Wednesday, April 24, 2013

DATO' DR HARON DIN: Taruhan terbaik di Arau

NAMA Dato' Dr Haron Din sudah cukup gah. Kelibatnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja di Parlimen Arau, mahu pun di Perlis, malah di seluruh negara rakyat rata-rata mengenali beliau.

Bukan hendak memuji semberono, yang jelas jika dibandingkan ketokohan dan ketinggian pendidikan beliau dalam bidang agama, tidak ada seorang pun pemimpin Umno, sama ada yang ulama atau yang bukan ulama boleh menandingi beliau.

Yang menjadi 'stumbling-block' kepada trend pengundian adalah apabila terdapat kalangan pengundi, rata-rata penyokong Umno-BN yang berada dalam kantung 'mental-block', sehingga tidak boleh memikir dan membandingkan di antara 'jauhari dan manikam', bak kata pepatah Melayu.

Pada tahun ini Ustaz Haron bertanding buat kali ketiga di Parlimen Arau. Beliau mula bertanding pada tahun
2004, tetapi tewas kepada adik Raja Perlis iaitu Penyandang: Dato' Seri Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail dengan majoriti 3,243 undi.

Pada tahun 2008, Ustaz Haron bertanding menentang adik bekas MB Perlis, iaitu Dato' Ismail Kassim. Tetapi beliau tewas tipis hanya dengan 300 undi sahaja.

Pada tahun 2013 ini, berdasarkan angka terbaharu, pengundi Arau meningkat kepada 43,969, bertambah 4,092 pengundi dari 2008 dengan 39,877 ketika itu.

Dari sudut komposisi kaum, pengundi Melayu adalah yang terbesar iaitu 88 peratus, Cina 8 peratus, manakala India dan lain-lain kaum, 4 peratus, dengan 51 peratus pengundi adalah dari kalangan wanita.

Arau mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.

Pada tahun 2008, PAS menang kerusi Dun Simpang Empat dan Sanglang. Di Guar Sanji, undi Ustaz Haron mengatasi undi calon PAS di peringkat Dun. Beliau hanya tewas dengan majoriti tipis dari Dun Pauh dan Tambun Tulang yang dikuasai Umno.

Penganalisis berpendapat pada kali ini, merupakan peluang terbaik untuk PAS memenangi Parlimen Arau, berbanding dua lagi kerusi Parlimen di Perlis iaitu Padang Besar dan Kangar.

Bagi Ustaz Haron sendiri, beliau dapat melihat bagaimana masyarakat di Arau meletakkan harapan yang tinggi kepadanya untuk menggalas amanah, iaitu mempunyai Ahli Parlimen daripada PAS, yang ketokohannya sudah tidak harus dipertikaikan.

Namun Ustaz Haron tetap merendah diri. Katanya kepada penulis,"Saya melihat gerak kerja jentera kita sudah bermula dengan baik sebelum pembubaran Parlimen. Di mana sahaja program yang kita anjurkan, sambutan rakyat amat menggalakkan. Insya Allah dengan kesungguhan kita bekerja, kita meletakkan harapan yang tinggi untuk menang di Arau."

"Bagi umat Islam, mereka seharusnya tidak ada pilihan lain, selain mengundi calon-calon yang memperjuangkan Islam kerana berdasarkan firman Allah, mereka yang berjuang pada jalan-Nya adalah ansarullah (penolong Allah)," ujar beliau.

Nama beliau sudah diumumkan awal-awal lagi oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin untuk dipertaruhkan di kerusi Arau, ianya suatu petanda bahawa PAS sepakat untuk meletakkan calon terbaiknya iaitu Timbalan Mursyidul Am PAS.

Ustaz Haron Din adalah taruhan terbaik bukan sahaja di Arau, tetapi sebagai pencetus gelombang perubahan di seluruh Perlis.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perlis, Bashir Ishak, selain Arau, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi untuk menawan Parlimen Padang Besar.

"Jentera pilihan raya kita bergerak cergas untuk menawan 10 daripada 15 Dun di Perlis dan bagi kita, keputusan PRU 2008 di Arau, di mana Ustaz Haron tewas dengan majoriti tipis, iaitu 300 undi sahaja, insya Allah tidak menjadi halangan untuk kita menawannya," ujar beliau.

No comments: