahkan dalam pemilihan perwakilan Umno Kubang Pasu dalam keadaan yang amat hina oleh orang-orang Umno sendiri.

Dalam kata lain, kekecohan krisis, perbalahan, kecaman dan pergaduhan politik yang berlaku khususnya di antara Mahathir dan Abdullah adalah cetusan masalah Umno yang tidak ada kena mengena dengan influence dari mana-mana kelompok pembangkang.

Amaran e-mail picisan

Namun apakah rasionalnya apabila TV3 memetik e-mail picisan yang dikatakan ditulis oleh ahli Umno bernama Shaiful Bahri yang antara lain 'memberi amaran' kepada Mahathir supaya bersedia untuk menerima 'habuan' jika tidak menutup mulutnya mengkritik Abdullah.

E-mail yang entah dari siapa itu, turut dipetik sebagai mengingatkan Mahathir bahawa pembangkang, khususnya PAS akan 'menangguk di air yang keruh' akibat perbalahan kedua-duanya.

Itulah juga antara point utama dibangkitkan oleh Abdullah dalam pertemuannya dengan Mahathir, iaitu pembangkang akan mengambil kesempatan di atas kekeruhan antara kedua mereka.

Jelasnya Umno dan TV3 seolah-olahnya tidak ada daya untuk melawan Mahathir, selain daripada mengunakan email (yang boleh direka oleh sesiapa sahaja) yang didakwa dari seorang ahli Umno sebagai senjata untuk membalas kritikan Mahathir.

Tiada jalan lain agaknya untuk memberi amaran keras terhadap Mahathir adalah dengan menggunakan e-mail yang mempersoalkan kewibawaan dakwaan bekas PM itu. E-mail tersebut juga seolah-olahnya 'mengugut' Mahathir, jangan sampai kebobrokan dan kepincangan dalam pemerintahannya diungkit kembali.

Maka antara pendekatan terbaik untuk mengetepikan Mahathir dan segala persoalan yang dibangkitkannya, adalah dengan mengaitkan beliau dengan pembangkang.

Begitu hodohnya mereka, apabila berbalah sesama sendiri, satu pihak mengunakan strategi untuk menjatuhkan seterunya dengan mengaitkan pihak yang tidak ada kena mengena dengan konflik mereka.

Rencana pengarang BH

Secara jelasnya, apa yang berlaku disimpulkan oleh rencana pengarang Berita Harian pada 26 Oktober 2006 yang mendakwa sebenarnya Mahathir memberi petunjuk jelas mengenai tujuan sebenarnya untuk menjatuhkan PM.

BH juga menyifatkan pertemuan empat mata antara Mahathir - Abdullah sebagai gagal dan menggesa supaya PM dan kerajaan selepas ini tidak mempedulikan kritikan Mahathir selepas ini.

Antara lain rencana tersebut mencatatkan "....rakyatlah yang berhak menentukan kerajaan yang mereka suka, bukan seorang individu walau sebesar mana jasa dan kebolehannya."

Apa yang jelas, orang-orang Umno sedar bahawa apa yang dibangkitkan oleh Mahathir bukan sekadar untuk mengkritik, malah mahu menjatuhkan Abdullah, oleh itu semua mereka harus menyokong PM dan Presiden Umno.

Malah dalam e-mail yang dipaparkan oleh TV3 semalam (26 Oktober) secara khusus menempelak Mahathir dan mempersoalkan sepanjang 22 tahun lebih memerintah, banyak keputusan dan tindakan beliau yang tidak betul.

Persoalannya mengapa baru sekarang perkara yang tidak betul itu hendak diungkit?

Bukankah selama Mahathir memerintah Umno dan negara, begitu banyak perbalahan dengan puak-puak dalam Umno, begitu banyak kepincangan ekonomi dan pelbagai dakwaan terhadap kepimpinan Mahathir semuanya ditelan dan dipertahankan oleh orang-orang Umno?

Pada waktu itu apa sahaja kata Mahathir disambut dengan anggukan, semuanya betul, Tengku Razaleigh salah, Anwar Ibrahim salah, PAS salah, semuanya salah, hanya Mahathir sahaja yang betul!

Sebaliknya, sekarang ini Mahathir dilihat sebagai evil, manakala Abdullah dilihat sebagai manusia yang baik. Apakah ianya kerana Abdullah sekarang ini PM dan Presiden Umno?

Apakah mungkin selepas ini, jika Abdullah tidak lagi menjadi PM dan Presiden Umno, Abdullah juga akan ditempelak dan dihina seperti Mahathir?

Maka pada ketika itu, rakyat akan menjadi hakim bahawa orang-orang Umno sudah kehilangan harga diri.

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 27 Oktober 2006)

Mahathir vs Abdullah, jalan perdamaian yang semakin buntu

Fasa kedua pertembungan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penggantinya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telahpun bermula. Kota Bharu menjadi saksi kepada pertembungan lebih sengit.

Loceng dibunyikan, pertembungan ini dijangka lebih sengit dari pusingan pertama. Mahathir sudah tidak mampu berselindung lagi. Dia benar-benar menyerlahkan taringnya. Ibarat kata orang, Mahathir seperti harimau lapar yang terlepas dari kandangnya, sedia untuk membaham mangsa.

Selepas meletakkan jawatan, lebih dua tahun Mahathir terbelengu dalam 'kandang' politik Umno yang diterajuinya lebih 22 tahun. Tempoh itu ternyata amat menyeksakan.

Mahathir terseksa kerana dituduh menghabiskan wang negara untuk projek mega. Mahathir terseksa kerana kawan-kawan dan anak buah yang sering mencium tangannya, merintih menunggu berjam-jam untuk berjumpa dengannya (semasa menjadi PM) kini semuanya sudah hilang.

Mahathir semakin terseksa melihat menantu Abdullah, Khairy Jamaludin dan kroni-kroninya begitu rancak mengagihkan kekayaan negara, sebagaimana yang didakwanya. Mahathir juga semakin bimbang bekas timbalan yang dianiaya lapan tahun lalu, Dato' Seri Anwar Ibrahim, diberi ruang untuk kembali ke gelanggang politik.

Semua kebimbangan ini menjadi belengu yang sudah tidak mampu dibendungnya.

Jika di Kelab Century Paradise, Taman Melawati 24 Jun lepas, Mahathir masih menapis setiap serangannya. Mahathir mengelak menyebut nama individu yang dimaksudkan, Mahathir juga menepis soalan bertalu-alu wartawan tentang syarikat mana yang didakwa mendapat laba pemerintahan Abdullah dengan cara yang menyalahi etika.

Tetapi tidak di Kota Bharu, 28 Julai lalu. Ternyata beliau sudah sedia untuk membuka gelanggang pertembungan yang lebih luas dan sengit. Apabila Mahathir berani membuat kenyataan lebih keras, khususnya menyerang lebih keras Abdullah Ahmad Badawi, sudah tentu beliau bersedia menghadapi sebarang risiko.

Langkah Mahathir semakin nekad, 'do or die'! Jelas sama ada Mahathir mampu menyekat Abdullah untuk satu penggal sahaja atau beliau terpaksa 'mati meroyan' seorang diri.

Malang nasib Mahathir

ImageApalah malangnya Mahathir, belumpun sempat membuka mulut disambut dengan semburan gas pemedih mata sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa Jumaat lepas.

Gas pemedih mata bukan serbuk lada atau 'pepper spray' sebagaimana dilapor oleh media yang sengaja hendak memutarbelitkan fakta. Bak kata orang, kalau sudah biasa menipu, fakta sebegitu jelas pun diselewengkan.

Cecair yang menghasilkan gas pemedih mata disembur tepat ke muka beliau menyebabkan beliau yang sedang berdiri memegang loud hailer terduduk dan alat pembesar suara terlepas dari gengamannya.

Namun ternyata Mahathir yang berusia 81 tahun lebih tegap daripada Dato' Ibrahim Ali (50-an). Mahathir hanya sekadar terpaksa dipapah, manakala Ibrahim seperti orang 'pening lalat', lima minit selepas itu baru berasa lega.

Di Hotel Renaissance selepas terkena semburan gas pemedih mata, Mahathir mengakui beliau rasa sesak, pedih tekak dan hidung. Itupun hanya mild spray, bayangkan kalau meriam FRU yang menembak cecair mengandungi asid pemedih yang lebih kuat daripada itu? Barangkali dalam usia yang sebegitu, Mahathir mungkin sudah boleh dijadikan sejarah.

Mahathir ternyata amat marah. Beliau tidak sangka diperlakukan sedemikian rupa. Katanya, itu adalah tindakan manusia desperate menghalangnya daripada berucap.

Pada waktu itu barangkali Mahathir lupa bahawa sewaktu pemerintahannya berapa banyak rakyat yang suffer dengan semburan asid FRU? Sebelum 1998, pemimpin PAS beberapa kali ditembak cecair pemedih, sewaktu berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dan Universiti Malaya kerana membantah lawatan team kriket Israel.

Pendukung reformasi turut mengalami nasib yang sama ketika bangkit menentang kezaliman Mahathir terhadap Anwar.

Ada yang pengsan, ada yang terpaksa masuk hospital, ada yang dipukul dengan cotar sehingga berdarah, ada yang dipenjara dan dihukum.

Rakyat tidak pernah lupakan kezaliman Mahathir sewaktu pemerintahannya. Maka reaksi spontan rakyat (yang pernah merasai tembakan gas atau cecair asid) terhadap insiden tersebut adalah 'padan muka hang', 'la baru hang rasa'.

Semasa Mahathir berkuasa semburan pemedih mata dihalakan kepada pembangkang, malangnya selepas tiada kuasa, di zaman parti dan orang-orangnya pernah menyanjunginya memerintah, Mahathir pula disembur pemedih mata, ini lebih menambah kesengsaraan Mahathir.

Namun kematangan politik harus mengatasi segala-galanya, bagi pemimpin PAS walaupun pernah dizalimi sedemikian rupa, sesiapapun sama ada pemimpin atau rakyat, tidak harus diperlakukan sedemikian rupa.

Siapa punya kerja

Insiden di Kota Bharu mencetuskan pelbagai spekulasi. Media meletakkan ianya berpunca daripada perebutan dua kumpulan antara Ibrahim Ali dan Nik Sapeia Nik Yusof.

Malaysiakini dalam news flashnya pula seolah-olahnya membayangkan kelihatan lelaki seperti memakai jaket polis terbabit. Hari ini Polis Kelantan memfailkan laporan terhadap Malaysiakini yang didakwa mencemarkan imej mereka.

Perbalahan dan perebutan siapa yang hendak membawa Mahathir sebaik turun di Kota Bharu memang wujud. Penulis sendiri ketika berbual dengan Tan Sri Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas), datang Nik Sapeia yang kelihatan serius mendakwa beliau diamanahkan mengambil Mahathir.

Selepas beberapa ketika berlaku perundingan antara Nik Sapeia dan Ibrahim di bilik menunggu airport. Suasana kelihatannya agak tegang, dapat dikawal selepas kedua-dua pihak difahamkan sudah bersetuju Mahathir akan terus ke Pajero yang disediakan Ibrahim, untuk berucap dan dibawa keluar menaiki Mercedes Benz disediakan oleh Nik Sapeia.

Semua orang tahu betapa ramainya SB di airport ketika itu. Ramai orang lihat beberapa lelaki berbadan tegap berpakaian jaket (ala pegawai keselamatan) mundar mandir di sekitar airport.

Soal siapa yang sembur biarlah siasatan menentukan. Semburan pemedih mata terhadap Mahathir adalah unsur sabotaj. Ianya dilakukan sama ada orang yang diupah atau orang terlatih yang membawa alat semburan kecil itu dengan motif yang tertentu. Tidak sebab ada orang awam membawa alat penyembur itu merata-mata.

Cuma riak-riak rakyat di Kelantan bimbang ianya ada unsur sabotaj yang didalangi pemimpin Umno negeri.

Pertembungan dalam gelanggang Umno

Sebelum program membabitkan Mahathir dijadualkan berlangsung, politik Kelantan rupanya kecoh.

Dollah Kok Lanas memceritakan beliau mendapat maklumat ada panggilan dari Perth, Australia kira-kira 3 minggu lepas kepada Dato' Annuar Musa menggesa program dibatalkan.

Mubarak sudah terkeluar dari senarai. Mereka yang menjemput Mahathir berbulan-bulan sebelum pertelingkahan wujud, begitu takut dengan tekanan.

Dollah Kok Lanas dan Ibrahim Ali mengambil alih tugas mengendalikan program Mahathir.

Mahathir juga akui begitu banyak desas desus mengatakan beliau tidak jadi hadir dan program dibatalkan.

Di sekitar Kota Bharu, pihak tertentu menaikkan kain pemidang menggambarkan PAS mengalu-alukan kehadiran Mahathir. Usaha mengaitkan PAS dengan Mahathir dibuat oleh golongan yang dikatakan pro Umno.

Mahathir ketika ditanya wartawan menyatakan dengan jelas pertembungan dengan Abdullah hanyalah Umno affair, dalam gelanggang Umno, tidak ada kena mengena dengan PAS serta menolak kemungkinan kerjasama dengan Anwar.

Mahathir juga nampaknya tidak tahan dengan mainan media menghentamnya dengan PAS. Ramai juga yang terikut-ikut mempercayai mainan media sedangkan kerjasama antara kedua-dua pihak tidak pernah wujud.

Pemimpin PAS bijak mencatur. Mereka tidak menyambut Mahathir di airport. Pemimpin PAS juga tidak hadir di Hotel Renaissance kerana itu anjuran veteran Umno, pemimpin PAS tidak hadir di syarahan Mahathir di Hotel Perdana kerana ianya majlis anjuran Alumni Ahli Parlimen dan Dun Umno.

Pemimpin PAS khususnya Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, timbalannya Dato' Ahmad Yaakub, Speaker, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan para anggota Exco hanya menghadiri majlis makan makan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) sahaja.

Isu-isu besar Mahathir

ImageMahathir bertegas beliau hanya boleh berdamai jika Abdullah sedia mengetepikan Khairy Jamaludin, Kalimullah Hassan (NST, ECM Libra), Brendan Pereira (NST) serta pegawai di tingkat 4 JPM dan meneruskan pembinaan jambatan bengkok.

Bagi Mahathir mereka adalah agen Singapura. Bagi Mahathir, semua mereka ini adalah penyebab kepada kemarahan rakyat kepada kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi.

Banyak juga desas desus bertiup sekarang ini bahawa Khairy akan diminta mengundur diri ke luar negeri. Kalimullah juga harus pergi. Brendan juga sudah tiada pilihan. Mereka boleh kekal, tapi mereka harus sedar bahawa nama mereka sudah diratib oleh berjuta-juta rakyat Malaysia dengan persepsi yang buruk.

Sudah tentu demand Mahathir amat sukar untuk ditunaikan sepenuhnya oleh Abdullah. Mahathir sudah terbuka mempertikaikan pemberian Avenue Asset milik kerajaan kepada ECM Libra. Kata Mahathir, mana boleh Menteri Kewangan (Abdullah) bagi syarikat tersebut kepada menantunya (Khairy).

Mahathir juga mempertikaikan bagaimana Scomi (milik anak Abdullah, Kamaludin) boleh mendapat banyak projek kerajaan.

Orang-orang Umno percaya cakap Mahathir. Kata mereka, seawal pemerintahan Mahathir, anak beranaknya tidak mendapat apa-apa, cuma towards the end pemerintahannya sahaja, anak-anak beliau terlibat banyak dalam perniagaan yang membabitkan kerajaan.

Berlain dengan cara Abdullah, baru tiga tahun, anak menantunya sudah mendapat laba yang begitu besar. Orang-orang Umno pun tidak setuju, mereka terkilan dengan kerakusan anak menantu Abdullah serta kroni.

Tetapi nak buat macam mana kuasa PM terlalu besar. Kalau lawan nanti hilang jawatan, hilang tender, tidak terpilih bertanding dan sebagainya. Sebab bagi mereka kuasa, pangkat dan harta amat penting untuk terus hidup.

Hanya ahli Umno yang benar-benar sedia untuk 'disembelih' sahaja sanggup mengangkat muka menyebelahi Mahathir.

Jelasnya, yang gawat dengan serangan Mahathir adalah orang-orang Umno. Mereka pening dan kucar. Mereka percaya cakap Mahathir, tetapi takut dengan kuasa yang ada pada Abdullah.

Jalan damai sudah semakin buntu. Orang-orang Umno sudah pening kepala. Mereka tiada pilihan. Sama ada Mahathir harus berhenti bercakap atau Abdullah dihadkan sepenggal sahaja!

(Artikel ini disiarkan dalam www.harakahdaily.net pada 3 Ogos 2006)