Tuesday, June 14, 2011

Menyertai misi kemanusiaan Yayasan Amal ke Palestin, Libya

YAYASAN Amal Malaysia akan menghantar pasukan misi kemanusiaannya ke Gaza, Palestin dan Beghazi, Libya bagi memantau projek yang telah berjalan dan membantu umat Islam yang berada di dalam kesusahan akibat peperangan.

Menurut Ketua Setiausaha Yayasan Amal Malaysia, Abd Hamid Seman, misi selama sepuluh hari tersebut akan diketuai oleh Hussin Ismail.

Katanya, pasukan lapan orang Yayasan Amal terdiri dari kalangan doktor perubatan dan petugas sukarelawan dijangka berlepas dari ibu negara 19 Jun ini. Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan turut serta.

Menurut Hamid dana yang diperolehi dari Lembaga Zakat Selangor (RM1 juta), Wisma Putra (RM600 ribu), Kerajaan Negeri Selangor (RM500 ribu) dan orang ramai sebelum ini digunakan untuk membina tube well bagi membantu pelarian Palestin akan ditinjau pembinaannya.

Selain itu katanya, misi kemanusiaan kali ini, Yayasan Amal akan menghulurkan bantuan berupa peralatan persekolahan kepada kira-kira 5,000 anak-anak yatim Palestin dan bantuan peralatan dapur bagi keluarga miskin.

"Kami juga sedang berusaha untuk mendirikan makmal komputer dan misi kami kali ini ialah untuk meninjau Pusat Latihan Jururawat yang dibina sebelum ini," jelasnya.

Menurut beliau, selain itu pihak Yayasan Amal akan mengenai pasti belia-belia Palestin yang akan dibawa masuk ke Malaysia untuk menjalani latihan pembuatan anggota badan seperti tangan dan kaki palsu.

Untuk itu katanya, pada 8 Jun lepas pihak Yayasan Amal menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebagai tempat belia-belia berkenaan menjalani latihan.

"Selepas selesai misi di Gaza, kami akan berlepas ke Beghazi, Libya menerusi Mesir. Kami akan meninjau lebih 200 ribu pelarian Libya yang terperangkap di sana.

"Di Beghazi, kita akan tumpukan bantuan kemanusiaan dan khidmat kesihatan," ujarnya.

Sementara itu Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pihaknya akan turut memberikan sumbangan berupa keperluan barangan persekolahan, barangan dapur dan bantuan perubatan kepada rakyat Palestin dan pelarian Libya.

"Kita sentiasa memantau perkembangan misi kemanusiaan di Palestin dan kali ini kita cuba pula untuk meninjau perkembangan di Libya, mudah-mudahan kita dapat menabur bakti bagi meringankan bebanan rakyat yang tertindas akibat peperangan," ujar beliau.

Katanya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk membantu rakyat Palestin dan Libya, mereka boleh menyalurkan sumbangan tersebut menerusi Tabung Kemanusiaan Harakah, nombor akaun 14069010021298 (BIMB).

No comments: